Tuesday 17 May 2011

matahari kian rembang

PADA mulanya aku tidak mengerti kenapa nenek mesti menangis.  Nenek tersedu-sedu. Nenek memeluk tubuhku dan aku terdengar suaranya serak, tenggelam timbul dalam tangisannya.
      Pipiku dicium, galak. Terasa air mata nenek yang hangat, membasahi pipiku. Kulit pipi nenek yang kendur, pun terasa melekap di pipiku. Kemudian terasa pula rambutku yang pendek lurus, diusap perlahan-lahan. Kemudian lagi terasa pula tangan nenek menjalar ke tengah belakang. Tangan nenek mengurut-urut belakangku. Lama nenek begitu. Tekakku terasa mual, tercium bau sireh dan tembakau sogek dari mulut nenek. Aku jadi kelemasan. Namun, untuk tidak menyinggung perasaannya, aku biarkan saja. Aku tahankan nafasku semau-maunya.
      Selama ini belum pernah aku melihat nenek sebegini sedih. Kecuali sewaktu atuk meninggal dunia dulu. Selepas itu, seingat-ingat aku, nenek tak pernah menangis lagi.
      Abang Idin, sejak tadi kulihat tercegat berdekatan kami. Wajahnya juga hiba. Aku tidak tahu kenapa Abang Idin ada di rumah kami. Mungkin nenek yang memanggilnya, minta tolong belikan sesuatu. Atau mungkin nenek minta bacakan surat. Aku lihat ada semacam surat di tangan Abang Idin. Tapi surat dari siapa? Nenek jarang benar terima surat. Cuma sesekali nenek terima surat dari emak.
      Emak!
      Semacam rasa kebencian mula menjalar ke dalam benakku. Apakah emak menyuruh aku pulang? Tidak! Aku tidak mahu pulang. Aku lebih suka tinggal dengan nenek. Aku benci emak! Aku benci ayah! Aku benci semua orang di Taman Kekabu. Tidak! Bukan semua orang.
      Aku suka pada Yi.
      Aku suka pada Tito.
      Anis pun aku suka.
      Dan Lam! Iya, aku paling suka pada Lam. Lam paling baik antara semua.
      “Pipah, kamu benci aku?”
      “Taklah. Aku suka kamu”
      “Habis, ngapa kamu pergi?”
      “Sebab emak dan ayah tak sayang aku.”
      “Tapi kamu jahat. Kamu suka lawan emak ayah kamu. Kamu suka gaduh dengan adik-beradik kamu.”
      “Sebab mereka benci aku. Aku lawanlah!”
      “Jadi, kamu mahu pergi juga?”
      “Hemm…”
      “Kalau kamu pergi, kamu mahu ingatkan aku?”
      “Tentu.”
      “Macam mana aku tahu kamu ingatkan aku?”
      “Aku mimpikan kamu. Macam mana?”
      Aku masih ingat melihat airmata Lam tergenang di kelopak matanya. Dan aku juga masih ingat yang aku telah mengusap air matanya yang mengalir di pipi. Masih terasa hangatnya air mata Lam seperti hangatnya air mata nenek.
      Akhirnya, aku pergi meninggalkan Lam, meninggalkan Tito, meninggalkan Yi, meninggalkan Anis dan segala kebencianku di Taman Kekabu. Aku pergi mengikut nenek ke Pulau Pinang. Aku senang tinggal bersama nenek walaupun kerinduanku pada Lam, Yi, Tito  dan Anis menggamit-gamit aku pulang. Namun, kerinduanku cepat pudar setiap kali wajah emak atau ayah menjelma. Aku jadi benci. Terlalu benci pada mereka. Dan aku sendiri tak mengerti kenapa aku sampai membenci mereka. Ah! Aku tak tahu. Aku tidak mahu pulang sampai bila-bila pun. Kalau nenek suruh aku pulang, aku tak akan pulang. Kalau nenek paksa juga, aku akan lari. Aku akan pergi jauh-jauh. Aku tak mahu pulang kepada emak dan ayah lagi. Aku benci, dan sumpah aku tak mahu jumpa mereka lagi!
