Thursday 12 February 2015

Tok Guru yang dikasihi

hati tiba-tiba berdebar tatkala terbaca Sinar Harian, khabar Tuan Guru Nik Aziz dibawa pulang ke rumahnya dalam keadaan kesihatan beliau yang sangat merosot. hamba segera menelefon suami, memberi tahu hal itu. suami terkejut dan minta sumber rujukan SH. tapi sebaik hamba buka News Feed, Allahuakbar, innalillahiwainnailaihi roji'un. tak terbendung lagi airmata, hamba segera memberitahu suami, TGNA sudah kembali ke rahmatullah dalam linangan airmata.  Seorang ulama dan insan soleh yang banyak dugaannya di dunia ini. semoga berbahagialah tuan dalam mardhatillahNya, amin.

semenjak dua menjak ini, hamba gemar sangat membaca kitab-kitab karangan beliau. sangat menginsafkan dengan santunan bahasanya yang sangat berhemah. bacalah tuan-puan kitab-kitab tulisan beliau yang ditinggalkan untuk kita. hanya itu saja lagi pesanan yang ada dari seorang tok guru untuk kita. Allahumma firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu.



Tuesday 10 February 2015

sedikit dari rasa

tapi dia juga hamba yang dizalimi. sama seperti rakyat palestin dizalimi, sama seperti umat islam myanmar dizalimi, ya sama seperti rasa pilu kamu melihat kesukaran saudara-saudara kamu ditimpa musibah dan kamu tidak senang perasaan memikirkannya. justeru tidakkah kamu merasai sedikit kasihan daripada kedukaan yang dilaluinya? tidakkah kamu berasa bahawa dia dianiayai? tanya diri kamu, mengapa  bicaranya tidak dibawa ke mahkamah syariah, sedangkan ke dua pelakunya sesama beragama islam? hanya islam yang memandang berat hal ini. sekular tidak pernah memperduli hal-hal remeh bagi mereka seperti ini tetapi kenapa dalam kes hamba Allah ini, penganut sekular begitu ambil peduli. jawabnya tepuk dada tanya selera!

Monday 9 February 2015

Ya, Allah ya Tuhan kami, hanya Engkau juga lah yang maha mengetahui segala buruk dan baik sesuatu kejadian. Kami insan naif yang tidak tahu siratanMu. Sesungguhnya andailah itu ketetapan Engkau, redhalah kami menerima ketentuanMu. Berilah kekuatan dan kesabaran terpuji buat insan ini sekiranya dia benar mangsa keadaan, dan jika benarlah itu kesilapan masa lalu
nya, pulangkanlah dia ke pangkal jalan - dengan kunci hidayah, pembuka pintu hikmah. Allahuakbar.

Sunday 8 February 2015

tidak saja peradaban bergerak menuju korup, tetapi sastera juga bergerak menuju kepincangan! nilai sastera semakin lemah, yang tertonjol adalah   robot-robot sastera yang bergerak memerintah penulisnya berkarya mengikut piawai kebejatan duniawi dan manusiawi yang semakin langka tatasusila yang berasaskan syariat Islam!

Thursday 5 February 2015

Tentang Akhlak

Rasa pelik. Apa yang dia mahu? Adakah dia menyamar untuk menyelidiki peribadi hamba atau memang itu dia yang sebenar? Begitulah dia, satu di antara jutaan umat manusia.

Sudah lama si gadis (?) ini 'add' hamba di fb. Entah mengapa tadi malam, hamba menerima penemanannya setelah melihat serba lalu profil dia. Dia berasal dari negeri kelahiran hamba dan menetap tidak jauh dari kampung hamba. Beberapa orang rakannya adalah rakan-rakan hamba jua. 'Formerly worked at Health Ministry'. Misilah katakan. Tapi kenapa 'formerly' bagaimana sekarang? Lalu hamba 'approve' lamarannya.

Menjelang tengah malam, lebih kurang beberapa jam kemudian setelah menjadi rakan, dia menyapa setelah mungkin melihat hamba 'online'. Inilah padahnya kalau guna 'messenger', semua orang nampak kalau kita 'online'. Sbb tu hamba lebih gemar guna pc, tutup 'line chat', selamat!

Dia beri salam dengan cara tulisan yang hamba tidak begitu berkenan. Tapi kerana menghormati rakan baru, hamba ikutkan saja. Baru beberapa baris menyapa, tiba-tiba dia mahukan hamba menjadi kakak angkatnya. Ishh... apa kena orang ini, desis hamba. Baru je nak kenal dah mula buat fikiran hamba kacau semacam. Balas hamba, cukuplah kita menjadi sahabat kerana sahabat yang baik akan sampai ke akhirat juga. Dengan syarat berniat ikhlas. Dia tidak respon penjelasan hamba, sebaliknya minta nombor telefon hamba. Eh...ehhh... menjadi pulak dia. Hamboiiii... ingat senang-senang nak nombor telafon hamba? Maaf la, dik. Nombor telefon kak ni berat sangat nak di angkat.... hehehe, hamba menyakat dia.

