Monday 2 May 2011

Istana Cindai

                                                       Tun Teja

GETAR yang bergalau dalam dada tetap meruntun sukma untuk melangkah, menghadap dan merafak sembah - kalau ada yang bersemayam di tahta itu. Istana itu nampak marak dan ceria, namun ada getar  yang bergelombang dari segenap sudut, bermula dari tangga istana langsung ke serambi. Dan sesekali getar itu hinggap ke rongga dengar, bergeming sayup ke sukma.
Kasut kanvas kusam putih itu disimpannya di tempat letak yang di sediakan.
Memberi salam entah kepada siapa, dalam sukmanya tetap sedia memaafkan, kalau ada getar lain yang menyumpah seranah dia kerana memasuki istana ini tanpa izin.  Wajah-wajah mannequin yang  bergaya ala sultan yang memerintah, permaisuri yang bersemayam di sisi,  datuk bendahara, temenggung, laksamana gagah perkasa, para pengawal, dayang-dayang, dan para sida sekalian, tidak menampakkan kegembiraan, melainkan kaku, beku dan angkuh. Apakah ini lambang kehebatan kesultanan  Melayu  zaman dahulu?  Yang diwar-warkan punya kesungguhan mempartahankan  susur galur  Melayu hari ini?
Ah, pedulikan! Rahsia kesultanan Melayu itu tidak penting baginya saat ini, getus hati Zau.
Dia berpaling ke satu  sudut. Di situ ada sebuah kamar berhias  cantik. Dia melangkah untuk meninjau apakah keistimewaan kamar itu. Sebuah peraduan ukiran lama bermotif flora dan fauna yang diperbuat daripada kayu jati masih utuh binaanya, terhampar rapi beralas kain cadar baldu berwarna kuning di raja, berbantal  tenunan sutera cina berbunga melati warna kuning juga. Kelambunya diperbuat daripada kain sutera cina yang agak nipis berwarna putih, bercekak kiri kanannya dengan tali tenunan benang emas. Aduhai, sehalus seni jemari bonda Miah menjalin benang emas menekat tepak, rupanya halus lagi untaian tali benang emas  pencekak kelambu di raja ini. Siapakah gerangan yang menenunnya!
Angin semilir berhembus dari  tingkap yang terbuka membelai-belai kain cadar dan kelambu di raja itu. Beralun-alun  bagai dituip  angin monsun yang menampan dada laut. Dan alun-alun itu yang menerbitkan resah gelisah dan getar, kembali bergelombang dalam kamar  di raja itu.  Ranah apakah yang mula menguasai minda, saat angin yang bertiup melalui jendela istana itu menyentuh sukmanya. Ada lara yang mula menggumam sanubari, tatkala tangan Zau cuba membetulkan kain cindai sutera cina warna delima yang melitupi dandanan di kepala mannequin yang tersingkap ditiup angin.
“Jangan, jangan sesekali tuan sentuh milik beta!”
Zau terkejut mendengar bentakan itu. Suara yang entah dari mana datangnya tiba-tiba menggugat ketenteramannya. Pandangannya berkeliling, mencari arah dari mana datangnya suara itu. Tidak ada sesiapa yang bertamu di kamar itu maupun di anjung istana atau di balairong seri. Melainkan dia, di temani  beberapa mannequin yang dipakaikan pakaian di raja.
Ataukah ada roh yang tersembunyi di istana lama ini yang degil untuk pulang ke tanah asal ataukah  dia yang gemar berhalusinasi, dan kini ilusinya mula memerangkap diri? desis nubarinya. Lalu Zau, mencuba sekali lagi membetulkan kedudukan cindai di raja  yang tersingkap ditiup angin itu untuk menguji  kesahihan suara yang didengarnya tadi.
“Telah beta katakan, jangan sentuh barang milik beta! Tidakkah tuan faham!”  Suara amarah  itu semakin meninggi dan membentak.  Malah, getar yang Zau rasa bergelombang dari seluruh ruang kamar itu sudah mula  menyilaukan pandangan matanya.
“Siapakah  kamu yang bersuara?”
“Siapa  tuan  yang berani menyoal beta?”
Zau gelisah, namun kedegilan sukmanya yang berantakan itu tetap tidak berganjak.
“Siapa kamu? Keluarlah!” Lagak suara seorang pahlawan yang berani, Zau cuba mencabar untuk menzahirkan suara itu di depannya, meskipun getar di sukmanya semakin bercempera. Angin monsun yang membawa benih-benih hujan mula berhembus kuat,  sesekali cuba menyingkap jilbabnya.