      “Pipah….”
      Aku dengar suara nenek seperti serak  dan nadanya begitu sebak. Aku ingin menyahut panggilan nenek. Malah aku juga ingin bertanya, apakah yang menyedihkan hati nenek. Namun, suaraku sudah hilang entah ke mana bila kebencianku untuk pulang ke tempat emak begitu menghimpit perasaan. Akhirnya, aku hanya berdiam diri menanti nenek meneruskan untuk mengkhabarkan sesuatu yang sudah aku tahu.
      “Pipah…., kamu masih benci emak kamu, Pipah?”
      Terasa seperti tergigitkan pasir, kengiluan menyusup-nyusup ke ulu hatiku bila nenek mengajukan pertanyaan itu. Aku ingin lari dari nenek tapi pelukan nenek begitu kuat, memautku. Terasa kebencianku semakin memuncak. Kenapa nenek mesti  tanya seperti itu? Bukankah nenek sendiri telah tahu aku terlalu benci pada emak? Bukankah nenek sendiri tahu emak dan ayah selalu memukul aku? Bukankah nenek tahu aku selalu melawan emak dan ayah dan selalu bertumbuk dengan adik-beradikku? Dan bukankah nenek juga tahu, kerana kebencian emak dan ayah maka aku ingin dihantar saja ke Sekolah Henry Gurney di Melaka. Nenek tahu sekolah apa itu? Kata Lam, itulah sekolah budak-budak jahat! Sekolah tempat budak-budak dihukum sebat! Kalau emak dan ayah sudah sanggup menghantar aku ke sekolah seperti itu, apakah tidak salah kalau aku katakan yang mereka sudah membenci aku? Tidak benarkah kalau aku katakan yang mereka sudah tidak sanggup membela aku? Dan sekarang  aku mahu bersama nenek.
      Aku ingin merayu nenek agar aku jangan di hantar pulang. Aku tidak mahu dihantar ke Sekolah Henry Gurney. Aku juga tidak ingin melihat wajah emak dan ayah. Dan paling aku tidak sanggup melihat Ciknyah, Cikco dan adik-adikku mendapat kemanjaan oleh emak dan ayah sedangkan aku hidup terasing! Namun, kali ini aku sudah tidak berdaya untuk merayu nenek seperti aku merayu nenek membawa aku bersamanya lapan bulan yang lalu.
      Kini segala-gala yang kurasakan adalah ketakutan. Ketakutan untuk dihantar pulang ke pangkuan emak dan ayah. Aku ingin menangis tapi airmataku tidak mahu keluar. Aku ingin bersuara tapi suaraku tertampan di kerongkong. Akhirnya, sekali lagi aku hanya mampu untuk menelan air liurku dengan rasa yang amat perit.
      “Pipah, cakap Pipah. Kamu sayang emak tak?”
      Tangan nenek semakin lembut mengusap rambutku. Airmatanya semakin banyak berhamburan jatuh menimpa pipiku. Aku semakin tak mengerti kenapa nenek mahu kepastianku yang selama ini nenek telah pasti. Oh! Bencinya aku!
      “Nek, Ipah tak mau pulang. Ipah tak mau pulang, nek.”
      Sejurus itu dadaku menjadi begitu sebak. Aku ingin lari. Lalu aku lari.
      Dammmmm….!
      Aku toleh ke belakang. Nenek tersungkur ke tepi dinding. Tangan kiri nenek terkial-kial mengampu lututnya. Wajahnya pucat. Nek! Aku telah menolak nenek.
      Nek, maafkan Ipah. Ipah tak bermaksud mahu membenci nenek. Ipah sayang nenek.
      Dengan perasaan mendongkol, aku datang ke dekat nenek lalu terus memeluknya, erat.