Dia beralih ke soalan lain. Menyebut nama seseorang drpd sahabat fb hamba, Dia bertanya adakah hamba kenal rapat dengan si gerangan. Hhaaa... tentulah hamba kenal. Tapi kenal begitu-begitu, setelah sesekali bersua muka, balas hamba. Padahal rakan yang dia maksudkan pernah menjadi sahabat baik hamba, hanya kebelakangan ini si gerangan terlalu sibuk dengan hal peribadinya dan hamba juga sudah mula menjauhi daripada ditakluki dunia fb! Apa lagi, mulalah si gadis mengeluarkan jarumnya sedikit demi sedikit. dan hamba pula bertindak seperti seorang 'bahlul'. (jangan salah sangka ye, dari sejarahnya di tanah arab, Bahlul merupakan nama seorang pemuda yang bijak pandai, hingga menjadi 'icon' bagi masyarakat arab sezaman itu. Orang tua dulu-dulu sudah silap menyampaikan konsep kehebatan 'bahlul'  kepada anak cucu hingga berubah maknanya menjadi 'orang tolol'!)

Baru beberapa minit berkenalan, percayakah anda apabila si gadis mulai menfitnah sahabat hamba dan menjelek-jelekkan perangai beliau. Padahal, sahabat hamba itu katanya saudara dia juga dari sebelah ibunya. Astaghfirullah hal azim, tak mudah hamba mempercayainya. Saat itu hamba berasa seperti berada di tengah belantara berhadapan dengan seekor binatang buas dan hamba yang daif ini cuba menjinakkannya. Dengan tutur kata sehemah mungkin dan untuk tidak menambah dosa si gadis kerana ghairah memfitnah dan mengaibkan orang, hamba pun mohon diri untuk beradu setelah membariskan beberapan pesanan Rasullullah saw untuk Aisyah, isteri baginda buat peringatan beliau. Sementelah, jarum jam menunjukkan hampir pukul 1.

Demi Allah swt, bukan untuk memutuskan silaturahim tapi demi kebaikan bersama, hamba terpaksa memblok anda (si gadis). Maafkan hamba.
Wasalam.

Wednesday 4 February 2015

Dari kota merpati putih

kau mulai mendatangi malam-malam dan hari-hariku, mempamerkan sesekali wajahmu di cermin (wajah yang sudah lama terlupa dari ingatanku) kemudian hilang. dan sesekali kaumengusik, mencuit sanggulku dengan hujung jari manismu hingga melerai di kalbu, dan sesudahnya kau segera menyusup hilang di sebalik jalur retak dinding entah ke mana. tetapi sebentar tadi, kau datang lagi bersama angin menghantar baumu yang tipis manis, mencuit hidungku.  aku tahu itu kau. setelah berpuluh tahun, setelah ayahanda lama terkubur, kau baru menampakkan kelibatmu.



kabar dari angin, kau hanya tinggal sebahagian, yang sebahagian lagi sudah lama menjadi anai-anai. tetapi tidak mengapa, dari sarang anai-anai ada banyak lorong yang berliku. aku akan menemuimu di situ, kita akan bersatu menjadi sebuah kota buku!

Tuesday 3 February 2015

http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=6614

tentang HSPM 2013

HSPM 13
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt yang telah memberi rezeki dan nikmat kelembutan gizi dari zatnya yang maha sempurna buat hamba yang daif ini.

Bercerita tentang hspm, sebenarnya hamba tidak menduga langsung apatah lagi berangan-angau untuk mendapatkannya. Hamba bukan siapa-siapa untuk memikirkan tentang anugerah, melainkan sebagai penulis biasa-biasa yang hanya ada sedikit ilham dari mata fikir untuk menulis. Jujur, hamba tidak pernah berhasrat apa-apa dalam dunia sastera ini, melainkan hanya perkongsian batini untuk yang sudi singgah dalam dunia penulisan hamba.

Hanya  itulah cerpen hamba yang berjudul Istana Cindai (IC) tersiar pada tahun 2013 di Mingguan Malaysia untuk tahun itu.

