Monday, 5 January 2015

KEHADIRAN INSAN DALAM KEMBALI KEPADA FITRAH

Oleh Dato' Dr Rahman Shaari


Apabila seseorang mula menatap puisi, dia pasti bersedia untuk berada dalam kawasan asing bahasa. Kawasan asing bahasa jauh berbeza daripada kawasan bahasa asing. Kawasan asing bahasa  ialah kawasan yang tidak menjadi kebiasaan kepada pengguna bahasa secara umumnya, hanya disukai oleh peminat wacana berkaitan. Bukan kecil jumlah orang Melayu, kerana puisi berada di kawasan asing.

Tidak perlulah saya berbicara panjang tentang kawasan asing ini. Sesiapa pun akan dapat faham jika saya katakan dalam percakapan biasa, Usman Awang yang kita kenali berbahasa mudah dalam puisi, tidak akan berkata 'Kami mengunjungi pusara bonda...' sebaliknya akan berkata 'Saya menziarahi kubur emak saya...' Oleh itu, jika baris ' Kami mengunjungi pusara bonda' itu sudah pun asing, apatah lagi baris ' Cinta berbaring di atas cermin' dalam sajak Setelah Diam Pun Melambung karya Rosmiaty Shaari (Kembali Kepada Fitrah, halaman 54).

Kita semua sedar bahawa bahasa puisi berlainan daripada bahasa prosa. Namun, bagi saya, Harry Aveling ialah sarjana yang mula-mula mengemukakan idea bahawa bahasa sastera, terutama bahasa puisi, ialah bahasa alienasi. Kita tidak akan mendapatkan mana yang tetap dan tepat daripada bahasa alienasi, kerana kita pun menjadi asing secara tersendiri ketika menatap dan menghayati puisi. Lebih jauh penyair menyelam dalam bahasa yang dikuasainya, semakin jauh makna lari daripada perkamusan di sekitar pembaca. Saya yakin, inilah sebabnya Hans Robert Jauss diikuti Wolfgang Iser mengemukakan dan melanjutkan teori resepsi.

Bagi menjelaskan perkara ini, kita ambil sajak 'Gerimis Merecup' halaman 3. Penyair menyebutkan:


Tatkala gerimis mulai merecup

kujunjung kata-Mu dalam debar jantung

lalu kulepaskan ke angkasa luas


Kita menanggapi bahawa keindahan iman tiba pada saat yang digambarkan itu, iaitu ketika bermulanya hujan renyai-renyai. Keindahan itu hakikatnya ialah keindahan kata yang membaluti makna yang dipetik dari alam. Ini ialah usaha penyair untuk dirinya kerana dialah pencinta alam yang sentiasa memaparkan keindahan bersekali dengan saranan keimanan dan nilai keislaman.

Makna yang lain pasti diserahkan oleh penyair kepada kita (pembaca) untuk terus menanggapinya. Jika dia tidak mahu menyerahkan makna kepada kita (pembaca) tentulah dia berbahasa mudah. Mengapakah penyair memerlukan saat gerimis mulai merecup baharulah dia menjunjung kata-Mu? Bukankah kata-Mu sesuai dan dituntut dijunjung bila-bila masa? Penyair mungkin mempunyai jawapan, bahawa keimanan ada pada setiap masa, tetapi ungkapan itu hanyalah pelukisan untuk membangkitkan kesan yang dikehendakinya.

Jika kita asyik dengan anjakan makna, segala-gala yang kita peroleh akan kita cabar. Teori Anjakan Makna ialah teori yang sentiasa mencari kemungkinan baru dalam setiap penemuan. Apabila Rosmiaty menyatakan 'Bagai si kecil mengutip lelah', kita akan bertanya siapakah si kecil? Penyair kemudiannya mengatakan:


kukutip kuntum-kuntum sirah

dari benarng berserak perak

kuhimpun menjadi surah

sehelai demi sehelai

kutadah di atas sajadah


Sirah dan surah ialah istilah agama, iaitu istilah yang menyatakan riwayat nabi Rasulullah dan juga bab-bab al Quran. Cara Rosmiaty menggunakan kata-kata itu cukup kreatif, dan bimbang pula orang lain hendak menggunakannya, kerana penyair dan pembaca akan berhadapan dengan kesanggupan atau ketidak-sanggupan menganjakkan makna.

