Friday 29 August 2014

Berbeza generasi bersatu misi

Berbeza generasi bersatu misi

Oleh Dr Anwar Ridhwan
bhrencana@bh.com.my

Baru-baru ini, tiga kumpulan puisi oleh tiga penyair telah dilancarkan di Kuala Lumpur. Yang menarik, ketiga-tiga penyair boleh dikatakan datang daripada generasi yang berbeza. Akan tetapi mengapakah mereka ini - Ahmad Sarju, Rosmiaty Shaari dan Fahd Razy lebih cenderung kepada genre puisi?

Kata Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, 'Puisi itu permata sastera'. Pernyataan ini tidaklah menafikan kepentingan genre sastera yang lain seperti cerpen, novel dan drama. Puisi dianggap permata, kerana menurut Aristotle, puisi itu lebih halus dan lebih nilai falsafahnya jika dibandingkan dengan sejarah. Ini kerana puisi mengungkapkan sesuatu yang universal, sementara sejarah hanya membicarakan sesuatu yang tertentu saja.

Sungguhpun mencipta puisi adalah proses yang sukar, sejumlah pengarang Melayu menceburkan diri dalam penulisan puisi dulu sebelum menulis cerpen dan novel. Kebiasaan ini terjadi mungkin kerana mereka beranggapan menulis puisi itu mudah asalkan mempunyai rima dan dapat disiapkan dalam beberapa baris saja bagi menzahirkan sesuatu maksud.

'Memekatkan' pengalaman

Memanglah puisi itu padat dan intens, seperti pendapat Muhammad Haji Salleh. Tetapi, ini tidak bermakna puisi mudah dihasilkan, kerana puisi juga 'memekatkan' pengalaman manusia.

Proses 'memekatkan' pengalaman manusia inilah yang sukar, sehingga banyak penulis gagal menjadi penyair. Proses ini antara lain memerlukan penyair mengolah idea dalam bahasa dan suara muzik yang bermakna, di samping memasukkan kiasan serta imejan yang berkesan.

Tiga kumpulan puisi yang dilancarkan baru-baru ini, memperlihatkan kesungguhan tiga penyairnya mengolah idea dalam bahasa dan suara muzik yang bermakna, di samping memasukkan kiasan serta imejan yang berkesan.

Ini tergambar dalam kumpulan puisi Setitis Tinta oleh Ahmad Sarju, Kembali Kepada Fitrah oleh Rosmiaty Shaari, dan Ikan dalam Jiwa oleh Fahd Razy. Ketiga-tiga kumpulan puisi ini adalah terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Berbeza zaman

Ketiga-tiga penyair ini datang daripada generasi dan latar belakang yang berbeza. Ahmad Sarju yang dilahirkan pada tahun 1942 adalah penyair paling senior. Beliau mula berkarya dalam tahun 1950-an. Rosmiaty Shaari pula datang daripada generasi pertengahan. Sementara Fahd Razy adalah penyair daripada angkatan termuda.

Sepanjang jalan kepenyairannya selama enam dekad, Ahmad Sarju melihat dan merakamkan sejarah sosial, budaya dan politik bangsanya. Ia bukan saja akrab dengan permasalahan sosial luar bandar tempat beliau banyak memberi umur terbaiknya dalam dunia pendidikan, malah gejolak yang berlaku di kota dan dalam kalangan penguasa.

Suara Ahmad Sarju begitu jelas dan lantang dalam memperjuangkan keadilan dan isu kemanusiaan. Ia selalu peka pula akan hubungan vertikalnya dengan Maha Pencipta, seperti juga Rosmiaty Shaari melakukannya dalam Kembali Kepada Fitrah.
Bakat sastera

Judul kumpulan puisi Rosmiaty ini tepat sekali dengan suasana Syawal sekarang, ketika setiap penganut Islam yang telah menjalani ibadah Ramadan dengan sempurna, mengharap agar Ilahi mengembalikan mereka kepada asal muasal kelahiran insan tanpa dosa.

Kepekaan penyair Fahd Razy daripada angkatan muda, tidak kurang daripada apa yang telah ditanggapi Ahmad Sarju dan Rosmiaty Shaari. Ini penulis muda yang bukan lahir daripada pendidikan sastera tulen.
Tetapi bakat sasteranya mula membawa beliau mengikuti Minggu Penulis Remaja anjuran DBP pada tahun 2000, sebelum beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Dublin. Di sana beliau turut mengasaskan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan mengarahkan teater Mencari Jalan Pulang pada 2005.

Misi sama

Latar yang menjadi wadah pembicaraan isu-isu kemanusiaan Fahd Razy melebar bersama pengalaman peribadinya di beberapa tempat. Namun, isu yang menggugah maruah dan soladiriti umat Islam, terutama yang menimpa saudara seagama di Gaza, Palestin antara yang mencetuskan ilhamnya, untuk ia bersuara lantang.

Ahmad Sarju, Rosmiaty Shaari dan Fahd Razy berbeza generasi - ibarat seorang datuk, seorang anak dan seorang cucu. Sungguhpun datang daripada generasi yang berbeza, tetapi puisi mereka menyentuh misi kemanusiaan dan ketuhanan yang sama.

Penulis Dato' Dr Anwar  Ridwan
ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA





No comments:

Post a Comment