Thursday 9 April 2015

BICARA KUMPULAN PUISI KEMBALI KEPADA FITRAH

JUZUK RASA SYUKUR DALAM KEMBALI KEPADA FITRAH
oleh
Dr Shamsudin Othman
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia


Mukadimah

PENCIPTAAN PUISI perlu ditanggapi sebagai satu ibadah oleh seorang insan (penyair) yang mengakui bahawa dirinya adalah seorang Muslim (mengesakan Allah SWT). Penghasilan puisi juga perlu ditanggapi dengan kesedaran niat yang ikhlas tanpa memikirkan balasa ke atas apa-apa yang diinfak'kan sama ada berbentuk tenaga, idea, kata-kata atau retorik perasaan kerana semua itu bertolak daripada satu konsep keazalian hidup yang berkait rapat dengan konsep 'fitrah' yang syumul sifatnya.

Dalam hal ini, osebagai seorang penyair wanita yang berdiri sebagai hamba yang berfahaman ahli sunah waljamaah, yang beretikadkan ketauhidan Allah swt dan mempercayai kerasulan nabi Muhammad saw, maka Rosmiaty Shaari (RS) dilihat sedaya mungkin cuba memindahkan hak berkreatif dan kebolehan mencipta yang dipinjamkan oleh Tuhan itu ke dalam bentuk kata-kata. Akhirnya, dengan keizinan yang Maha Pencipta, kumpulan puisi Kembali Kepada Fitrah (KKF) ini menjelma dengan sifat yang begini keadaannya. Sebuah buku berwarna hitam dengan simbol menara masjid disimbah cahaya bulan wujud sebagai sebuah naskhah dan wacana Islami yang cukup indah garapannya.

Kembali Kepada Fitrah dan Pengenalan

Kumpulan puisi ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada tahun 2014. Sejumlah 70 puisi yang termuat dalam buku ini merupakan koleksi puisi yang dihasilkan dalam tahun 2011/1432H (31 puisi hingga/1433H (39 puisi). Dalam julat waktu 730 hari itu, RS sekurang-kurangnya mampu menghasilkan sebuah puisi dalam tempoh sepuluh hari. Paparan ini adalah satu gambaran terhadap ketekunan dan kegigihan RS menguliti puisi atau dalam kata lain proses kreatif untuk menghasilkan sebuah puisi lengkap memerlukan masa sepuluh hari untuk disiapkan. Oleh itu, dalam tempoh waktu kurang lebih sepuluh hari itulah RS berulit meluahkan pernyataan rasa syukur dirinya sebagai seorang hamba yang terikat oleh tanggungjawab sebagai seorang isteri, nenek mahupun penyair kepada Penciptanya. demikianlah hebatnya seroang penyair wanita tanah air yang sedang mengisi ruang masa depan Kesusasteraan melayu di Malaysia.

Sebagai sebuah buku yang berdiri di atas paksi kumpulan puisi, makanya RS dilihat telah berjaya memingkinkan puisi yang dipersembahkan dalam manuskrip ini adalah puisi-puisi terbaik dalam julat waktu 730 hari tersebut. Tanpa menafikan dan tidak berniat untuk memuji, KKF dilihat mampu diangkat sebagai sebuah kumpulan puisi yang mampu menepati ciri-ciri bergaya bahasa tinggi. RS dengan penuh yakin berjaya mencipta nuansa Islami dengan memanipulasikan metafora, hiperbola, personifikasi mahupun paradok tersendiri hingga menjadikan KKF segar dalam kedudukan yang tersendiri. Hal ini telah membawa saya jauh teringatkan seorang penyair wanita Terengganu, iaitu Noraini Muhammad yang kini terus menyepi.

Umumnya, KKF menghidangkan puisi-puisi yang bersifat introspektif diri Islami. Penyair wanita ini cuba meletakkan dirinya sebagai seorang insan kerdil yang seiras dengan pengertian 'fitrah' itu sendiri. 'Fitrah' secara bahasa merujuk kepada akar kata f-t-r (fa-tho-ro) dalam bahasa Arab (fitrah) yang bermaksud membuka, menguak, atau dirujuk sebagai bakat alami, perangai, tabiat, kejadian, asli, mahupun pemberian ke atas sifat peribadi. Lanjutan daripada itu, 'fitrah' juga boleh merujuk kepada makna 'asal kejadian', 'keadaan yang suci', atau 'kembali ke asal diri' khususnya merujuk kepada 'kembali kepada keadaan suci tanpa dosa'.

Justeru dalam konteks penyair Islam, pengerian fitrah tidak boleh dipisahkan daripada juzuk makna kamus Islam seperti yang ditautkan oleh Allah swt dalam surat al-Rum ayat 30 yang secara terang menghubungkaitkan konsep fitrah dengan manusia. Dalam ayat tersebut Allah swt berfirman: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan dalam ciptaan Allah, (iitulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Ayat ini inti patinya menjelaskan bahawa manusia yang berimankan Islam adalah wajib mempercayai kejadian fitrah atau keadaan jiwa (roh) kerana fitrah Islam adalah berbeza dengan hawa nafsu yang bersifat ketidaktahuan (jahil) hingga membuat seseorang tidak beriman terhadap syariat Islam. Hal ini dilanjutkan dengan pandangan Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa, fitrah manusia itu tidak lain adalah Islam, sebagaimana sabda Rasulullah saw, "Tidak ada seorang pun yang dilahirkan, kecuali ia terlahir dalam keadaan fitrah. Maka orang tuanyalah yang membuatnya jadi seorang Yahudi, Nashrani, atau Majusi" (HR, Bukhari).

Dalam kumpulan puisi ini, RS dilihat hidup dalam bayang-bayang srikandi Islam seperti Siti Fatimah, Rabiatul Adawiyah mahupun Syumaiyyah. Ketiga-tiga tokoh ini adalah wirawati Islam yang meletakkan Islam sebagai tapak asas ketika berbicara, bersosial apatah lagi ketika menyembah sujud kepada Pencipta yang dirinduinya. Hal-hal ini amat jelas diperlihatkan oleh Rs dan sifat-sifat ini adalah lambang kepada juzuk rasa syukur seorang insan yang meletakkan keutamaan dalam gerak-geri fitrah hidupnya. Rasa syukur adalah pernyataan batin yang tidak boleh dipisahkan dengan konsep fitrah jika dirujuk kepada pengertian pengabadian kepada Allah swt.

Fitrah Diri Dalam Konsep Rasa Syukur

Rasa syukur ada rasa yang terkesan daripada perasaan yang menerima ketetapan atu takdir Allah swt dengan senang hati tanpa mengungkit-ungkit atau marah dengan takdir yang menimpa diri. Rasa syukur bertolak daripada sifat keikhlasan yang akhirnya membawa kepada seluruh nikmat kebesaran Pencipta walau nimat itu berbentuk duka atau mengecewakan kerana semuanya itu ditanggapi sebagai satu ujian Tuhan demi peningkatan darjat keimanan makhluk. Rasa syukur adalah sifat terpuji bagi seseorang insan yang ingin menikmati makam takwa apatah lagi dalam usaha mendorong insan melahirkan kegembiraan apabila wujud situasi suka cita terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

Kegembiraan tersebut merupakan manifastasi syukur yang lahir daripada atindak balas substansi. Olah itu, rasa syukur merupakan fitrah diri yang turut hadir di dalam diri penyair RS. Dalam puisi "Benarlah Sehelai Daun" (hlm. 75), RS menjelaskan fitrah kejadian manusia yang sementara sifatnya.

Benar, kita tidak lebih daripada sehelai daun
yang pasti akan singgah
ke tanah dan pasti akan berubah menjadi zarah
sebelum berangkat ke mahkamah Allah...

