Tuesday, 30 December 2014

Kertas kerja Cikgu Chai Loon Guan - bicara KEMBALI KEPADA FITRAH


Metafora dan Personifikasi dalam Antologi Sajak "Kembali kepada Fitrah" karya Rosmiaty Shaari
oleh Chai Loon Guan, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)

I
Biodata
Rosmiaty Shaari dilahirkan di Teluk Intan pada 25 Mei 1961. Beliau mendapat pendidikan sehingga memperoleh STPM dan mengikuti Pengajian Seni Kreatif (Kesusasteraan) di USM pada 1983/1984. Beliau pernah bertugas sebagai Editor di Teks Publishing (1985-1989), Marwilis Publisher (1990-1994), editor sambilan untuk Flo Enterprise, Penerbit Karyawan, Penerbit S. Abdul Majeed dan Penerbitan Murni sehingga kini.
Rosmiaty Shaari mula menulis pada usia 17 tahun setelah menjuarai sayembara kritik sastera peringkat sekolah-sekolah Teluk Intan. Pada tahun 1980, beliau mendapat tempat pertama dalam Sayembara Cerpen Pentas. Pada 1986, beliau memperoleh hadiah utama dalam Sayembara Cerpen Selangor Darul Ehsan. Setelah 15 tahun menyepikan diri, kini beliau aktif menulis semula. Antara karya yang telah diterbitkan ialah kumpulan cerpen persendirian, 'Malam Seribu Malam' (Teks Publishing,1989), antologi cerpen 'Mannequin' (Kerajaan Negeri Selangor, 1986), antologi puisi 'Temoh Tasik Kenangan' (Karyawan Pk, 2010), antologi puisi 'Kampung Bandar Dalam' (2010), antologi puisi 'KEMALA - MD 70' (Insandi, 2011), Akulah Musi (PPN V, Palembang 2011) Menyirat Cinta Haqiqi (Insandi, 2012) Sinar Sidiq (Bahasa, 2012), antologi puisi Risalah Melayu Nun Serumpun, (Numera 2014), antologi puisi Mengenanga R. Hamzah Dua (2014) dan kumpulan puisi Perempuan Indonesia - Malaysia (ITBM, 2014). Karya-karya beliau turut dimuatkan dalam majalah Dewan Sastera, Jelita, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Siasah, Qudwah, Horison dll. Kumpulan puisi perseorangan beliau, ...DARI HITAM PUTIH MENJADI ZARAH (I-Man Creative, Melaka: 2011) dan dibicarakan di Pusat Dokumentasi HB Jassin, TIM, Jakarta pada tahun 2011. Kumpulan puisi KEMBALI KEPADA FITRAH (2013/14) terbitan terbaharu oleh ITBM.
Rosmiaty Shaari pernah memenangi Hadiah Pertama Sayembara Cerpen Pentas (1980), Hadiah Utama Sayembara Cerpen Selangor Darul Ehsan (1986), Hadiah Utama Sayembara Puisi Dunia Numera ((2014) dan Hadiah Sastera Perdana Cerpen Eceran (2014).

II
Pendahuluan
Menelusuri antologi "Kembali kepada Fitrah", karya Rosmaity Shaari, izinkan saya memetik seperenggan kata pengantar daripada Dr. Free Hearty, yakni penulisan puisi (juga karya sastera yang lain, tentunya) memerlukan kematangan berfikir dalam memaknai semesta. Yang jelas, perlu ada perenungan, kematangan jiwa, kehalusan rasa serta penguasaan gaya bahasa yang indah, tepat dan benar daripada seorang penyair saat mengekspresikan pengalaman, pemahaman, pemaknaan dan imaginasinya tentang semesta tersebut. Tambah beliau lagi, membaca puisi-puisi Romaity, saya seperti bertemasya. Temasya spiritual yang penuh estetika dan etika serta menyentuh hingga lubuk jiwa. Saya terpesona akan majas (bunga bahasa) yang digunakannya. Pemujaan kepada-Nya dan kekaguman itu diekspresikannya dengan cantik, halus, lembut lewat metafora-metafora indah.