Bagi penyair yang sentiasa mendekatkan diri, atau berhasrat mendekatkan diri dengan Pencipta, kata-kata yang dipilih selalunya memaparkan keberanian. Saya sebut 'keberanian' di sini dengan maksud kreativiti yang mengatasi takut yang difikirkan oleh penyair lain dalam hal agama. Sebagai contoh untuk maksud 'keberanian', saya kemukakan sajak Amir Hamzah yang dihasilkan dalam dekad 1930an:


Doa


Dengan apakah kubandingkan pertemuan kita, kekasihku?

Dengan senja samar sepoi, pada masa purnama meningkat naik, setelah menghalaukan panas payah terik

Angin malam menghembus lemah, menyejuk badan, melambung rasa

menayang pikir, membawa angan ke bawah kursimu.

Hatiku terang menerima katamu, bagai bintang memasang lilinnya.

Kalbuku terbuka menunggu kasihmu, bagai sedap malam menyirak kelopak.

Aduh, kekasihku, isi hatiku dengan katamu, penuhi dadaku dengan cahayamu, biar bersinar mataku sendu, biar berbinar gelakku rayu!

(dari Nyanyi Sunyi, PR,1935)


Demikianlah Doa oleh Amir Hamzah. kita tidak akan menganggap itu doa, jika Amir Hamzah tidak menulisnya pada judul. Setahu kita, bunyi doa adalah berlainan daripada bunyi puisi itu, namun apabila kita faham bahawa puisi ialah bahasa di daerah asing, satu alienasi, maka kita menerimanya.

Jika Amir Hamzah bergaya demikian dalam penghasilan sajak keagamaan, bagaimanakah pula gaya Rosmiaty Shaari? Pada puisi Rosmiaty, sesekali ada kesejajaran dengan Amir Hamzah, tetapi tidaklah sama. Rosmiaty, melalui sajak ' Izinkan Aku Memaut Kasih-Mu' mengemukakan pernyataan yang saya kira belum dibuat penyair lain. Saya turunkan rangkap pertama untuk kita renungi:


Seberat batu yang menghempap Bilal

yang menekan itu Engkau - melihat kesabaran

sepedih cambuk yang merambat tubuh Rabiah

yang menyula nurani itu Engkau - melihat kestiaan

tanpaMu takkan basah bibir bertitir

takkan bergema tasbih berzikir

lalu puja dan puji

pasrah dan redha

semua dirahmati

dalam cahaya yang sedia menemani


Sajak yang sedang kita bicarakan ini ialah sajak tentang hasrat mahu memperkukuh keimanan. Judulnya telah menyatakan demikian. Watak Bilal dan Rabiah ialah watak-watak ukuran, iaitu penyair mengukur pencapaian diri sejauh manakah dirinya sampai berbanding dengan tokoh-tokoh itu. Kesimpulan yang ada dalam sajak ini:


tidak layaklah aku tangisi

meski sujudku berkali

dan Engkau memerhati

aku masih mencari diri

yang hilang dalam ilusi


Makna yang saya dapati, selaku pembaca, Bilal dan Rabiah beroleh nasib baim, kerana mereka diuji sedemikian parah. Seksaan yang menimpa Bilal dan Rabiah hanyalah ujian kesabaran dan kesetiaan. Jadi, sesiapa yang tidak diuji oleh peristiwa sedemikian masih dianggap kekurangan, dan penyair secara tersirat sedang menunggu ujian sedemikian. Dengan tanggapan yang demikian, kemunculan watak durjana dalam masyarakat - yang zalim dan kejam- penghempap batu dan pencambuk - ialah alasan untuk watak murni beroleh kenikmatan iman.

Pandangan yang terjelma dalam puisi Rosmiaty yang telah dibicarakan di atas, membawa kita ke arah pemahaman sedemikian.