Insan yang ikhlas dan jujur atas nikmat kehidupan yang dimiliki tidak dapat lari daripada rasa ingin membalas nikmat kebaikan yang diterimanya. Islam menitikberatkan penganutnya supaya sentiasa melafaskan ungkapan terima kasih atas apa-apa juga yang diterima. Ungkapan 'syukur' atau 'alhamdulillah' (segala puji-pujian untuk Allah swt) merupakan kalimah atau ungkapan yang sentiasa berada di bibir orang-orang beriman. Inilah nada penghargaan terima kasih yang terjelma sebagai tanda kesyukuran atas nikmat dari fitrah ketentuan Allah apatah lagi jika insan itu mempunyai pegangan pengabdian kepada Allah yang tinggi. ahli-ahli tariqad atau sufi misalnya adalah antara golongan yang tidak pernah lekang dari mulut dan hatinya dengan ucapan-ucapan syukur sebegini. Insan bertakmilah (sempurna rohani dan jasmani) adalah insan yang selalu mengucapkan tanda penghargaan  terima kasih apabila menerima hidayah, pertolongan, bantuan, pemberian, simpati ujian atau sebagainya. balasan kepada pemberian nikmat dan terima kasih yang ditujukan khas kepada allah (bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang) itulah dinamakan syukur. Hal ini bermakna setiap insan yang dilahirkan wajib bersyukur atas fitrah diri kepada Allah sepanjang hayat usianya tanpa sedikit pun rasa dendam atau syak prasangka.

Dalam puisi "Catatan Waktu Pagi" (hlm. 34), RS memperlihatkan dirinya sebagai seorang hamba yang tidak berupaya melanggar qada' dan qadar yang telah disuratkan. Fitrah penyerahan diri ini dilihat menepati tuntutan rasa syukur seorang hamba kepada Penciptanya.

Maafkan aku, ya ayuhai...
andai suaraku suara ngeri
yang menguras dingin belantara pagi
menggeliat sekalian pawana
bergegas sayap meninggalkan sarang
mengejutkan sulur menjadi gugur
menimpa gerak getas rapsodi
syariat dari tanah bumi
yang menutup makna diri
dalam katarsis yang mencari erti
Adam dan Hawa
jangan lagi mengingkari.

Maka diamku tidak lebih dari bisu
tak perlu bersuara walau pada batu
kalau itu dapat mengungkap
suara sunyi
tanpa peperangan lagi.

Kegembiraan penyair terhadap rasa syukur dapat dilihat dalam ungkapan rangkap akhir puisi ini, iaitu secara tersiratnya menjelaskan bahawa peristiwa kematian seseorang itu adalah peringatan kepada dirinya supaya sentiasa bersedia dengan detik kematian. Penyair menganggap detik kematian adalah satu peringatan buat dirinya supaya sentiasa bersyukur dengan fitrah kehidupan  ini. Berita kematian adalah satu fitrah kehidapan dan berita itu perlu ditanggapi oleh penyair dengan hati terbuka. kehadiran diksi 'suara sunyi' itu adalah kesedaran yang benar-benar mengajar dirinya erti iman dan amal untuk dijadikan bekalan kematian. Baris 'tanpa peperangan lagi' itu pula merujuk kepada bekalan iman dan amal si mati. Inti makna puisi ini memperlihatkan bahawa insan bertakwa adalah insan yang menganggap berita kematian adalah satu peringatan Tuhan kepadanya.

Percakapan rasa syukur yang lain boleh dikesan dalam puisi "Tentang Makrifat" (hlm. 29). Jika diperhatikan secara tersiratnya, penyair menyatakan segala duka lara yang dilaluinya dalam hidupnya adalah ujian yang dapat meningkatkan darjat rasa syukur dirinya. kesan daripada sebuah perjalanan hidupnya yang panjang dan fitrah diri yang berjungkir balik itu akhirnya telah melontarkan pengalaman rasa syukur yang dimengertikan sebagai asam-garam kehidupan yang dialami. RS tanpa menyedari telah mendedahkan hal-hal ini secara tersurat, seperti tulisnya;

Akulah, Ya Rabbana
teja yang mengubat luka di sirih pelupa.

Engkau yang mengajar aku tersenyum - dan tawaku
adalah junjungan lara yang kubawa
sejak perjanjianku yang pertama - tercemar
oleh dendam yang mencalarkan tubuhku
cambuk ngeri yang menguras dalam bisu
tak henti mencambuk waktuku-
aku pelajari untuk mengerti.

