Monday 6 February 2017

Ulasan Dato Ahmad Said

Pantulan F/01/55/2016: Lubuk dosa

Kufikir-fikirkan elok mereorientasikan diri sebelum bermula lagi PULARA. Tidak terkandas hasrat itu apabila melintasi, “Tragedi Buah Epal” Rosmiaty Shaari, Dewan Sastera, Julai 2013, muka surat 72, yang berwarna-warni. 

Pun, kuakui sebaik membaca judulnya aku teringat lagu Anita Sarawak yang sama judulnya. Lirik lagu itupun sebenarnya sebuah sajak yang baik. Nyanyi Anita mengakhiri, “Oh tragedi/Oh sungguh pilu/kesemuan yang membius diri.” Dan lagu itu menarik lagi pula kuminati!

Tetapi Rosmiaty mengambil Bukit Bintang untuk mencetuskan kebobrokan yang mengotori manusia lewat nafsu yang menghonarkan kerana malam yang tampak indah berseri itu telah menghindarkan manusia daripada melakukan amalan atau aktiviti berpahala. Malam telah melekakan. Para pelaku mengelumangi kemaksiatan. Maka tidaklah mengejutkan lagi apabila para pelapor, penguasa, dan pemantau tingkah-laku (“angin dan malaikat”) melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan tertib dan patuhnya. Benar-benar, dengan tersangat berseni lagi pula kenanya, Rosmiaty mencatat bentuk pembalasan abadi ke atas mereka yang mendurhakai firmanNya.

Sajak yang gagah berdakwah lewah oleh canaian kata-kata yang indah-indah datang bagai musim bah, sekali-sekala. Tetapi ia memberi kesan kerana berutusan murni, bertepatan ajaran suci. Janganlah sajak-sajak berpermata begini kita langkaui seolah-olah seperti yang lain-lain, yang majoriti, yang banyaknya keberatan dibaca hatta sekali.