Sajak 'Pisau Dan Darah' agak lain. Sajak ini melukiskan manusia dalam lingkungan eksistensialisme luka. Tiada tanda bahawa sajak ini religius. Manusia berkecengderungan untuk kerap luka, kalau pun tidak sentiasa luka, kerana di sekitar manusia tersedia bahaya. Ini ialah kenyataan dalam kehidupan, namun kita selalunya tidak mengambil berat tentangnya. Perhatikan rangkap pertama sajak ini:


Kau sebilah pisau bermata dua

menyilau dalam cahaya

mengelar ikut selera


Apabila pisau berkecenderungan mengelar ikut selra, maka akan sentiasalah ada mangsanya. Gambaran ini umum, dan sesiapa pun dapat memahaminya apabila dikaitkan dengan konteks kehidupan duka yang dilalui. Saya sebut keadaan ini eksistensialisme luka, kerana kewujudannya tidak dapat dielakkan. Dalam kehidupan kita, kebahgiaan bergantian dengan kelukaan, yang dalam sajak Rosmiaty kebahgiaan ialah 'bunga' seperti yang dipaparkan dalam sajak 'Sepohon Takjub'.

Sajak 'Pisau Dan Darah' menyatakan manusia tidak dapat lari daripada kelukaan. Darah mengikut penyair, ialah persediaan untuk menghadapi kesedihan. Jika hari ini kita gembira, adakah esok menjamin pengekalan bahagia? Kita nikmati kata-kata Rosmiaty:


Aku darah merah menyala

berasal dari sum-sum nestapa

senyap aku di pembuluh rahsia


Hubungan antara pisau dan darah ialah hubungan antara nasib manusia dengan diri manusia sendiri. Bagi orang yang bersedia, kelukaan ialah nasib yang boleh diterima tanpa kesal atau keluhan. Dua rangkap ini menyatakan hal tersebut:


Kau pisau bermata dua

menghiris dua luka mengharap darah

mengalir tanpa merasa


Dan aku tetap darah

yang mengalir dari luka yang parah

dari duka yang sangat merah


Kesimpulannya adalah pernyataan simbolik, bahawa pisau dan darah saling berhubungan, dan hubungan akrab sehingga dikatakan 'satu'.


Kau dan aku adalah satu

tanpa kilauan matamu

tiadalah merah darahku...


Pernyataan simbolik seperti di atas membaawa makna yang jauh, dan sangat mengharapkan perkaitan dengan pengalaman pembaca. Selain pembacaan dengan berdasarkan teori resepsi sastera, terdapat konsep kaedah mengalami menghayati dalam bacaan karya sastera. Kita akan faham segala yang dinyatakan penyair setelah kita bawa pengalaman kita sendiri ke penafsiran.

Penyair ini sentiasa berfikir tentang kewujudan melalui perbandingan. Saya ingin mengemukakan sajak ' Di Negeri Cacing' untuk menunjukkan bahawa penyair tidak melepaskan makhluk yang kecil dalam usaha merumuskan pemikirannya. Perhatikan penyair dengan cepat, sepintas lalu, menghubungkan 'kau' (cacing) dengan 'aku' (manusia).


ini makrifat alam

kau hidup dalam tanah

kau mati menjadi tanah

aku datang dari tanah

aku pulang kepada tanah


Beza antara manusia dan cacing, dari segi kejadian dan pemergiannya tidak jauh, kerana kedua-duanya dari tanah ke tanah. Sajak ini diakhirkan dengan pernyataan dalam kurungan, iaitu pernyataan yang mempertanyakan harga sekepal tanah yang menjadikan makhluk manusia dan cacing.


Kesimpulan


Agak banyak segi lain yang boleh dibicarakan apabila kita menatap Kembali Kepada Fitrah, karya Rosmiaty Shaari. Saya hanya mengambil segi kehadiran manusia di dunia, kerana saya dapati penyair memberikan tumpuan terhadap perkara itu. Dalam kebanyakan puisi, kehadiran yang dimaksudkan ialah kehadiran dirinya, diri penyair atau diri protagonis. Pendekatannya ialah pendekatan keagamaan, dengan penekanan terhadap cinta kepada Ilahi. Dengan pendekatan itu, sajak Rosmiaty dapat kita tanggapi sebagai sajak zikir. Di samping itu, penyair banyak juga menyatakan fikiran. Oleh kita, dapatlah kita namakan sajak jenis ini sajak zikir dan fikir.


Bacaan:

C. Hooykaas, 1965, Perintis Sastera. Kuala Lumpur: Oxford University Press

Eagleton, Terry, 1983, Literary Theory: An Introduction. Minneapolis; University of Minnesota Press.

Rosmiaty Shaari, 2014, Kembali Kepada Fitrah, Kuala Lumpur Institut Terjemahan & Buku Negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment