Friday 29 August 2014

DEWAN SASTERA SEPTEMBER 2014 - Concubine Lane







catatan hujung minggu

Kulihat mentari terbit di belakang keretapi, jauh di bawa pergi...

Berbeza generasi bersatu misi

Berbeza generasi bersatu misi

Oleh Dr Anwar Ridhwan
bhrencana@bh.com.my

Baru-baru ini, tiga kumpulan puisi oleh tiga penyair telah dilancarkan di Kuala Lumpur. Yang menarik, ketiga-tiga penyair boleh dikatakan datang daripada generasi yang berbeza. Akan tetapi mengapakah mereka ini - Ahmad Sarju, Rosmiaty Shaari dan Fahd Razy lebih cenderung kepada genre puisi?

Kata Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, 'Puisi itu permata sastera'. Pernyataan ini tidaklah menafikan kepentingan genre sastera yang lain seperti cerpen, novel dan drama. Puisi dianggap permata, kerana menurut Aristotle, puisi itu lebih halus dan lebih nilai falsafahnya jika dibandingkan dengan sejarah. Ini kerana puisi mengungkapkan sesuatu yang universal, sementara sejarah hanya membicarakan sesuatu yang tertentu saja.

Sungguhpun mencipta puisi adalah proses yang sukar, sejumlah pengarang Melayu menceburkan diri dalam penulisan puisi dulu sebelum menulis cerpen dan novel. Kebiasaan ini terjadi mungkin kerana mereka beranggapan menulis puisi itu mudah asalkan mempunyai rima dan dapat disiapkan dalam beberapa baris saja bagi menzahirkan sesuatu maksud.

'Memekatkan' pengalaman

Memanglah puisi itu padat dan intens, seperti pendapat Muhammad Haji Salleh. Tetapi, ini tidak bermakna puisi mudah dihasilkan, kerana puisi juga 'memekatkan' pengalaman manusia.

Proses 'memekatkan' pengalaman manusia inilah yang sukar, sehingga banyak penulis gagal menjadi penyair. Proses ini antara lain memerlukan penyair mengolah idea dalam bahasa dan suara muzik yang bermakna, di samping memasukkan kiasan serta imejan yang berkesan.

Tiga kumpulan puisi yang dilancarkan baru-baru ini, memperlihatkan kesungguhan tiga penyairnya mengolah idea dalam bahasa dan suara muzik yang bermakna, di samping memasukkan kiasan serta imejan yang berkesan.

Ini tergambar dalam kumpulan puisi Setitis Tinta oleh Ahmad Sarju, Kembali Kepada Fitrah oleh Rosmiaty Shaari, dan Ikan dalam Jiwa oleh Fahd Razy. Ketiga-tiga kumpulan puisi ini adalah terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Berbeza zaman

Ketiga-tiga penyair ini datang daripada generasi dan latar belakang yang berbeza. Ahmad Sarju yang dilahirkan pada tahun 1942 adalah penyair paling senior. Beliau mula berkarya dalam tahun 1950-an. Rosmiaty Shaari pula datang daripada generasi pertengahan. Sementara Fahd Razy adalah penyair daripada angkatan termuda.

Sepanjang jalan kepenyairannya selama enam dekad, Ahmad Sarju melihat dan merakamkan sejarah sosial, budaya dan politik bangsanya. Ia bukan saja akrab dengan permasalahan sosial luar bandar tempat beliau banyak memberi umur terbaiknya dalam dunia pendidikan, malah gejolak yang berlaku di kota dan dalam kalangan penguasa.

Suara Ahmad Sarju begitu jelas dan lantang dalam memperjuangkan keadilan dan isu kemanusiaan. Ia selalu peka pula akan hubungan vertikalnya dengan Maha Pencipta, seperti juga Rosmiaty Shaari melakukannya dalam Kembali Kepada Fitrah.
Bakat sastera

Judul kumpulan puisi Rosmiaty ini tepat sekali dengan suasana Syawal sekarang, ketika setiap penganut Islam yang telah menjalani ibadah Ramadan dengan sempurna, mengharap agar Ilahi mengembalikan mereka kepada asal muasal kelahiran insan tanpa dosa.

Kepekaan penyair Fahd Razy daripada angkatan muda, tidak kurang daripada apa yang telah ditanggapi Ahmad Sarju dan Rosmiaty Shaari. Ini penulis muda yang bukan lahir daripada pendidikan sastera tulen.
Tetapi bakat sasteranya mula membawa beliau mengikuti Minggu Penulis Remaja anjuran DBP pada tahun 2000, sebelum beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Dublin. Di sana beliau turut mengasaskan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan mengarahkan teater Mencari Jalan Pulang pada 2005.

Misi sama

Latar yang menjadi wadah pembicaraan isu-isu kemanusiaan Fahd Razy melebar bersama pengalaman peribadinya di beberapa tempat. Namun, isu yang menggugah maruah dan soladiriti umat Islam, terutama yang menimpa saudara seagama di Gaza, Palestin antara yang mencetuskan ilhamnya, untuk ia bersuara lantang.