“Beta, Tun Fatimah. Permaisuri  Sultan Mahmud Shah! Permaisuri yang menyimpan dendam kesumat yang tak pernah padam oleh kekejaman yang mengalirkan darah yang membasahi bumi Melaka ini! Selamat datang tuan ke istana beta…”
Zau terkejut, malah amat terkejut. Dia cuba merapati ke tubuh mannequin yang berwajah lara, kaku, beku dan angkuh itu!
“Engkaukah yang bersuara bernada hiba, wahai mannequin?” Zau memegang jari-jemari mannequin yang dihiasi cantik bak puteri zaman dahulu kala. Di sisinya, sekeping penanda yang berbunyi – persalinan Tun Fatimah, permaisuri Sultan Mahmud Shah.
Zau terkejut lagi. Setitis air jatuh ke tangannya. Terasa hangat dan kehangatan itu menyerbu minda, menyela-nyela seluruh tubuhnya. Dia memandang wajah lara mannequin itu, membelek-beleknya dengan rasa takjub. Oh, alangkah pelik kejadian. Zau merasakan tubuhnya mula nanar kembali. Dia cuba mengungkap sukmanya yang mula membuak rasa ingin tahu. Benarkah atau ini hanya ilusi yang bermain di  ruang mata menyebabkan mata fikirnya bertambah nyali. Berpencar cahaya dari empat penjuru kamar di raja itu menyelar pandangan rohani Zau yang semakin silau.
Zau tersasar  ke dinding, cuba menghalang cahaya berpencar yang  mengabui pandangannya.
“Bangun, tuan. Sekian lama beta menunggu tuan, baru kini tuan menjelma. Tolong beta, tuan. “  Suara yang tadinya bernada angkuh, berubah hiba.
“Tolong?!”
“Ya, tolong lenyapkan dendam beta. Selagi nama beta tidak hancur ditelan zaman, selagi Melaka tidak diubah sejarahnya, selagi itulah dendam beta berkesumat, membawa padah, malah darah akan kembali menyimbah bumi Melaka ini.”
Dipapah  dengan  jemari yang terasa amat lembutnya, Zau bersusah payah bangun kembali. Tatkala itu sukmanya berbaur antara mahu percaya dengan tidak,  dia merasakan seolah-olah sedang berhadapan dengan pintu maut yang terkuak  yang bersedia melontar dirinya ke lembah  kelam. Dia bangkit, cuba melenyapkan rasa nanar yang semakin bergalau menghenyak  hingga tubuhnya semakin memberat.
Semakin getar sukmanya, semakin kuat sesah nafasnya menahan debar yang semakin membuak. Sekeliling dirinya bukan lagi istana lama, melainkan  sebuah istana yang benar-benar  wujud. Tun Fatimah sudah berdiri di hadapannya, seperti cuba mententeramkan perasaannya.
Lantaran rasa terkejut yang ketara, Tun Fatimah yang sangat elok paras rupa dan lembut halus budi  itu, terkumat-kamit bibir delimanya seperti mengungkapkan sesuatu lalu dengan perlahan dia menghembuskan nafasnya yang berbau setanggi itu ke muka Zau.
Merah menyala muka Zau menahan bau setanggi yang sesekali berbaur wangi bunga mawar itu. Alangkah takjubnya, bila getar di sukma yang tadinya bergalau seperti disepuh puteri tujuh, lenyap tiba-tiba. Dupa di tangan Tun Fatimah mengepulkan asap warna-warni  memerangkap seribu kenang yang mewarnai  sejarah silam istana itu. Kini, rasa debar dan takut itu  lenyap  perlahan-lahan seperti diangkat ke langit tujuh.
“Bertenang, tuan.  Tuan datang ke istana beta atas perjanjian. Perjanjian yang telah lama kita meterai sejak azali, dan sejak itulah beta dan sahabat-sahabat beta tidak kembali ke tanah asal, menunggu tuan untuk menamatkan perjanjian ini.”
Tun Fatimah meletakkan dupa di tangannya ke sisi peraduannya. Asap warna-warni berkepul naik ke langit.
“Mengarut! Aku tidak pernah berjanji apa-apa dengan kalian, ya siapa itu sahabat-sahabat yang tuanku maksudkan? Siapakah mereka? Apa mahunya mereka terhadap aku? Maaf, aku mahu pulang!” 
