Monday, 11 July 2011

PENULIS PERAK : Rosmiaty Shaari

Detik Mula

Bila teman-teman bertanya, bagaimana saya boleh menjadi seorang penulis, saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Seingat saya, di musim kecil saya, sekitar usia saya 10 ke 12 tahun, seorang penyair bernama Abdul Mutalib, tinggal berjiran dengan keluarga saya di Teluk Intan. Saya sering ke rumahnya kerana beliau menyimpan koleksi buku-buku dan majalah yang banyak dan sentiasa melanggan majalah setiap bulan, terutama majalah Dewan Pelajar. Sayalah pengunjung setianya, membaca buku-buku dan majalah kanak-kanak. Beliau seorang yang baik hati dan tidak lokek membenarkan saya membaca buku-buku dan majalah-majalahnya. Diam-diam, saya menyimpan hasrat, 'kalaulah saya seorang penulis sepertinya...'

Pengalaman lalu banyak membantu diri saya muncul sebagai penulis. Rasanya tidak perlulah saya menceritakan apa pengalaman itu kerana ia sering muncul dalam karya-karya saya. Hanya yang saya terfikir, barangkali arwah ayahanda saya juga meminati dunia penulisan tetapi beliau tidak berkesempatan untuk menampakkan bakatnya di khalayak pembaca oleh kesempitan hidup. Namun, seingat saya, arwah ayahanda sering menulis pengalaman dan aktiviti harian ke dalam diarinya. Saya sempat membaca segala pengalaman pahit jerihnya. Sayang, buku catatan itu telah hilang entah ke mana.

Bila usia saya meningkat remaja, saya mula berjinak-jinak menulis. Saya pernah mendapat tempat pertama mengkritik novel peringkat sekolah. Ketika itu, saya baru berusia 17 tahun dan memilih novel Puntung Hanyut karya Nora untuk dikritik. Setelah menamatkan Tingkatan 5, saya terus cuba menulis. Cerpen pertama saya berjudul Nenek Utih, saya usahakan untuk diadili ke pertandingan menulis cerpen PENTAS. Ketika itu saya belum menjadi ahli persatuan, dan oleh kerana keesokan harinya tarikh tutup penghantaran penyertaan, malam itu juga saya memujuk setiausaha persatuan yang baru saya kenali, Ustaz Kamaruddin Dani, supaya menerima saya menjadi ahli dan seterusnya menerima penyertaan cerpen saya. 

Di luar pengetahuan saya, pengadil bagi peraduan itu rupanya diketuai oleh Saudara Othman Rasul yang menjadi sahabat saya hari ini. Saya langsung tidak menjangka bahawa cerpen saya telah diisytiharkan memenangi tempat pertama, diikuti oleh cerpen arwah M. Saleh Mahyat dan cerpen Sdr Onn Abdullah. Itulah detik permulaan perjalanan penulisan kreatif saya. Dan, saya masih ingat arwah ayahanda telah membelikan saya sebuah mesin taip secara ansuran sebagai penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan saya dalam dunia penulisan ini.

Catatan Penulisan Cerpen

Dalam penulisan prosa seperti cerpen, saya amat tertarik dengan gaya penulisan Shahnon Ahmad, Fatimah Busu, Baharuddin Kahar, dan Anwar Ridwan. Meskipun saya pernah berguru dengan ayahanda Shahnon Ahmad dan Fatimah Busu, namun mereka berempatlah yang menjadi idola saya waktu itu.

Pengalaman dan persekitaran adalah sumber utama penulisan saya. Bagi saya, penghayatan yang tajam amat perlu bagi seseorang penulis untuk melahirkan sesebuah karya yang baik. Dari pembacaan yang banyak, melakukan perbandingan demi perbandingan antara karya-karya yang baik, mampu memiliki pesepsi yang halus, menguasai nilai-nilai estetika, serta menerapkan falsafah yang dapat difikirkan oleh khalayak pembaca, itulah yang cuba saya garapkan ke dalam setiap karya cerpen saya. Justeru, apa yang saya mahu ialah supaya karya saya hidup dan bergerak, tidak statik beku dan kaku.

Alhamdulillah, walaupun cerpen-cerpen saya tidak pernah mendapat anugerah peringkat kebangsaan, namun saya sangat bersyukur apabila kumpulan cerpen saya Malam Seribu Malam turut menjadi pilihan di National Library of Australia dan kebanyakan perpustakaan di US dan Indonesia (sumber dari internet) serta menjadi bahan kajian pelajar di National University of Australia. Itupun sudah sangat besar bagi saya.

Catatan Penulisan Puisi

Apa yang dicari oleh penyair? Begitulah antara banyak pertanyaan yang saya terima, malah saya juga pernah mengajukan soalan yang sama kepada beberapa orang rakan penyair. Rata-rata jawapannya ialah, penyair mencari dirinya yang hilang! Jawapan yang menuntut saya memeras fikiran.

Apakah yang dimaksudkan dengan diri yang hilang? Rata-rata saya melihat mereka riang, gembira malah tidak memperlihatkan ada kehilangan yang mereka maksudkan itu. Atau, seperti miraj di hadapan mata, mereka mahu memasukinya, lantas apabila kian didekati, miraj itu kian menghilang dan kemudian mereka kejar lagi untuk menggapainya semula. Mungkin, yang bersifat niskala itulah yang dikejar oleh sesetengah penyair! Atau, mungkin juga mereka mencari nilai ‘keakuan’ dalam diri mereka. Apapun, bagi saya semua ini bersifat niskala, lalu wujudlah sajak-sajak yang dikatakan menganut aliran absurd, surrealisme mahupun realisme.