Tanpa berselindung, RS melontarkan nada rasa syukurnya dalam baris 'aku pelajari untuk mengerti' bagi memaknakan pengertian bahawa usianya yang kian menua itu banyak mengajar makna kekuasaan dan ketentuan Pencipta kepada dirinya itu tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata kecuali dengan pengucapan batin rasa syukur. Menyentuh hal yang hampir sama, penyair berusaha mengetengahkan persoalan yang mungkin sekali muncul dalam fikiran manusia biasa dan boleh dikongsikan. Pengalaman rasa syukur itu dapat dikongsikan apabila penyair mengungkap hal-hal tentang kematian yang merupakan rahmat yang patutu disyukuri walaupun berita itu merupakan satu berita yang menyedihkan. Keadaan ini boleh ditemui dalam puisi 'Ketika Sakaratul Maut" (hlm. 89-90), dan penyair menyatanya sebagai 'wakil' terhadap fitrah kematian dalam ketentuan rasa syukur itu;

Inilah janji yang sangat ngeri
yang Kau katakan
adalah dosa yang perlu ditolak pergi
bagi insan sufi sebelum tunuh menyerah ke bumi
supaya dosa dan amal dapat diiring ke langit lazuardi.

Inilah nikmat terakhir
dari segala rahsia
bunga cahaya bunga menyala
awan tertepu
meredupi roh yang pergi.

Puisi di atas menjelaskan, walaupun hidup tidak dihargai, tetapi rasa syukur itu jelas terlihat apabila penyair menulis ungkapan kepasrahan abadi seperti ini hingga mampu menghantar rasa syukur walaupun berada dalam kesedihan. Sungguhpun demikian, pernyataan tersebut sebenarnya membawa maksud rasa syukur yang lebih kepada rasa merendah diri dan tidak mahu menunjuk-nunjuk. demi mencapai tahap makam rasa syukur yang tinggi, penyair mengungkap kata-kata demikian sejajar dengan tuntutan surah Ibrahim ayat 7 firman Allah yang bermaksud;

Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amat pedih.

Ayat di atas menegaskan bahawa seseorang yang ingin mengabdikan diri kepada Allah swt hendaklah sentiasa bersyukur kepada seluruh ketentuan telah, sedang atau akan ditempuhi. setiap insan yang sentiasa mengamalkan rasa syukur sudah pasti mempunyai harapan yang cemerlang untuk menjadi penghuni syurga. Oleh itu, sebagai insan kita dituntut mengamalkan rasa syukur seperti bertasbih, bertahmid, berselawat, bersedekah, berbudi pekerti mulia dan meninggalkan segala larangan Allah swt. Justeru, penggunaan diksi dalam puisi terakhir berjudul "Sepohon Takjub" (hlm. 104-105) adalah pemutus kata bahawa penyair ini, iaitu RS adalah seorang serikandi Islam yang sedang bermuhasabah untuk melengkapkan diri dengan bekalan ke negeri abadi. Diksi dan frasa seperti 'hikmah uslub percintaan', 'akulah semut merayap', 'apa pada siapa di dada hamba' dan 'istirah diri' merupakan contoh pernyataan yang merujuk kepada insan kerdil (hamba).

Kurebahkan pandangan
kecelah melati rinduku
akulah semut merayap senyap
mengunpul bau tanah tujuh benua
membaca hikmah uslub percintaan
di tujuh musim pending
di tujuh musim terasing.

Kemanusiaan di wajah saudara
kasih sayang digenggam pencinta
percintaan di nurani kekasih
apa pada siapa di dada hamba?
(sebutir zarah terlalu kerdil).

Sepohon takjub
telah tumbuh
di susila hati
menyulur subur
di kelopak nurani
Ya... Allah.

Penggunaan diksi 'Ya... Allah' adalah istighfar yang merujuk kepada penyerahan diri dengan seluruh rasa kesyukuran setelah ditimpa dengan ujian. Hal ini diselitkan oleh penyair sebagai pembawa maksud pengabdian kepada Penciptanya. Seorang hamba yang taat kepada ketua akan sentiasa akur dan menerima nasib tanpa mempersoalkannya.