Zau segera beredar, hendak meninggalkan Tun Fatimah. Namun, langkahnya terhenti tatkala dia terdengar  bunyi  bergemerincing di pintu. Dua orang pengawal tidak berbaju menyilangkan lembing yang dipegang.  Sukma Zau terpelosok kembali ke kamar Tun Fatimah.
“Bukankah tuan  yang telah berjanji dengan kami untuk membebaskan penderitaan kami akibat dendam yang tak terlerai? Darah yang pernah menyimbah bumi Melaka perlu tuan semah segera agar beta dapat bersemadi tenang di alam baqa. Selagi sanubari tidak menguntum bunga selagi itulah langit tidak akan berubah jingga, selagi itulah malam berselindung di sebalik siang!” Tun Fatimah teresak-esak, menahan sebak.
“Aku nanar! Aku nanar!” Zau seakan hilang kawalan minda. Sukmanya sengsara.
“Jangan takut, tuan. Selagi kata boleh berbahasa, ciptakan beta hikayat di raja. Gurindam elok dari sukma tuan yang elok rupa. Ciptakan beta syair nan bahagia yang dapat membunuh segala nista, lantaran nafsu nafsi dari cinta berahi  di hujung senja.  Tuan tentu maklum apa yang telah terjadi di bumi Melaka. Tuan tentu maklumi, siapa pendusta siapa penderhaka, siapa menyanjung siapa di sanjung,lantaran itu darah merah menyimbah bumi Melaka – itulah darah suami dan ayahanda Tun Mutahir yang tercinta!”
Semakin berhiba-hibalah sukma Tun Fatimah, seolah mendodoikan lagu penyesalan dari sebuah percintaan yang dikhianati. Diseka airmatanya, yang mengalir di pipi hingga berkemilau cahaya peribadi dari seorang wanita yang pemalu kini menjadi seorang wirawati yang berani. Dari sukma bernafas lembut menjadi  sukma berjiwa tegas, keras dan dendam!
Aku Tun Fatimah puteri Bendahara Seri Maharaja
aku bangkit dari pusara langit
ungu air bukit cina kuseru namamu kota Melaka
kembalikan kerisku ke sarung
kembalikan mahkotaku ke singgahsana
kembalikan dendamku ke lubuk kencana
kembalikan diamku  ke sakar maduku
aku rindu ke dalam dakapMU…
Tun Fatimah meratib-ratib bergurindam tak henti-henti. Semakin lama airmatanya semakin lebat mengalir, semakin sesah bunyi angin mencakar-cakar dinding kamar itu. Menggelepar sukma Zau seakan merintih pula, mengharap Tun Fatimah segera menghentikan ratib ratapnya.
“Kalau itu mahu tuanku, aku akan laksanakan. Akan aku hikayatkan penderitaan tuanku, akan aku gurindamkan cinta setia tuanku kepada Tun Ali, kasih tuanku kepada ayahanda tercinta, dan dendam tuanku…”
“Tidak! Beta tidak mahu ada dendam dalam hikayat itu. Beta mahu dendam itu ditamatkan!”  Bergema suara Tun Fatimah menembus deria dengar Zau yang seperti ditusuk buluh runcing. Zau tersentak.
“Mustahil! Bukankah itu sejarahnya, tuanku.  Menamatkan sebuah hikayat tanpa dendam itu bukan hikayat Tun Fatimah!”
Suara Zau seperti menerajang dan bergeming ke langit leluhur, menyebabkan Tun Fatimah menyilau mata batinnya.
“Beta sangka tuan berjiwa hamba, rupanya tuan juga seperti mereka. Tak lekang jiwa tuan pada sengkata, tak hilang jiwa tuan hendak menderhaka. Cukuplah bumi Melaka disimbah darah, tamatkan sejarah itu supaya lenyap dendam beta, supaya bumi Melaka aman sentiasa!”
Zau semakin nanar, meregang-regang akal fikirnya cuba menelah riwayat yang tidak berkesudahan ini. Mana mungkin sebuah dendam yang telah disejarahkan  diputarbelitkan penceritaannya. Escapist! Memudah cara dengan menoktahkan sebuah tanda soal!
Zau menggaru-garu kepalanya, memikir apa sebenar kehendak permaisuri diraja ini.
“Lenyapkan dendam beta, itu saja!”