      “Nek, Ipah sayang nenek. Tapi Ipah tak mahu pulang. Emak tak sayang Ipah. Ayah tak sayang Ipah. Semua orang tak sayang Ipah. Ipah tak mahu pulang, nek. Ipah tak mahu pulang.”
      Aku sudah tak dapat menahan perasaanku lagi. Dalam ribaan nenek, aku sembamkan mukaku ke celah dadanya dan aku menangis. Paling besar harapanku agar nenek tidak menyerahkan aku kepada emak dan ayah semula. Aku tidak mahu!
      Nenek semakin kuat tangisannya dan semakin erat pelukannya. Dari celah ketiak nenek, aku lihat Abang Idin yang sejak tadi berdiam diri, tertunduk ke lantai.
      “Pipah, dosa besar Pipah kalau kita benci orang. Pulak kalau emak sendiri. Tak diampun dosa kita kalau kita benci dia.”
      Setiap kali itulah yang nenek selalu ingatkan aku. Setiap kali itulah juga yang Ustaz Haidir selalu ingatkan aku. Aku sudah tahu benar semuanya. Tapi apa yang harus aku lakukan kalau kebencianku pada emak dan keluargaku adalah kebencian yang luar biasa. Kebencian yang terlalu amat!
      “Nek, Ipah tak mahu pulang.”
      “Tapi kamu mesti pulang juga, Pipah. Kamu mesti jumpa emak kamu. Kamu tak boleh benci emak kamu lagi.”
      “Ipah nak lari!”
      “Jangan. Kamu mesti pulang, Pipah!”
      “Untuk apa, nek. Untuk emak marah Ipah. Tampar Ipah. Pukul Ipah. Ikat Ipah kat pokok kerengga. Benam Ipah dalam kolam sampai lemas! Dan ayah pun sama, benci Ipah? Lepas tu kata Ipah ni jahat. Degil! Ipah dah tak sanggup. Sakit, nekkk….” Tak tertahan rasa sebak pilu lalu aku tersengguk-sengguk dalam pelukan nenek.
      “Untuk ngajikan emak, Pipah.”
      Aku tiba-tiba terdengar kicau kelicap madu berkeciau di luar tingkap. Angin dari arah pantai Sungai Gelugur pula terasa menyapu pipiku. Dinginnya terasa menyerap bersama  rembasan airmataku. Aku juga terdengar gurisan ranting-ranting jambu batu bergeseran di atas atap zink. Kengiluan menyusup jauh ke dalam hatiku. Berbaur pula dengan keresahan nafas dan sedu sedan nenek, semakin tersiat-siat rasa seluruh anggota sarafku.
      Aku tiba-tiba jadi terpegun. Airmataku juga tiba-tiba berhenti mengalir. Perasaan apakah yang tiba-tiba menguasai diriku? Sayu apakah yang kualami ini?
      Perjalanan dari Pulau Pinang ke Teluk Intan kurasakan terlalu lama benar. Bas ekspres yang kunaiki terasa amat lambat perjalanannya. Entah kenapa aku terlalu ingin cepat pulang ke Teluk Intan. Namun, aku tidak tahu perasaan untuk pulang yang bagaimanakah ini. Segala-galanya menjadi serba aneh!
      Kematian emak sebenarnya terlalu asing bagiku. Sejak nenek memberitahu tentang kematian emak semalam, aku tidak tahu apakah aku ini sebenarnya sedang bersedih. Tapi sejak semalam, aku tidak mengalirkan airmata walau setitik pun. Aku cuba bercakap-cakap dengan nenek. Tapi terasa begitu payah untuk mengeluarkan kata-kata. Seolah-olah suaraku tertampan di kerongkong oleh sesuatu yang amat memeritkan tekakku. Dadaku terasa semakin mengembang dan mengembang seakan mahu meletup! Dan lagi, seluruh anggotaku menjadi semakin lesu dan lesu. Akhirnya, aku hanya berdaya untuk memejamkan kedua belah mataku.