Lalu saya pun bertanya diri sendiri, apa pula yang saya cari dalam dunia kepenyairan ini? Jawapan saya mudah saja. Saya hendak berpuisi, lalu saya berpuisi. Saya tidak berpegang pada mana-mana aliran. Terpulanglah kepada peneliti sastera hendak mereka katakan apa saya ini. Tujuan saya hanya satu, berpuisi! Dan, ada beberapa perkara yang menolak saya untuk meneruskan kesungguhan ini.

Pertama: saya telah melakukan pembaziran waktu yang cukup lama, yang sepatutnya dapat saya garap dan himpunkan sebanyak mungkin hasil karya penulisan kreatif yang mula saya ceburi yakni sejak usia saya 17 tahun. Meski sempat menerbitkan kumpulan cerpen perseorangan dan kumpulan bersama, saya kemudiannya telah menyepikan diri selama berbelas tahun, sehinggalah saya tidak upaya lagi mempertahankannya. Akhirnya, saya kembali menulis, berkarya dan berpuisi. Ada soalan, mengapa saya lama tidak menulis? Sukar bagi saya untuk menjawabnya..

Kedua: Ada rasa yang meronta, entah bagaimana munculnya pun, saya tidak tahu. Ia lahir dari jiwa atau sukma, membawa kepada fikiran, ditolak pula oleh ransangan tubuh untuk melengkapkan kepada penyempurnaan hasil sesebuah sajak. Saya merasa satu keajaiban setiap kali berpuisi, seperti seorang ibu yang melahirkan seorang bayi, bukan merasa seronok tapi nikmat kesakitan itu yang membawa kepada kepuasan batini. Kerana setiap kali saya berpuisi, saya akan merasai jerih dan payahnya, menggendong dengan beban fikiran yang sarat, sebelum mampu saya melahirkannya.

Ketiga: Ya, saya juga tidak terlepas daripada ingin mencari, menggali, meneliti, mengungkap, memberi dan berkongsi. Kalaulah melalui berpuisi, saya mampu mendekati khalayak pembaca saya, mengungkap tentang kebesaran dan keagungan al-Haq, apakah yang lebih indah selain berupaya membuka minda mereka untuk turut memikirkan apa yang saya fikir. Kalau saya meraba-raba dalam kegelapan pula, saya mengharapkan ada khalayak yang dapat membantu saya menerangkan kegelapan itu. Pesan arwah ayahanda saya, menelusuri jalan yang lurus itu mudah tetapi sangatlah tidak mudah. Mengapa?

Keempat: Pintu dunia kepenyairan ini sudah terbuka luas dan saya telah pun memasukinya!

Demikianlah, antara sebab saya berada di dunia penulisan kreatif. Saya berdoa, di samping berharap supaya dalam diri saya sentiasa ada ketenangan, panduan dan dorongan untuk terus berkarya dengan hasil yang lebih tulus, mulus dan qudus. Kalau boleh, biarlah seperti titisan embun yang gugur di dinihari, berkaca, dingin malah syahdu mengalirkan zikir untuk kembali naik ke atas, insyaallah. Maha Suci Rabbmu yang mempunyai kekuatan dari apa yang mereka katakan, semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas para Rasul dan segala puji bagi Allah, Rabb seru sekalian alam.

Biodata Penulis

Rosmiaty Shaari dilahirkan di Teluk Intan, Perak. Mendapat pendidikan hingga memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan. Mengikuti Pengajian Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia tahun 1983/84. Pernah menjadi Editor di Teks Publishing/Singamal Publishing (1985-1989), Editor di Marwilis Publisher (1990-1994), Free Lance Editor bagi Flo Enterprise, Penerbit Karyawan, Penerbit S. Abdul Majeed dan Penerbitan Murni hingga kini. Antara karya yang telah diterbitkan ialah antologi cerpen persendirian Malam Seribu Malam (Teks Publishing,1988), antologi cerpen bersama Mannequin (Kerajaan Negeri Selangor, 1986), kumpulan puisi bersama Temoh Tasik Kenangan (Karyawan Pk, 2010), kumpulan puisi bersama Kampung Bandar Dalam (2010), kumpulan puisi bersama KEMALA - Meditasi Dampak 70 (Insandi, 2011). Karya-karya beliau turut dimuatkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Pelajar, Jelita, akhbar Minggun Malaysia, Berita Minggu, Siasah, Horison Online, E-Sastera, Blog Penyair Nusantara dan lain-lain. Kumpulan puisi/sketches bersama Azad (putera ke-2 beliau) berjudul ...dari hitamputih menjadi zarah merupakan kumpulan puisi perseorangannya yang terbaru diterbitkan oleh I Man Creative (2011). Antara antologi yang bakal diterbitkan ialah antologi puisi bersama 15 penyair wanita Malaysia di senggarakan oleh Rajeswari Jayaraman, antologi cerpen bersama empat cerpenis wanita Malaysia/Indonesia disenggarakan oleh De Kemalawati (Sasterawan Aceh) dan antologi puisi bantah PPSMI disenggarakan oleh Rosan Azen Md Rasep.

No comments:

Post a Comment