“Dendam beta juga!”
“Hamba juga!”
Zau tersentak.  Makin terpelosok dirinya ke lantai kamar. Makin mengecil dirinya menerawang dalam minda yang bertaburan, bergetar antara gelombang batin yang membuatnya semakin lemas.  Siapakah gerangan yang tiba-tiba muncul di hadapannya, laksana lasykar yang cuba menentang musuh dan  musuh itu adalah dia!
“Beta Tun Teja, permaisuri Sultan Mansur Syah yang dikhianati sakar madunya oleh Hang Tuah!”
“Dan hamba, Mahsuri, isteri Wan Mat Deris yang direjam dengan tombak sendiri kerana dituduh bermukah dengan Deramang oleh  mentua sendiri!”
Zau makin nanar. Bergalau suara mereka merempuh sukmanya lalu menghenyaknya ke lantai. Dia terpinga-pinga, rohkah atau apa mereka ini yang tiba-tiba memerangkap sukmanya daripada lolos dalam sedar. Jarinya meraba-raba ibu jarinya, dengan harapan untuk sedar  dan kembali ke dunia nyata. Makin dipicitnya ibu jarinya makin terkunci sukmanya, terperangkap dalam kamar di raja ini. Nanarnya makin menggila memaut deria pandangdengar yang  menerawang antara ruang – keluarkan aku dari perangkap getir ini!
“Seperti Tun Fatimah, kami juga mahu menamatkan dendam ini. Dan kembali damai ke tanah asal!” Suara Tun Teja mula berhiba dan airmata mula bergencar. Bau daun sireh  pelupa yang dimamah berbaur bau setanggi bunga mawar terbit dari nafas-nafas lara yang sengsara sekian lama.
“Ya, cukup sumpahku tujuh keturunan, bumi Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur, cucu cicitku menderita menanggung lara akibat  kekejaman bapa dan ibu mentua yang berdosa. Tak sanggup aku terawang-awang antara lelangit bumi menyaksikan kekejaman ini. Putih darahku sudah cukup melagang segala dendam kesumatku. Tolonglah kembalikan aku ke tanah asal, tolonglah, tuan.” Mahsuri seperti hilang pertimbangan, seakan mahu menerpa ke arah Zau.
“Gila! Kerja gila!” Zau tersasar ke belakang.
Seperti orang gila juga, melantun bahasa kasar Zau, tiba-tiba. Menggeleng-geleng, sedang sukmanya meronta-ronta, bagaimana cara untuk membetulkan hukum. Takdir yang tercatat sejak azali, bagaimana hendak dipesong! Sukma Zau menjerit, bergelut ke langit tujuh, bersatu dengan angin ,menyumpah-nyumpah kewujudan watak-watak yang penuh dendam kesumat ini.
“Lakukan!”
Mereka mula mendesak. Nada suara meminta dari wajah-wajah jelita berbaur lara itu sudah mula meninggi. Sudah mula bergeming hingga mengilukan sukma Zau menjadikan dia berasa  tidak menentu saat itu.
“Jika tidak?”
Zau mencabar wajah-wajah jelita berbaur lara itu.
“Jangan menipu diri sendiri, tuan!”
Kali ini wajah-wajah jelita berbaur lara itu semakin berani mencabar Zau yang semakin kebingungan.
“Tipu?”
Zau terasak oleh kata yang tiba-tiba mengaibkanya. Wajahnya memerah, berkaca  ekor matanya menyembunyikan sesuatu yang tersembunyi. Getar suaranya sudah semakin bergalau, meruntun nubarinya untuk bertindak lebih aggresif. Ini tidak boleh jadi, getus hati Zau. Peluh dingin semakin rencam membasahi mukanya, berkemilau di panah cahaya yang datang entah dari mana.
“Tuan adalah sebahagian dari kami! Sukma tuan penuh dengan dendam kesumat yang tak pernah sudah! Tuan adalah kami! Dendam tuan terbit dari dendam kesumat kami! Derita tuan terbit dari derita kami. Sampai bila tuan hendak berdendam sedang nadi mahmudah tuan sudah lama mengajak nafas mazmumah tuan untuk berdamai!”
Asakan demi asakan dari nada suara lara itu semakin bergalau, membiaskan warna-warna keliru yang kian membangkitkan rasa amarah Zau yang tak terbendung. Sesah nafasya semakin menyesak sukma. Mengapa tidak dari tadi mengiakan sahaja permintaaan mereka , agar tidak terusik sedikitpun apa yang tergumam di sukma? Untuk menobatkan kewibawaan, sudah terlambat. Apa yang tersembunyi sudah semakin diketahui, malah sudah semakin menyatu dengan kehendak mereka.
