Monday, 7 November 2011

catatan dari suamiku, Djazlam Zainal

UNTUK TEMAN-TEMAN, INGIN KU BERBAGI PERASAAN

oleh Djazlam Zainal pada pada 22hb Oktober 2011 pukul 7.28 pagi
Memang agak sukar untuk saya mengatakan isi hati. Tetapi barangkali untuk dikongsi bersama, eloklah sesuatu yang saya rasa amat pribadi, diluahkan juga. Memang saya berbangga dengan apa yang telah dilalui oleh Rosmiaty Shaari ketika ini. Sebagai teman hidup, rasanya apa yang digembirakan oleh pasangannya, amat membahagiakan. Rosmiaty dalam bidang penulisan, mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Beliau menulis sejak umurnya belasan tahun. Masuk Universitas Sains Malaysia mengambil bidang Penulisan Kreatif ketika berusia 22 tahun. Usianya yang muda setahun daripada saya, tidak membedakan antara kami. Beliau memang seorang cerpenis yang baik. Kumpulan cerpennya, Malam Seribu Malam, ( Teks Publishing, Kuala Lumpur, 1988 ) adalah antara kumpulan cerpen yang layak dibicarakan. Namun mata sastarawan/sarjana tanah air seakan tertutup untuk Rosmiaty. Yang demikian, untuk tatapan umum yang lebih luas, Malam Seribu Malam akan dicetak ulang dan dipasarkan di pasaran Nusantara.

Sebagai penulis puisi, pada peringkat awal, Rosmiaty tidak memberangsangkan. Sebab itu saya sarankan hanya menulis cerpen dan kalau ada masa dikembangkan menjadi novel. Masa terus berlalu dan Rosmiaty seakan membungkam dalam tempuh yang agak lama. Penyertaan dalam facebook yang mempunyai mata pusaran yang lebih luas, Rosmiaty membuka mediumnya dalam puisi pula. Sebagai penulis yang mempunyai latar penulisan dalam genre cerpen ( prosa ) puisi Rosmiaty akan berbalada, sebuah puisi panjang yang memerlukan stamina yang panjang juga. Namun ia merupakan sesuatu kekuatan dalam penghasilan puisinya. Dan ini nampaknya dilihat oleh beberapa mata sarjana di Indonesia. Mulai dari mata pusaran Sastri Sunarti Sweeney, ia diuruti dengan sarana untuk menjelmakan dalam sebuah kumpulan puisi, semua berlangsung bagai sebuah mimpi. Memang bukan mudah bagi penulis Malaysia menerbitkan kumpulan puisi yang semamangnya kurus pasarannya. Penerbit tidak punya keyakinan bahawa kumpulan puisi akan memulangkan pelaburan.
.

Sebagai orang teman, kami membincangkan keinginan pasangannya untuk mempunyai ' anak kesayangan ' iaitu sebuah kumpulan puisi perseorangan. Pejamkan mata tentang ongkos. Lontarkan kelaziman dan pasaran konvensional. Lalu kami menemukan sebuah penerbitan yang punya kepercayaan kepada kami. Malah penerbitannya ini adalah penerbitan pertama di pasaran terbuka. Saya sangat berterima kasih kepada I-Man Creative yang punya kepercayaan merealisasi impian kami bersama sebagai penulis dan impian beliau sebagai penerbit.

Ketika buku puisi Rosmiaty Shaari, ... dari hitamputih menjadi zarah ( memang dieja sedemikian dengan seluruhnya huruf kecil ) diluncurkan di Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin, Taman Ismail Marzuki, Jakarta pada 21 Oktober 2011, ia adalah kegembiraan kami semua. Kami sebagai penulis dan penerbit berasa pengorbanan yang selama ini kami tanggung tertunai sudah. Bukan sedikit pengorbanan kami dari segi emosi, wang ringgit dan masa. Kami mengusahakan sendiri sebagai penulis, penyusun, editor malah melibatkan anak kami sebagai pelukis ilustrasi. Kepada I-Man Creative, kami sangat-sangat terhutang budi. Wakil daripada penerbit juga hadir dalam peluncuran tersebut dengan harapan akan dapat dikembangkan pasaran bersama. Saya, Rosmiaty dan I-Man Creative akan berusaha menembusi pasaran Indonesia memperkenalkan penulis-penulis muda Malaysia dalam bentuk kerjasama dua hala. Rasanya, pertukaran sastra dalam bentuk buku akan lebih bermakna sekiranya ada hubungan silaturahmi antara penerbit dengan penerbit. Antara penulis dengan penulis ( yang tentunya ini bakal menyumbangkan pembelian ) sudah kami rintis. Lihatlah bagaimana sambutan peluncuran buku Rosmiaty, ia telah membuka satu era baru di arena penerbitan buku Malaysia-Indonesia. Inilah kebahagiaan dan kebanggaan saya, ketika Rosmiaty jauh di seberang sana. Dan kami akan datang lagi dengan buku-buku yang lain pula. Insya Allah..

No comments:

Post a Comment