Thursday 28 April 2011

Lanskap Ungu - Satu Sentuhan Batini Dengan Zaihasra

Zaihasra atau nama sebenarnya Zaiton binti Abdullah, lahir pada 28 Februari 1951, di Kampung Naning, Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada usia 37 tahun, yakni dalam tahun 1988.
Membaca tulisan Datuk Ahmad Khamal Abdulllah (selepas ini disebut Kemala) dalam Lanskap Ungu yang berjudul Khalili dan Zaihasra : Puisi-puisi Hening yang Religus Sebelum Sang Maut Menyapa, ada satu macam perasaan hinggap di benak saya. Semacam perasaan sayu yang sudah lama saya bendung setiap kali saya menghayati puisi-puisi beliau. Sebelum beliau kembali ke rahmatullah, saya amat berharap sangat untuk mendekati beliau, namun hasrat itu terkubur bersama jasadnya. Saya benar-benar kehilangan beliau apabila dikhabarkan yang beliau telah menyahut seruan Illahi tanpa mengetahui apa sebab musababnya. Namun, puisi-puisi beliau tetap menjadi sebahagian daripada naungan saya, malah beliau adalah seorang daripada penyair yang menjadi pencetus minat saya ke dunia genre ini.

Kata batin saya, Zaihasra  berperwatakan  penuh misteri. Sajak-sajak beliau penuh dengan rahsia tersembunyi dan inilah yang saya cuba gali sejak lama dulu hinggalah saya membacanya dari tulisan Kemala yang  mencatatkan kisah suka duka beliau menerusi Lanskap Ungu.

Saya mohon jasa baik Kemala untuk berkongsi rahsia tentang dunia kepenyairan Zaihasra dan kisah suka duka beliau sepanjang hayatnya. Berikut adalah sebahagian daripada petikan esei Kemala tentang Zaihasra, mohon diizinkan, Datuk.

Zaihasra diserahkan oleh keluarga Cina - Melaka kepada ibu angkatnya,mendapat didikan secara anak Melayu dengan kecintaannya kepada seni dan budaya Melayu. Dia ingin membuktikan bahawa dirinya boleh menguasai dan mencintai bahasa yang bukan bahasa ayah - ibunya yang asal. Dan menganggap ibu angkatnya itu sebagai ibu kandungnya. Hal ini boleh kita ikuti pengaduannya dalam kumpulan Laut, Pohon dan Kota:

IBU

Titis-titis hujan di sini
Membasahi sepiku
Mengalirkan darah di hati
Aku rindu padamu

Pelabuhan ini
Bagaimanapun sering ditinggalkan
Aku tetap menanti bayangmu
Kerana demikianlah lumrahku

(Lanskap Ungu, 87)

Ya, saya juga melihat ini sebagai puisi pengaduan seorang penyair kepada ibu beliau tentang kedukaan hatinya, tentang nasib malangnya yang tak sudah-sudah dihadapinya dan kelegaannya hanyalah dengan meluahkan rasa sedihnya kepada ibu yang disayanginya.

Dan  sayup di hujung malam
Aku memanggilmu
Membuka pintu kecintaan
Kerana aku ingin masuk
ke dalam jiwaku
Ibu

(Laut, Pohon dan Kota. 53/ LU, 87)

Tulis Kemala lagi; Tetapi anak angkat dalam masyarakat Melayu yang kampungan tidaklah seratus peratus berakar kepada tuntutan Islam-masyarakat Melayu totok, masih tebal asabiahnya. Mereka bukan memandang kepada ukhuwah-Islaminya, bukan Ikhwanul-Muslimin-Muslimatnya, tetapi tetap kepada darah keturunannya dan prasangka yang bukan-bukan. Anak yang tiba-tiba hadir tanpa usul periksa mungkin sahaja akan membawa musibah dan ancaman kepada yang sedia ada terutama kepada keluarga angkat Zaihasra yang mementingkan adat bersendi syarak biar mati anak dan jangan mati adat. Dia mencintai sastera tetapi keluarga angkatnya menginginkan supaya segera diselamatkan yakni dengan mengijabkabulkan dengan seorang pemuda kampung yang bukan pilihannya. Zaihasra mulai menambahi makna kegetiran hidup yang lain dan perkahwinan ini tidak dapat diselamatkan.