Perjalanan cerpen ini sangat menakjubkan buat diri hamba. Apa tidaknya, pertama kali menulis IC, hamba bercadang untuk turut serta dalam sayembara menulis cerpen IPM. Mengenangkan sayembara ini beridentikkan negeri Melaka, maka hamba memilih pengisiannya tentang sejarah Melayu. Namun, saat cerpen ini sudah pun disampulkan, terdetik di nurani hamba, salah satu syarat penyertaan sayembara ini mestilah sudah bermastautin di negeri melaka setidak-tidaknya genap 3 tahun. Walhal, hamba tidak menepati syarat itu meski beberapa orang drpd ahli jawatankuasanya membenarkan kekurangan tempoh seminggu drpd genap 3 tahun pemastautinan hamba di negeri Melaka ketika itu.

Nurani hamba kuat menolak. Hamba tidak akan melanggar syarat dan membenarkan ahli lembaga sayembara mengkhianati syarat yang mereka sendiri telah tetapkan. Allah mengetahui. Lalu akhirnya, cerpen IC hamba hantar ke majalah perdana. Setahun lebih IC terpelosok tak diperdulikan oleh editor majalah. Barangkali nama hamba sudah lama terpadam dari pengetahuan mereka atau memang karya hamba tidak bernilai sastera. Tapi mengapa nurani hamba kuat mengatakan, IC sebuah cerpen yang kuat sekuat besi kursani? Aishhh, perasaan!

Bersama SN Dr Muhammad Hj Salleh (penerima HSPM) dan
Dr Rosnah Baharuddin (panelis)
Setelah lebih setahun, hamba membuat ketetapan. Tentu IC tidak layak untuk diterbitkan di majalah perdana atau barangkali sudah lama dibakulsampahkan. Dari salinannya, hamba mencuba pula menghantar IC ke Mingguan Malaysia. Dalam seminggu, tiba-tiba IC tersiar, alhamdulillah. Tapi sayang seribu kali sayang, ruangan cerpen di Mingguan Malaysia terlalu terhad, sedangkan IC agak panjang. Di tangan editornya yang bijak, IC diedit dengan baik walaupun hamba rasa terkilan, mengharapkan keseluruhan cerpen itu disiarkan.

Seorang siswazah yang sedang menyiapkan Dr falsafahnya di USM masuk ke inbox hamba di facebook, mengucapkan tahniah kerana siaran IC. Hamba tidak kenal siapa siswazah ini. Namun, beliau sangat menjiwai IC. IC sangat hebat, kata beliau lagi. Hamba di hadapan monitor hanya tersenyum-senyum.. Banyak juga kami berbincang tentang karya cerpen dan puisi mutakhr. Rupa-rupanya beliau sedang menyiapkan thesisnya tentang kajian puisi-puisi  Rahimidin Zahari.

Keseluruhan cerpen asal IC telah hamba hantar ke Indonesia untuk diterbitkan di antologi cerpen etnik 5 negara. Alhamdulillah, akhir 2013 antologi tersebut diterbitkan oleh WOHAI.

2014 adalah tahun seribu mawar.
Inilah insan istimewa yang tidak dapat bersama, saat hamba
menerima HSPM, beliau di Jakarta dengan pembentangan
makalahnya. 

Bermula dengan mendapat anugerah puisi dunia numera pembuka tirai 2014,  suatu pagi hamba dikejutkan dengan panggilan telefon bahawa IC telah mendapat anugerah HSPM 2013. Subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar, benarkah ini? Hamba bertanya kembali pada pengawai dbp yang menelefon. Benar, kata beliau sayup-sayup. Terasa mata berkaca, syukur sangat. Tapi hamba tidak pun mengirim IC untuk dinilai. Siapakah gerangan agaknya yang membawa masuk IC ke meja penilaian HSPM. Apapun, ini rezeki Allah swt untuk hamba.

Namun, dari cakap-cakap belakang ada juga suara-suara yang mempertikaikan keupayaan IC. Mereka kata, macam mana boleh menang padahal tak tersenarai pun dalam pemilihan untuk anugerah HSKU! Ni tiba-tiba boleh menang HSPM, apa hal?

Hamba hanya berharap agar IC terpilih untuk hadiah sastera darul ridwan, kutipan dari antologi cerpen etnik 5 negara. Sengaja hamba hantar kutipan itu untuk melihat keupayaan cerpen yang asli. Selain itu, agar IC 'cohesive' dan relaven dengan HSPM yang dipilih juri yang berbeza kumpulan tetapi bersamaan pandangan. Alhamdulillah, tak lama selepas mendapat khabar kejayaan HSPM, hamba mendapat khabar gembira dari HSDR. Bermakna IC memang berdiri dengan kekuatannya.

SN Dato Kemala, banyak memberi ruang dan peluang
berkarya kpd hamba
Begitulah sedikit kisah tentang IC yang sentimental dari penulis dunia belukar dengan duri yang mencabar!

Wasalam.