Zau memejam mata. Getar di dada semakin bercempera, menyelar-nyelar sukmanya yang bercelaru. Airmatanya, entah mengapa mudah benar mengalir, membasahi pipinya, mengalir lagi menitis ke lantai. Tatkala itu, sayup-sayup dia mendengar deru mobil yang singgah di telinganya, dia cuba menggagahkan mindanya untuk kembali ke dunia nyata, tanpa ada duga-menduga, desak-mendesak dan dendam-mendendam.
Bohong! Akulah pendendam maha dahsyat yang sering menyelongkar dendam nubari dari kalbu yang silam. Dusta kalau aku tidak berdendam, kalau bukan aku yang merangkai bait demi bait, menjalin kata demi kata, menggubah duka kepada lara, siang kujadikan malam, malam kubenamkan ke dasar akar sukmaku – bukankah  aku si penyair yang bernama  Siti Zauyah! Yang lahir dari ranah kejadian. Yang diamanahkan oleh sejarah lara supaya membela tahta yang tercela! Hatta, dendam kesumat itu bertunas seawal mula membenihnya tulang sulbi sejak di rahim bunda,  dendamku telah dipupuk menjadi subur oleh ratab ratib hikayat dari lipur lara ayahanda tercinta!
Kalbu Zau meronta, mengila-gila jadinya.
“Hah…,mengaku pun tuan! Malah, ada lagi dendam tuan yang tidak terbela.  Bagaimana zaman kanak-kanak tuan, saban hari melagang hidup atas airmata, remaja tuan dituduh nista, diperangkap, difitnah, dihina, dan dewasa tuan – tak sudah-sudah lara menimpa. Pengecutnya tuan berselindung di sebalik keluh kesah  kami yang tak terbela! Sedangkan tuan lebih lara dari kami sepanjang usia menjangkau ke riwayat kami, tuan berselindung di sebalik dendam kami!”
Suara Tun Teja menerobos, menikam sukmanya. Pedihnya tak terhingga. Sebaknya membuak airmata tak henti-henti mengalir membasahi pipi dan bibirnya. Menggumam Zau seketika menahan sebak yang tak terhingga.
“Cukup! Cukup! Aku tidak pernah berdendam dengan sesiapa! Akar di sukmaku bertunjangkan nur dari Zat yang menyatu. Tidak terlintas di sukmaku untuk menentang takdir  waimma memesongkan catatan sejarah yang cukup mulus dalam ingatan. Tidak! Aku tidak berdendam seperti tuanku semua.”
Terlalu kerdil dirinya saat itu, mendepani nubari-nubari yang pernah menjadi tempat persinggahan dia untuk berselindung lara. Bukan niat untuk dia berdendam melainkan menumpang untuk menyusun bait-bait dari kata-kata mulus buat pengubat duka yang melanda. Hanya itu! Salahkah?
Tun Fatimah yang lembut halus budi itu mendekati Zau yang terpelosok di lantai. Dia menyeka airmata yang membuak di pipi Zau dengan cindai sutera cina yang menyelimpang tubuhnya. Bau setanggi berbaur wangi bunga mawar kuat lekatnya pada cindai sutera itu, menyerbu ke rongga baunya. 
Berbekalkan sedikit kekuatan dari semangat Tun Fatimah, Tun Teja dan Mahsuri, Zau cuba untuk bangkit, cuba mengheret tubuhnya mahu keluar dari kamar di raja itu. Dia sudah tidak sanggup mendepani  kehendak mereka yang sukar hendak ditunaikan itu. Amat mustahil memesongkan sejarah yang sudah lama terpelihara dengan elok!
Bunyi gemerincing tombak berlaga, mematahkan semangat Zau sekali lagi.  Wajah pengawal yang mengawal nampak bengis dan ganas!
“Bebaskan aku!”
“Bebaskan dendam kesumat kami!” Serentak mereka membentak, menyilaukan pandangan berupa ancaman yang bersungguh!
“Bebaskan aku!”
“Bebaskan dendam kami dulu! “
Wajah-wajah jelita berbaur lara itu semakin mendesak!