      Nenek sudah lama terlena. Sejak semalam nenek tidak tidur. Nenek asyik mengaji Quran. Barangkali nenek sudah mengantuk benar.
      Angin yang sentiasa menampar muka serta malam yang terlalu gelap, terasa seperti mahu menghukum aku. Aku ingin tidur bersama nenek, sekurang-kurangnya aku tidak perlu menunggu ketibaan satu perjalanan yang kurasakan teramat jauh ini. Perjalanan yang terlalu membosankan. Namun, fikiranku masih juga berpusar dan berpusar.


 *   *   *

      Jarum bunga jambu air yang berwarna merah jambu gugur menimpa kepalaku, menimpa mukaku, menimpa kedua tapak tanganku yang terngadah. Aku pandang jarum-jarum bunga itu. Ianya indah dan wangi. Tapi keindahan dan kewangiannya tiba-tiba menjadi kesakitan yang amat sangat. Aku ramas bunga-bunga itu sekuat hatiku. Bunga-bunga itu terpecah-pecah dan sebahagiannya telah lumat. Aku ingin menangis, lalu aku menangis. Aku ingin menjerit tapi aku gagal. Aku pungut lagi jarum-jarum bunga jambu yang terserak di atas batu hitam tempat aku duduk. Aku kumpulkan ke dalam kendung baju gaunku. Setelah banyak, aku hamburkan kesemua jarum-jarum bunga itu ke udara sekuat-kuat hatiku. Bunga-bunga itu perlahan-lahan gugur ke rumput. Kepuasan tidak juga kudapati. Yang tetap kualami adalah kesakitan, keperitan dan kengiluan juga!
      Burung-burung kelicap madu berkeciau di celah dahan jambu. Melompat-lompat. Mematuk-matuk. Aku pungut sebiji batu sebesar ibu jari. Sambil mengesat airmata yang masih juga mengalir, aku balingkan batu itu ke arah salah seekor burung itu. Berkecibau burung-burung itu terbang entah ke mana. Balinganku tidak mengena. Aku jadi marah. Aku rasa seolah-olah burung-burung itu mengejek-ejek aku.
      “Tuhan! Kalau Kau sayang aku, Kau matikan emak aku. Kau matikan ayah aku. Kau matikan semua orang yang bencikan aku. Mereka tak sayang aku. Mereka selalu pukul aku. Tuhan! Lihatlah seluruh badanku ini. Aku sakit! Kau matikan emak aku! Kau matikan ayah aku!”
      Jarum-jarum bunga jambu yang berwarna merah semakin banyak yang gugur. Angin semakin kuat berhembus. Aku pungut lagi jarum-jarum jambu yang kembali berserak di atas batu ini. Aku kumpul lagi dalam kendungan baju gaunku. Kemudian aku hamburkan lagi seperti tadi. Aku hanya menangis melihat jarum-jarum jambu yang kuhambur itu gugur ke rumput. Kesakitan, keperitan dan kengiluan tetap menggigit kulit kaki, kulit betis, kulit paha dan kulit tanganku rata-rata. Kedua pipiku masih terasa bagaikan terkopak!
      “Pipah, kamu di sini? Puas aku cari kamu tadi.”
      Aku hanya berdiam diri. Aku malu pada Lam. Lalu aku hapuskan cepat-cepat airmataku. Aku tidak mahu Lam mengatakan, aku seorang penangis. Aku mahu Lam kata, aku seorang yang kuat. Aku mahu Lam kata, aku seorang yang sabar. Dan mungkin juga kerana sikapku yang begnilah, maka  ayah dan emak kata, aku seorang anak yang degil dan keras hati.
      “Kamu kena pukul lagi, Pipah?”
      Aku angguk. Namun, suaraku tidak terkeluar. Dadaku mula menjadi sebak. Dan air mataku, aku cuba menahannya dari tumpah ke pipi.
      “Kamu buat jahat lagi?”
