Monday, 30 September 2013

dalam setiap kesabaran itu ada unsur kegagalan yang akan memacu kita kepada garis kemenangan. janji Allah SWT, janji ditepati - yakin nurani.

Wednesday, 25 September 2013

Apabila kita bertindak berlebih-lebihan, orang lain juga akan bertindak berlebih-lebihan ke atas kita. Justeru, alangkah indahnya bersederhana dalam segala hal, insyaAllah kita selamat - Ros
sesungguhnya mengambil keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah. menerima amanah negara juga tidak mudah untuk disempurnakan. meninggalkan dan berjauhan dari anak-anak, meskipun mereka sudah besar, boleh berdikari dan berekonomi sendiri pun tidak mudah untuk meninggalkan. pun keputusan adalah kemestian yang perlu ditetapkan, ya atau tidak. ditelan mati emak, diluah mati ayah.

pergilah dulu, duhai. biar kupujuk anakanda sekalian di pangkuan. biar kami bertatapan mata dan berjuraian rasa, insyaAllah setelah habis berhiba, akan tenanglah mereka. akan dinda susuli. hidup perlukan pengorbanan, mereka perlu akur pada ketentuan. kita hanya bercerai dunia dari mereka kesayangan kita, insyaAllah bila-bila masa kita bertemu semula. pergilah duhai, jangan menoleh lagi. tetapkan hati. kenyalang sudah membuka sayapnya terkembang menyambut kanda datang!

Monday, 16 September 2013

HAMBA PUN BERFIKIR 2


benarkah figura itu, seperti kenyataan figura ini - jangan menerjang angin kerana kita yang bakal tergantung di atas lautan dan dia akan berangkat jauh meninggalkan suara tanpa isinya di lubang-lubang otak kita! dia akan berangkat ke awan-awan, menyelit di pelepah-pelepah sayap senyap mengintai-ngintai kita terkial-kial memilih dan memilah sesuatu yang tidak ada dalam beribu-ribu bahasa nan bercinta. dari kejauhan, dia mengukir senyuman tuhannya melihat kita terjatuh dan tergapai-gapai tenggelam dalam lautan aksaranya yang sangat dalam!

Thursday, 12 September 2013

HAMBA PUN BERFIKIR 1

Foto : Azad Zainal

daripada kata-kata, gila orang yang mengutip kata-kata dari ribuan kata-kata lalu disusunnya menjadi ayat-ayat yang bahagia. mana dulu, mana kemudian, mana fungsi, mana pengertian, dia tidak mengira asal saja menjadi ayat-ayatnya nan bercinta. sesekali dia ada, sesekali dia bermuram durja. tetapi tidak pernah dia lupa akan pesannya kepada rakan-rakan, jangan sesekali ditanya apa-apa tentang ayat-ayat yang dipuja dan dirasuknya hingga ikut gila menjadi dia. dia seniman yang berbajukan kata-kata, tinggal di menara suara manusia!