Kesimpulan

KKF perlu dibaca sebagai teks Islami yang keseluruhan puisi yang dihadirkan bergerak di atas landasan rasa syukur seorang hamba kepada Tuhannya. Amat sukar untuk menemukan mesej yang berbaur marah-marah atau pernyataan ketidakpuasan hati dalam buku ini. RS di lihat sedang memasuki sebuah dunia sufi seperti yang disakukan oleh Rabiatul Adawiyah, iaitu seorang wanita yang menterjemahkan konsep derita, sengsara, duka lara ang diberikan Tuhan kepadanya sebagai satu ujian yang ingin meningkatkan darjat ketakwaan seseorang hamba kepada Penciptanya. Hal ini adalah sejajar dengan konsep pengabdian kepada allah apabila hambanya dapat melihat dan menerima setiap ujian atau dukacita yang diberikan kepada makhluk perlu ditanggapi dengan rasa syukur yang tidak berbelah bahagi. Hal ini bermakna, sama ada ujian itu berbentuk konflik atau sebaliknya, bagai seseorang hamba, ujian ini perlu diterima dengan perasaan ikhlas atau inilah yang dinamakan fitrah kehidupan. sifat-sifat ini adalah sifat insan kamil seperti mana amalan yang dituntut bagi mencontohi akhlak Rasulullah saw. Keperibadian mulia Rasulullah saw yang sentiasa bersyukur dengan takdir Allah telah membawa jiwa baginda semakin bersih, kian dekat kepada Tuhan dan hatinya kian damai dan tenteram seiring ketetapan pesanan Allah swt dalam ayat "jika kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan nikmat kepada kamu". Oleh yang demikian, rasa syukur yang wujud di dalam diri manusia bukan sekadar lahir daripada rasa gembira tetapi turut hadir dalam bentuk ujian atau dugaan hidup. Pendirian penyair ini amat bertepatan dengan tuntutan bersangka baik (amar makruf) dengan berfikiran bahawa Allah swt amat sayang kepada hambanya atau kerana Allah ingin segera menghapuskan dosa hamba-hambanya lewat ujian itu. Islam melihat rasa syukur adalah emosi tetap yang terbit daripada fitrah diri sama ada berbentuk hikmah, akhlak, kebijaksanaan atau kedukalaraan. Semuanya itu merupakan lambang pengabdian makhluk kepada Tuhannya. Islam melihat juga bahawa konsep rasa syukur ini dapat dikaitkan dengan kalbu atau gerak hati, iaitu unsur rohaniah yang merujuk kepada konsep pengabdian kepada Allah swt. Hal ini disentuh di dalam hadis Rasullullah saw yang bermaksud:

Ketahuilah ada seketul daging di dalam diri kamu, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad, jika ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya. ketahuilah, itulah adalah qalb (hati atau gerak rasa).

Akhirnya, puisi bagi RS ialah fitrah diri yang sedang berkata-kata dengan manusia. Fitrah itu dijelmakan sebagai buku yang mengajak pembaca berbual tentang apa yang Tuhan takdirkan ke atas kajian manusia atau pemberitahuan tentang rahsia-rahsia yang tersembunyi di dalam keluk huruf serta perenggan yang terpenggal. Ada waktunya rahsia itu merayu simpati, ada masanya ia sunyi-sepi dan malu-malu, seperti perawan, yang membuka gerak kata pada dua ulas bibirnya, yang tidak kedengaran bunyi serta suaranya, tetapi penuh bermakna. Demikianlah al-kisahnya Kembali Kepada Fitrah.

Wallahu a'lam.

Bibliografi

Rosmiaty Shaari. 2014. Kembali Kepada Fitrah. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Shamsudin Othman. 2010. "Model Rasa Insaniah dalam Puisi Islam Tiga Penyair Nusantara". Tesis Doktor Falsafah, Jabatan Sastera, Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Malaya.






No comments:

Post a Comment