      “Aku terpecah sebiji pinggan.”
      “Takkan pecah sebiji pinggan pun kena pukul teruk gini?”
      “Aku gaduh dengan Ciknyahlah.”
      “Kamu selalu cari emak kamu marah!”
      Aku ingin menjerit. Aku ingin menangis. Aku ingin memberitahu Lam, aku tidak bergaduh dengan Ciknyah. Tapi aku  dipukul kerana mengikut Lam mencari ikan! Namun, aku tahankan perasaanku. Aku tahankan suaraku jangan sampai terkeluar dan airmataku tumpah.
      Aku suka pada Lam. Lam kawan aku. Lam selalu bersamaku setap kali aku kena pukul. Aku tidak mahu Lam berkecil hati. Aku tidak mahu Lam menjauhkan diri dari aku. Aku juga tidak mahu Lam berasa kecewa. Kerana itu aku bohong dengannya. Biarlah Lam kata aku jahat. Biarlah Lam kata aku selalu cari sebab emak aku marah. Pun biar Lam kata aku suka bertumbuk dengan adik beradikku! Asalkan aku dapat bermain dengannya. Asalkan aku dapat mengikutnya pergi memungut biji getah di Estate Seberang. Asalkan aku puas mengharung parit mencari anak ikan pelaga bersamanya. Dan paling puas kalau aku dapat mengikut Lam pergi mandi di Sungai Jelawat yang dingin airnya! Aku seronok kalau dapat bermain bersama Lam, Yi, Tito dan Anis. Itu sajalah kebahagian dan keseronokan yang aku ada, yang tidak pernah aku dapati bila berada di lingkungan adik beradikku.
      Dan tadi, aku telah mengikut Lam, Yi, Tito dan Anis pergi menangkap anak ikan pelaga di parit Padang Tembak. Ciknyah dan Cikco nampak aku pergi. Aku tahu tentu mereka memberitahu emak atau ayah. Dalam hati aku sudah tahu, bila aku pulang nanti aku akan dipukul teruk oleh emak atau ayah. Tapi aku pergi juga. Aku seronok bersama kawan-kawanku. Aku seronok menangkap anak-anak ikan pelaga yang berwarna biru, hijau dan hitam! Mengocak air, menampan tanah, menahan jerat. Oh…, alangkah seronoknya!
      Bila aku pulang dari meranduk parit, mencari anak ikan pelaga, emak sudah menanti aku dengan rotan sega yang berbelah tujuh! Emak membesit aku sungguh-sungguh. Aku kesakitan. Aku cuba bertahan. Emak pukul aku, aku tarik rotan emak. Emak tampar aku, aku paut tangan emak. Aku hanya mahu mempertahankan diriku dari dipukul teruk. Perbuatanku menjadikan emak semakin marah. Emak sangka aku melawannya. Emak capai tali pinggang ayah yang tersangkut di tingkap. Muka emak merah. Nafas emak kencang. Emak libas paha kanan. Sakitnya tak terkata. Emak libas paha kiri. Aku menggelupur. Airmataku berhamburan bila aku rasa nak terkoyak isi pahaku. Emak libas paha aku lagi. Kali ini aku tarik tali pinggang itu sekuat hatiku. Tali pinggang terlepas, aku tersungkur. Rupanya emak naik hantu. Emak cekak rambutku lalu menampar pipiku kiri kanan. Rasa bagaikan terkopak. Gelap pandanganku. Aku ingin merayu emak tapi suaraku tak terkeluar. Emak semakin berhantu. Emak capai tali pinggang ayah di tepi almari pula. Emak pukul aku sehabis gila. Aku lemah, membiarkan emak pelupuh tubuhku semaunya. Lama-lama aku tak tahu apa yang terjadi selepas itu.
      Lam duduk di sisiku tanpa bersuara. Dia memerhati kaki tanganku yang bercalar balar merah biru. Aku malu pada Lam ketika itu.
      “Lam, aku mahu pergi.”