Ahmad Sarju, Rosmiaty Shaari dan Fahd Razy berbeza generasi - ibarat seorang datuk, seorang anak dan seorang cucu. Sungguhpun datang daripada generasi yang berbeza, tetapi puisi mereka menyentuh misi kemanusiaan dan ketuhanan yang sama.

Penulis Dato' Dr Anwar  Ridwan
ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA





Berita Harian 25 Ogos 2014


Artikel peluncuran buku Kembali Kepada Fitrah di rumah Pena sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Tuesday 26 August 2014

Pesanan Buat Puisi-puisiku

tidurlah dalam lenamu yang tenteram
sebelum lenaku yang panjang....


http://diariperjalananku.blogspot.com/2010/03/ubat-penyakit-hati-amalkanlah.html

Tuesday 12 August 2014

DUA PUISI ROSMIATY SHAARI

DUA PUISI ROSMIATY SHAARI

oleh Djazlam Zainal

Puisi sememangnya suatu yang ajaib. Menelaah puisi tidak akan kunjung reda sebaliknya akan bertambah berjelaga. Dua puisi Rosmiaty Shaari yang terdapat dalam kumpulan puisi ' Kembali Kepada Fitrah ' menarik ingin pengamatan saya. Dua puisi yang dimaksudkan ialah ' Pisau dan Darah ' ( hal. 26 ) dan ' Sesudah Sisa ' ( hal. 59 ) Rosmiaty menulis cerpen sebelum menulis puisi. Agak lama beliau merehatkan diri daripada dunia penulisan sehingga beliau kembali dengan kumpulan puisi pertamanya ialah ' Dari Hitamputih Menjadi Zarah ' ( 2010 ) Kumpulan puisi ini telah diluncurkan pada 21 Oktober 2011 di Pusat Dokumentasi H.B. Jassin, Taman Ismail Marzuki, Jakarta yang dihostkan oleh Kumpulan AKSARA ( Himpunan Pengarang Indonesia ) yang diketuai oleh Saut Poltak Tambunan dan Dr. Free Hearty. Kumpulan puisi itu telah dibicarakan oleh Dr. Novi Anoegrajekti dan Handoko F Zainsam. Kesuksesan itu menyebabkan kumpulan puisi kedua diterbitkan dalam waktu yang lebih singkat iaitu ' Kembali Kepada Fitrah ' (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2014. 105 hal.)

Dalam dunia penulisan, Rosmiaty merupakan anak didik Shahnon Ahmad dan Fatimah Busu ( Seni Kreatif, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 1983/84 ) Kemudian beliau telah menjawat jawatan editor di beberapa buah penerbitan. Menangani karya-karya penulis kawakan mendewasakan beliau dalam menghasilkan karya. Kumpulan cerpennya, ' Malam Seribu Malam ' ( Teks Publishing, 1988 ) antara yang pernah diterbitkan. Dan apabila penghijrahannya ke genre puisi daripada genre cerpen, agak mengejutkan banyak khalayak. Namun, seperti kata Free Hearty, puisi perlu ada perenungan, kematangan jiwa, kehalusan rasa, serta penguasaan gaya bahasa yang indah, tepat dan benar daripada seorang penyair saat mengekspresikan pengalaman, pemahaman, pemaknaan dan imaginasinya tentang semesta yang dihasilkannya. Itu yang saya temukan dalam kumpulan puisi ' Kermbali Kepada Fitrah ' karya Rosmiaty Shaari ( hal. xiii ) Kandidat itu saya menekuni pembacaan untuk berkongsi ekspresinya.

Dalam ' Pisau dan Darah ' Rosmiaty menulis;

kau sebilah pisau bermata dua
menyilau dalam cahaya
mengelar ikut selera

aku darah merah menyala
berasal dari sumsum nestapa
senyap aku di pembuluh rahsia

kau pisau bermata dua
menghiris dua luka
mengharap darah
mengalir tanpa merasa

dan aku tetap darah
yang mengalir dari luka yang parah
dari duka yang sangat merah

kau dan aku adalah satu
tanpa kilau matamu
tiada merah darahku

Membaca puisi-puisi Rosmiaty, saya seperti bertemasya. Temasya spritual yang penuh estatika dan etika sehingga menyentuh jiwa ( Free Hearty, 2012 ) Saya melihat Rosmiaty kembali ke dalam dirinya apabila menemukan judul ' Kembali Kepada Fitrah ' Daripada keseluruhan judul itulah, Rosmiaty mengerakkan ideanya. Pisau dan Darah, saya pernah temukan dalam puisi Sapardi Djoko Damono, ' Kami Bertiga ' ( Sihir Hujan, DBP, 1984: 1 ) Sapardi menulis;

dalam kamar ini kami bertiga:
aku pisau, dan kata -
kalian tahu, pisau barulah oisau kjalau ada darah di matanya
tak peduli darahku atau darah kata

....