Pada tahun 1971, waktu sekumpulan penyair bersama-sama merencanakan Hari Puisi Malaysia yang pertama di Melaka, rupa-rupanya Zaihasra sudah menjadi ahli Ikatan Persuratan Melayu Melaka. Dia mulai mendapat bimbingan awal menulis puisi melalui penyair Melaka, Mokhtar Yassin. Zaihasra mengubat hati lukanya dengan berjinak-jinak dengan puisi. Puisinya selepas itu tersiar di Mingguan di Kuala Lumpur dan kemudian di majalah yang lebih mewakili seperti Dewan Sastera. Pada detik-detik mengurus dan melaksanakan hari puisi 1971 inilah mulanya Zaihasra bersentuhan rasa dengan penyair Jaafa HS. Pada akhirnya, hubungan ini membawa mereka ke jenjang perkahwinan. Apakah perkahwinan amat diperlukan oleh Zaihasra bagi menembusi pintu kehidupan di Kuala Lumpur yang belum dikenalinya atau sebagai jembatan untuknya mencapai ambisinya selama ini untuk memantapkan kehadirannya sebagai penyair Melayu- Malaysia. Yang jelas, dia ingin mengecap kebahgiaan dan menimba pengalaman di Kuala Lumpur bersama suaminya. Dengan begitu, dia mempercepat tempoh mengenal liku-liku kepenyairan, mudah sulitnya persaingan untuk menerbit dan bergiat. Tetapi, dua penyair yang masing-masing punya masalalu, kreatif dan kecenderungan psikik, latar pendidikan (apalagi Jaafa HS) cenderung kepada falsafah dan pemikiran yang abstraksi dan lebih suka 'diam' dalam berfikir, lebih aman memerhati dan wataknya yang selalu reserved. Ini mungkin bukan tipe dan semangat yang diimpikan Zaihasra. Jarak ini kian terasa, perbenturan dan keasingan itu makin tajam apabila Jaafa HS meneruskan pengajian falsafahnya ke USM, Pulau Pinang. Zaihasra sekali lagi terkapa-kapa.

Dia mencari pegangan menghimbau kasih sayang. Hubungan yang seolah-olah ideal pada mulanya tertumbuk juga ke karang panjang. Mereka mencari penyelesaian selepas beberapa tahun bersatu - Zaihasra dan Jaafa JS menghadapi realiti kehidupan, perceraian itulah jalan yang sebaik-baiknya dilakukan. Mereka sudah mulai mencatatkan dalam sejarah perpuisian Melayu Malaysia sebagai penyair yang meyakinkan kepenyairannya. Apakah ini kerana dibantu oleh penderitaan batini yang satu demi satu itu?

Zaihasra mendekatkan dirinya kepada sahabatnya pelukis wanita, Maisara yang mengajarnya mendekati keindahan alam hutan dan bunga-bunga, kedua-duanya mengusahakan syarikat lanskaping, dari situ jugalah Zaihasra mulai melembutkan rohaniahnya, mengadu  hal kepada penyair Amir Hamzah, bahawa dia juga turut menanggung erti luka, derita. tertusuk sembilu cinta. Seperti Amir juga, Zaihasra mulai menampakkan nur yang lain yakni nur ketuhanan, hal ini disedarinya apabila dugaan Illahi akan datang lagi kepadanya. Ini ternyata benar, buah pinggangnnya yang selama ini hanya satu berfungsi mulai rusak, sang doktor membisikkan kepadanya. Tampaknya akan begitu cepat seandainya keluarga asalnya (ibu atau adik-adiknya) tidak bermurah hati mendermakan buah pinggangnya bagi mengelakkan kematian (bukankah) usaha dan ikhtiar itu menjadi unsur yang sangat penting dalam Islam? Sebagai pemeluk di samping yakin kepada suratan Illahi, Zaihasra tidak berpangku tangan. Di samping rajin berubat ke doktor, dirayunya ibu dan adik beradik darah dagingnya supaya ada yang sudi menghuluran bantuan atau kalau perlu dia sendiri akan membayar harganya. Sekali lagi Zaihasra kecewa. Nampaknya keluarga asalnya tidak bersimpati. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di kamar kecemasan, graf komputer mendatar dan bunyi bip-bip jantungnya terhenti.