      “Pergi mana?”
      “Pergi jauh dari emak, ayah dan adik-beradikku.”
      “Ke mana?”
      “Aku tak tahu.”
      Rupanya seminggu selepas aku mencurahkan hasrat hatiku ingin pergi jauh dari keluargaku, nenek telah sudi membawa aku pergi ke Pulau Pinang bersamanya.


 *     *     *
     
       Lebih kurang jam 11.00 pagi, akhirnya aku sampai juga ke Taman Kekabu. Aku jejak juga rumah emak dan ayah, bersama nenek. Aku pulang juga ke pangkuan keluarga setelah lapan bulan terpisah!
      Nenek memimpin tangaku, erat.
      Aku melihat ramai tetamu yang datang. Lelaki dan perempuan. Kecil dan besar.
      Di bawah bawah pokok ketapang di hadapan rumah, kulihat ada beberapa orang lelaki sedang bekerja. Aku pasti mereka itu sedang mencuci keranda. Mereka semua memandang ke arahku. Aku cepat mengubah pandangan.
      Di sudut yang lain, beberpa orang tua juga memandang ke arahku. Aku jadi serba tak kena. Kenapa mereka memandang aku? Aku toleh pula ke tempat lain. Rupanya semua tetamu memandang kepadaku. Dan aku rasa setiap pandangan itu adalah pandangan aneh ke atasku!
      Nenek masih juga memimpin tanganku, erat. Airmata nenek sudah mula mengalir bila seorang demi seorang datang memelukku. Sedu-sedan nenek juga sudah mula terdengar. Aku jadi kelemasan diperlakukan begitu. Namun, aku biarkan juga.
      Waktu aku dipimpin naik ke rumah, selendang putih yang menutup kepalaku, terjatuh. Nenek pungut lalu menutup kembali kepalaku. Dan ketika itu nenek juga turut mendakapku erat sambil menangis tersedu-sedu. Aku semakin bingung apabila seorang demi seorang datang memelukku. Bagaimanakah aku sebenarnya.
      Dalam dakapan nenek, aku pandang semua orang. Dari sudut ke sudut. Aku nampak Ciknyah sedih memerhati aku. Mata Ciknyah merah dan bengkak. Tentu Ciknyah sudah banyak menangis. Aku juga nampak Cikco memerhati aku. Mata Cikco juga merah dan bengkak. Tentu Cikco juga sudah banyak menangis. Entah kenapa aku pandang Cikco begitu lama. Bila pandanganku bertemu, Cikco tunduk ke lantai. Masih bencikah Cikco kepada aku? Tapi wajah Cikco juga kulihat terlalu hiba. Aku mencari-cari lagi. Aku terlihat adik-adikku yang sedang duduk berdekatan Cikco semuanya menangis.
       Nenek mendapatkan Ciknyah lalu memeluknya. Aku dengar nenek dan Ciknyah menangis tersedu. Dan aku lihat beberapa tetamu pun turut menangis.
       Kata nenek, emak telah mati. Betulkah? Aku toleh ke anjung sebelan kanan. Di situ aku lihat beberapa orang sedang memangku emak. Emak baring, tenang. Rupanya emak sudah selesai dimandikan.  Kini, emak sedang diselimutkan. Rasa aneh kembali menyusup-nyusup ke dalam dadaku bila aku melihat tubuh emak diperlakukan begitu.
       Seorang perempuan tua yang aku tidak kenal menarik tangan kananku. Aku diajar menabur kapur barus ke atas kain selimut emak. Kemudian aku diajar pula merenjis air mawar ke muka emak. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh menurut segala perintah. Lama aku menatap wajah emak. Wajah emak seperti dalam tidur. Dan tanpa sedar, aku telah mengucup dahi emak yang masih terbuka!