III
Metafora
Menurut Rahman Shaari dalam bukunya, "Memahami Gaya Bahasa", (DBP, 1993), metafora ialah bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain. Sesuatu objek atau abstraksi diberikan sifat objek lain dengan menganggap objek yang kedua itu mempunyai aspek-aspek persamaan dengan objek yang pertama.
Kamus Puisi pula mentakrifkan metafora sebagai gaya bahasa kiasan atau perbandingan. Sifat gaya bahasa ini ringkas, padat, tersusun rapi dan biasanya terdiri daripada dua perkataan. Satu daripada perkataan itu bersifat konkrit (maujud), iaitu nyata dan menjadi objek untuk difikirkan. Satu perkataan lagi bersifat abstrak (mujarad), iaitu tidak nyata, yang menjadi pembanding. Contohnya, "perahu waktu" dan "di laut umur" daripada puisi "Ke Pelabuhan Jauh" karya A. Wahab Ali.
Terdapat pula metafora yang meletakkan sesuatu abstraksi di tempat yang sesuai untuk sesuatu objek. Perkataan "waktu" adalah abstraksi, dan Rejab F.I. membina metafora "secangkir waktu". Waktu tentu tidak dapat dimasukkan ke dalam cangkir. Contoh-contoh lain untuk jenis ini ialah "kotak fikiran" dan "pokok kesabaran".
Seterusnya, kita dapati jenis metafora yang meletakkan objek pada tempat yang tidak wajar baginya. Baris-baris sajak Rejab F.I....
di dadanya ada gunung
di matanya ada api
di tangannya ada bahtera
adalah metafora yang memiliki sifat perlambangan. Mustahil ada gunung di dada manusia. "Gunung" bermaksud harapan atau cita-cita, "api" pula bermaksud semangat manakala "bahtera" bermaksud usaha. Dalam bicara karya kali ini, izinkan saya memetik beberapa sajak Rosmiaty Shaari lewat antologinya "Kembali kepada Fitrah", yang cukup kaya akan gaya bahasa metafora yang mendokong maksud puitis sajak beliau.
Sajak Rosmiaty Shaari I - Gelombang Mimpi
(Halaman 17)
Rangkap I
singgah di muara mimpi
Rangkap IV
gurindam walang terukir terang di kubah ilham
Sajak Rosmiaty Shaari II - Bila Kauhulurkan Tangan Itu (Halaman 33)
Ini air mata yang kukumpul bertahun
memenuhi danau kasyafku
Sajak Rosmiaty Shaari III - Musafir Diri
(Halaman 36 - 37)
Rangkap I
bulan pucat menyusur wajah gundah
meski sesekali hilang di sebalik awan hati
yang menitiskan ralat nurani
Sajak Rosmiaty Shaari IV - Sajak kepada Dhuha (Halaman 42)
Sungguh pilu
bila suara diam yang mengajar kalam
dan membangkitkan nur ilham
terlalai seketika
kerana iblis itu memang suka
menghidupkan unggun sengketa
yang marak menyala
Sajak Rosmiaty Shaari V - Catatan Nurani
(Halaman 57 - 58)
Rangkap III
Ma...
panas di pelipisku kini telah menjadi salju
amat besar nikmatnya
setelah kautumbuhkan aku
dari setunas rumput
menjadi rama-rama yang terbang
melewati kebun-kebun kalbu
menebar benih-benih semalu
Sajak Rosmiaty Shaari VI
- Catatan Cinta di Kulit Bawang (Halaman 95)
Rangkap III
di kulit bawang
lukisan cinta
kian tercalar
menjadi akar yang mula menjalar
mencari arah pulang ke belukar