Pisau dan darah adalah dua sensesi yang berkaitan. Pisau gunanya untuk memotong, memutus, mengerat, mengelar dan perbuatan yang seumpamanya. Walaupun cara ia digunakan memberi signifiken yang berbeda, umpamanya memotong atau menghiris dilakukan dengan hati-hati dan cermat. Sementara mengerat, mengelar biasanya memberi makna kasar, kejam atau sadis yang menunjukkan kebencian. Namun keseluruhan perbuatan pisau itu akan mengalir atau mengeluarkan darah. Sekiranya menghiris, darah yang mengalir adalam perlahan dan tenteram. kalau mengerat atau mengelar, darah yang keluar akan mebuak-buak. Di sinilah bagaimana peranan pisau ini cuba digunakan oleh Rosmiaty. Dalam bait pertama, Rosmiaty menuliskan, ' kau sebilah pisau bermata dua/ menyilau dalam cahaya/ mengelar ikut selera// '
Baris pertamanya saja, pisau telah ditampilkan sebagai objek simbolik iaitu, ' sebilah pisau bermata dua. ' Tentu pisau bermata dua adalah simbol semacam talam dua muka atau telunjuk lurus kelingking berkait. Ini nahu dan perumpamaan Melayu yang sangat khusus dan khas. ' menyilau dalam cahaya / mengelar ikut selera ' dua baris yang saling kontradiksi. ' Menyilau dalam cahaya ' memberi konotasi yang baik namun ' mengelar ikut selera ' sangat kontradik, sadis dan menyindir.

Puisi adalah susunan kata-kata terbaik dalam kumpulan terbaik pula. Dalam satu rangkap dengan tiga baris ayat saja, keterujaan pembaca telah dikait sedemikian rupa. Dalam bait kedua, Rosmiaty menulis, ' aku darah merah menyala/ berasal dari sumsum nestapa/ senyap aku di pembuluh rahsia//
Baris kedua ini telah mewarnakan watak-wataknya. Telah terbentuk, kau adalah pisau dan aku adalah darah. Sekarang telah terbuka perlawanan, kau pisau yang bermata dua bertemu aku darah merah yang menyala. Ini pertemuan buku dengan ruas. Walaupun dikatakan darah merah menyala dari sumsum nestapa, namun terselit sesuatu, ' aku senyap di pembuluh rahsia. ' Sudah tentu kenyataan ini merupakan tawar menawar yang menarik. Puisi aliran surealisme ini menemukan bentuk-bentuk puisi Latif Mohidin. ' Kau pisau bermata dua/ menghiris dua luka/ mengharap darah/ mengalir tanpa merasa// Lihat bagaimana Latif Mohidin menekankan dalam ' Darahku. ' ( Sungai Mekong, 1981: 34 ) Saya perturunkan sajak Latif..

waktu malam didukong
oleh kebimbangan

darahku mencakar lukisan-lukisan
di tanah menyerupai
pohon mawar dan burung hantu

darahku memanjat
selangkah demi selangkah
pohon mawar menjerit meluluskan
gumpalan-gumpalannya
di antara duri-duri beracun

kemudian
( telah kudugai sejak pagi )
darahku disumpit burung hantu
gugur

darahku mimpikan satu saat
satu saat tanpa ancam dan pelarian
darahku mimpikan satu alam
satu alam tanpa kabus dan pagar

Lihat perbandingannya dengan dia bait terakhir sajak Rosmiaty;

dan aku tetap darah
yang mengalir dari luka yang parah
dari duka yang sangat merah

kau dan aku adalah satu
tanpa kilau matamu
tiada merah darahku

Puisi surealisme mengajak pembacanya merenung ke dalam. Keindahan gaya bahasa, iaitu bahasa Melayu yang digunakan oleh Latif Mohidin telah mengangkat nilai keindahan yang ada dalam bahasa Melayu ( Sekritariat Panel Hadiah Karya Sastera 1973, Aminudin Mansor, 2011 ) Dan ini dinukil kembali dalam puisi Rosmiaty ini. Keindahan yang luar biasa..

Puisi kedua ialah ' Sesudah Sisa '

setiap kali yang kauhulur penuh
tak lebih dari sisa yang kau ada
dari gelas yang hampir kosong
serdak dari air
kautapis selagi ada
biar jernih itu mengalir, katamu
sampai ke akhir

setiap kali kau mengambil pemberian
hanya sisa setelah santapan
kautelan dengan perlahan
pedih pun mengusap perutmu
penuh simpatisan
kau tetap ucap kesyukuran

kali ini, kaurayulah pada tuhan
untuk tidak lagi mendapat sisa
paling tidak mendapat sedikit lebih
daripada yang ada..

Kadangkala penyair akan merayau-rayau dalam dimensi yang sukar dimasuki. Terasa dalam ' Sesudah Sisa ' ini. Namun, sesungguhnya Rosmiaty telah menyuguhkan kepada kita suara daerah puisi yang penuh makna. Siti Zainon Ismail pernah menyuarakan kebimbangan tentang kepupusan penyair wanita setelah generasi Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail, Siti Zaleha M. Hashim, ( hanya menyebut beberapa nama ) mengakhiri zamannya. Apakah Rosmiaty Shaari, Raihani Mohd Saaid, antara yang diserahkan untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Hanya waktu yang akan menentu..