      Aku lihat orang tua yang tadinya mengajar aku, telah mula menutup tubuh emak dengan kain putih sehelai demi sehelai. Ciknyah semakin kuat tangisannya. Adik-adik juga semakin kuat tangisannya. Cikco tunduk ke lantai dan aku lihat mulutnya kumat-kamit menyebut sesuatu. Di pipinya sudah mula mengalir airmata.
      Tiba-tiba seorang meraih bahuku. Ayah mencium dahiku dengan tenang. Di mata ayah ada air yang tergenang. Kemudian ayah memelukku, erat. Seluruh tubuhku terasa aneh. Inilah kali pertama ayah memelukku. Semakin aneh bila tangan ayah membelai rambutku dan bibir ayah mengucup ubun-ubun kepalaku. Ada air yang menyerap ke celah rambutku hingga ke ubun-ubun. Hangat, dan aku pasti itulah airmata ayah.
       Setelah kerja menyelimut emak selesai, aku rasa dunia macam kosong. Aku terus mencari-cari lagi. Lam memerhati aku dari pintu. Aku datang ke dekat Lam. Rupanya Lam juga turut menangis.
       “Kamu nangis, Lam?”
       “Kerana doa kamu dulu, Tuhan dah tunaikan…”
       Aku genggam tanganku sekuat mungkin. Aku ingin menjerit. Aku ingin menangis. Tapi aku gagal juga. Lam raih tangan kananku. Aku biarkan. Terasa dunia ini entah macam mana. Aku bingung!
       Bila emak sudah dimasukkan ke dalam keranda, ramai tetamu turun ke tanah. Lam juga turun ke tanah. Kata Lam, dia mahu turut ke kubur.         
       Perlahan-lahan jenazah emak diusung ke tanah. Jenazah emak dipayungkan dengan cermat. Aku dengar suara seseorang membaca ayat-ayat suci yang aku sendiri tak faham maksudnya.    
       Aku berdiri di pintu. Sudah tidak ada sesiapa yang memperdulikan aku lagi. Masing-masing menumpukan perhatian pada jenazah emak yang diturunkan perlahan-lahan. Lam sudah hilang ke dalam perut sebuah kereta biru. Cikco, Ciknyah dan adik-adikku pun turut menghantar jenazah emak ke kubur.
       Tadi, ayah jemput aku turut sama menghantar jenazah emak. Tapi aku tidak mahu. Aku tidak tahu kenapa aku menolak untuk menghantar jenazah emak.
       Bila matahari hampir tegak, kereta yang membawa jenazah emak mula bergerak. Amat perlahan. Aku hanya memerhati dengan penuh rasa getir. Semakin jauh kereta jenazah menyusur, semakin mengembang rasa dadaku. Akhirnya, kereta yang membawa jenazah emak hilang juga dari pandanganku.
       Aku pandang ke dalam rumah. Segala-galanya menjadi begitu sepi dan terasing. Para tetamu sudah ramai yang pulang. Aku pandang ke tempat pembaringan emak. Asap kemenyan masih berpusar-pusar keluar tingkap. Bau kemenyan, kapur barus dan daun pandan, cukup mengharukan. Aku pandang pula keluar. Aku lihat batang pisang alas mandian emak kaku di tepi tangga. Aku dongak pula ke langit. Awan terpecah-pecah seperti pecahnya harapanku.
       Aku ingin mencari emak. Tapi ke mana, emak telah tiada. Emak telah mati!
       Akhirnya, aku tak berdaya menahan perasaan lagi. Aku berlari dan berlari. Berhenti. Berlari semula. Berhenti. Berlari lagi dan akhirnya aku tersepuk ke perdu pokok jambu air. Aku peluk perdu pokok itu sambil menangis semau-maunya. Terasa pokok itulah emak. Aku dongak ke atas. Jarum-jarum bunga jambu berguguran menimpa mukaku.
       Tiba-tiba aku rasa ingin menjerit:
       “Tuhan, Kau hidupkan semula emak aku. Aku sayangkan emak!”




Dari antologi cerpen Malam Seribu Malam.

No comments:

Post a Comment