IV
Personifikasi
Menurut Kamus Puisi (DBP, 2005), personifikasi bermaksud pengorangan, iaitu gaya bahasa yang memberikan keadaan, suasana dan benda bersifat manusia. Contohnya, "sepi menggigit" dan "rindu melambai" dan seumpamanya. Personifikasi menurut buku Memahami Gaya Bahasa, Rahman Shaari, (DBP, Kuala Lumpur: 1993) dapat juga dianggap sejenis metafora.
Hal ini demikian kerana di dalam personifikasi pun, kata-kata perbandingan tidak digunakan. Jika contoh metafora yang sederhana ialah "lautan rindu", contoh personifikasi yang sederhana ialah "dada malam".
Yang membezakan "lautan rindu" dan "dada malam" ialah bentuk yang kedua itu melibatkan manusia. Personifikasi selalu didefinisikan "pemberian sifat manusia kepada objek atau abstraksi".
Sebarang kenyataan yang disampaikan dengan memberikan nyawa kepada objek atau abstraksi ialah personifikasi. Penulis atau penyair (penyajak) dapat menyatakan sifat manusia untuk objek. Contoh untuk jenis ini ialah:
a. Rumah itu telah tua.
b. Warna bajumu terlalu garang.
Penulis dapat juga mengaitkan objek atau abstraksi dengan menyebutkan anggota manusia juga:
a. Tangan malam.
b. Kaki hari.
Seterusnya, penulis atau penyair (penyajak) dapat membina personifikasi dengan menyebutkan kata kerja yang umumnya dilakukan oleh manusia.
a. Kedinginan memeluk seluruh kampung.
b. Kerinduanlah yang meminta agar aku ke sini.
Sajak Rosmiaty Shaari I - Bahasa Hati Fatima Zahra (Halaman 20)
Rangkap II
Patimadora, percik warna dan kilauan mata pena
kanvas dan cipta - rona yang meronta
cerita dan rahsia - fikir yang bergelora
puisi dan niskala - takdir yang tertulis
Sajak Rosmiaty Shaari II - Tahajud Cinta (Halaman 4)
Rangkap II
saat kalimah menyentuh zuhud
remuk-redam
nafasku bertelut
mencari paut
perlahan
ubun-ubunku Kauusap
menyeluruh
khusyukku, tawadukku, ikhlasku
dalam gelombang nafas yang bergelut
dari tiupan kasih sayang-Mu
Kau balut jantungku
Sajak Rosmiaty Shaari III - Menatap Bulan Madu (Halaman 9 - 10)
Rangkap IV
Ya Halim...
Ya Latiff...
titis embun yang kukumpul dari titisan keramat-Mu
mengalir dari seribu zikir yang menari di hujung jemari
dalam tari lembut gerak angin di hujung rumput
bening dan hening memaut kasih cinta tasbih
membasah di mulut meninggalkan harum kasturi
mengulit wanginya ke hujung hati
Sajak Rosmiaty Shaari IV - Titir Buih (Halaman 11)
Rangkap III
ketika pasrahku meruah
pantaiku gelisah lautku menadah
ikan-ikan, melompatlah ke dalam rawan
cangkerang, berangkatlah menjadi lokan
aku nafas sesak di lautan - lelah
kerana laparku meronta di daratan
tertidur di pulau harapan
terapung di tengah impian...
Sajak Rosmiaty Shaari V - Di Mana Burung Hantu (Halaman 47)
Rangkap IV
sunyi yang terlena
tiba-tiba terjaga
oleh embun yang menitis
Sajak Rosmiaty Shaari VI - Puisi Maghrib (Halaman 87)
lembayung, turunlah turun
sementara buah meranum
bunga mengharum
sulur merunduk
sayap, pulanglah pulang
sementara angin menghantar siang
ular berbisik
alamat nak datang
sebelum alam menidurkan siang
sebelum malam mengirim salam
sebelum azan berkumandang...

V
Kesimpulan
Dalam dunia persajakan kita, Muhammad Haji Salleh adalah antara penyair yang mahir menggunakan gaya metafora dan personifikasi. Kemahiran seseorang menggunakan sesuatu unsur diukur melalui keaslian dan ketepatan penggunaannya. Perhatikan contoh-contoh metafora dan personifikasi yang dibina oleh Muhammad Haji Salleh.
Metafora
alir hidup
selangit air
serpihan sejarah
Personifikasi
mata mimpi
lidah neraka
suaramu memanjat
Seusai menelaah dan menelusuri antologi puisi "Kembali kepada Fitrah", jelas unsur gaya bahasa metafora dan personifikasi dikesan hadir dalam sejumlah sajak penulis. Jadi, terpulanglah kepada pembaca yang berwibawa untuk berinteraksi dengan sajak-sajak Rosmiaty Shaari dalam antologi tersebut. Daripada mutiara rasa hinggalah mutiara kata, daripada kekayaan ucapan sampailah kekayaan falsafah sajak dalam kumpulan ini menjadi hak pembaca merasa, mentafsir dan memperkatakannya secara lebih lanjut. Pembacalah yang akan berteka-teki, mencari makna, merasakan keindahan dan menentukan nilai estetika, majas (bunga bahasa) dan gaya bahasa dalam antologi sajak "Kembali ke Fitrah". Sekian, terima kasih. Bahasa Jiwa Bangsa.
(Bicara Karya ini pertama kali dibentangkan bersempena dengan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA 5) dan Hadiah Sastera Darul Ridzuan 4 (HSDR 4) di Pulau Pangkor pada 11 - 14 Disember 2014)

Bibliografi:
Memahami Gaya Bahasa, Rahman Shaari, DBP, Kuala Lumpur: 1993
Persediaan Menulis Sajak, Rahman Shaari, DBP, Kuala Lumpur: 2001
Kamus Puisi, DBP, Kuala Lumpur: 2005
Kumpulan Puisi "Kembali kepada Fitrah", Rosmiaty Shaari, ITBM, Kuala Lumpur: 2014
CHAI LOON GUAN
PPP DG 48 (KUP), Munsyi Dewan (Bahasa) dan Mantan Guru Cemerlang Bahasa Melayu.
• Maktab Perguruan Ilmu Khas, KL (1980/1981)
• IAB Genting Highlands - Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan (1990)
• Institut Bahasa, Kuala Lumpur (1991)
• Diploma Pengajian Tinggi, IB - UM (1993 - 1994)
• IB - Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya (1995 - 1998)
• SMK Methodist, 35900 Tg. Malim, Perak Darul Ridzuan.
 

No comments:

Post a Comment