Zaihasra, sang penyair mati muda dalam usia 37 tahun pada tahun 1988. Bayangkanlah perjuangan seorang wanita yang berjuang untuk kebahagiaan dunia, gagal dua kali dalam perkahwinannya, kemudian ditolak mentah-mentah permohonannya bagi mendapatkan erti kasih sayang oleh ibu dan saudara daging darahnya sendiri, walaupun mereka sudah berlainan agama.

(Kemala - Lanskap Ungu hal 88-89)

Demikianlah kisah sedih dunia kepenyairan Zaihasra yang tak tergali oleh saya, namun akhirnya diceritakan oleh Kemala. Benarlah sajak-sajak belau menyembunyikan pelbagai rangkaian kehidupannya - kesedihan dan keakuannya. Dalam Balada Tun Fatimah yang saya kira tidak pernah disorot oleh mana-mana penulis, merupakan kumpulan puisi epiknya yang diterbitkan pada tahun 1986. Kemungkinan kumpulan epik ini adalah buah tangan terakhir beliau sebelum beliau menyahut seruan Illahi. Meskipun puisi panjang ini dihasilkan dengan hasrat untuk turut serta dalam sayembara menulis puis Putera, namun intipati karyanya yang dikatakan berkisarkan Sejarah Melayu, lebih memperlihatkan cerminan diri Zaihasra sendiri dengan meminjam watak Tun Fatimah yang hidupnya tak sudah dirundung malang. Dan Zaihasra? Tak ubah perjalanan hidupnya dengan Tun Fatimah.

Peribadi Tun Fatimah yang dilukiskan oleh Zaihasra, yakni tentang kecantikannya, kelembutannya, kesedihannya, dendamnya,  kebijaksanaannya, malah kepahlawanannya adalah cerminan diri Zaihasra sendiri. Lihat rangkap pembukaannya - Prolog:

Seperti laut madu
Bertasikkan susu
Manis kewanitaannya.

Seperti cahaya purnama
Semangatnya membakar
Begitu indah kedewasaannya
Membangkitkan sedar untuk yang mengerti
Jadilah dia sebutan zaman*
Adunan kelembutan dan kekejaman
Kegembiraan dan kegelisahan
Dia membangun dalam sakar madunya

(Balada Tun Fatimah, hal 1)

Ternyata baris  'Jadilah dia sebutan zaman'* adalah simbolik kepada hasrat hatinya supaya dia dikenang sepanjang zaman, kerana dalam tempoh ini rasa saya, beliau sudah menduga bahawa nyawanya sudah dihujung tanduk. Hal ini dijelaskan oleh beliau sendiri dalam Kata Pengantar Balada Tun Fatimah apabila beliau berkata; ' saya tetap berbesar hati terhadap hasil karya ini, dan saya tetap yakin bahawa ia tetap mempunyai nilai serta mutu yang tinggi. Terserahlah kepada para bijak bistari untuk menilainya dari masa ke semasa terutama mereka yang mencintai sejarah bangsanya di gugusan Kepulauan Melayu. Mencintai kebudayaan dan cinta lalu menghargai hasil puitis senimannya - itulah harapan Zaihasra buat terakhir kalinya. Semoga roh beliau bersemadi dengan tenang dan ditempatkan di kalangan para solihin dan solehah serta dengan mendapat kerahmatan Allah swt. Al-Fatihah.

27/03/2011
melaka

No comments:

Post a Comment