“Tapi, bagaimana? Memesongkan sejarah? Berbohong pada anak bangsa bahawa moyang mereka  adalah puteri-puteri yang hidup ceria. Yang tak pernah bersengketa? Yang tak pernah hidup lara dan tak pernah sekelumitpun berdendam dengan sesiapa? Begitu? Dayus! Melampau!” Zau menjerit lagi. Amarahnya memuncak. Dia tidak akan bertolak ansur  dengan wajah-wajah jelita berbaur lara ini lagi.
“Dayus tuan kata? Bukankah tuan yang lebih dayus daripada kami. Berselindung di sebalik dendam kesumat kami! Dendam tuan lebih hina dari dendam kami!”  tempik Mahsuri, mula memberontak.
“Aku tak dendam! Tidak!” Zau juga memberontak.
Mahsuri yang kehilangan sabar, merebut tombak di tangan pengawal  lalu menghunjam tepat ke jantung Zau, sama seperti dadanya yang pernah ditombak dahulu! Membuak darah ungu, lalu menyimbah pintu kalbu - Zau yang  separuh longlai menjerit ke langit leluhur, menadah tangan kanannya memohon kudrat Illahi dengan tangan kiri menahan darah ungu yang membuak laju.
Tun Fatimah dan Tun Teja, terpinga. Begitu cepat peristiwa berlaku. Bumi Melaka disimbah darah ungu kali ini, dendam kesumat beraja lagi. Tun Teja mencabut tombak yang terlekat di jantung Zau.
Zau mengerang menahan sakit.
Tun Fatimah segera membebat luka di jantung Zau dengan cindai sutera cina warna delima miliknya. Menyatulah warna merah ungu mewarnai bumi Melaka , memunculkan buih-buih merah ungu berlegar mengapung ke langit firus, berterbangan serata langit memayungi bumi Melaka.
Suara Zau bergema menahan sakit dan getarannya menggelombangi seluruh tonggak istana. Menerobos ke dalam cahaya yang berpencar di sekeliling kamar di raja itu, seketika senyap. Tatkala itu Zau terdengar suara muazzin, berkumandang azan yang sayup-sayup singgah ke rongga dengarnya.
“Aku bersumpah atas nama Tun Fatimah, Tun Teja dan Mahsuri, bahawa selagi darahku berwarna  ungu, selagi itulah  dendam kalian berakartunjangkan di laut sakar maduku…..!”
Suara Zau semakin lemah, berbaur esakan tangis Tun Fatimah dan Tun Teja yang benar-benar mengesali kejadian?
Dan Mahsuri yang terkejut oleh perbuatannya, terpelosok ke rusuk Zau, menyesal sehabis sesal oleh perbuatannya sendiri. Meratap-ratib dek kekesalan yang tidak berkesudahan. Bergema esak tangisnya, menggelombangi kamar di raja itu.
Zau yang hampir menyatu dalam dendam wajah-wajah jelita berbaur lara itu, semakin tenggelam batinnya dalam rasa sebal penuh sesal. Akan terawang-awangkah rohku antara lelangit bumi, memikul beban dendam wajah-wajah jelita berbaur lara ini? Zau lelah, nafasnya  mula berombak mengikut sesah denyut jantung yang terluka. Zau merasakan setiap isi bumi mula menyumpah-nyumpah dirinya. Matanya mula gencar, titis bening mengalir dari alur matanya lalu menyatu dalam darah merah ungu, memencarkan warna-warna keliru lalu membiaskan kamar di raja ini - menjadikannya berwarna ungu!
Alunan azan dari suara muazzin yang lemak merdu semakin menggetar kalbu Zau. Amat berat tubuhnya ketika itu. Amat fana dunia ini, seolah-olah rohnya diapungkan bersama ribuan gelembung-gelembung buih, naik ke langit biru. Saat itu semakin nyali sukmanya. Dia pasrah!
“Puan, Puan Siti Zauyah! Bangun puan……”
Zau melihat beberapa orang mengelilinginya, terpinga-pinga.
“Kenapa saya?”
“Puan pengsan di hempap tiga mannequin itu. Apa yang telah terjadi, puan? Wajah puan  pucat betul, macam orang kehilangan banyak darah!”
 Kurator muzium istana, terpinga- pinga melihat keadaan Zau sedemikian rupa. Dia segera meleraikan ikatan cindai di dada Zau.
Zau tersentak. Dia cuba mengelak tapi ikatan cindai itu sudah pun lerai. Alangkah peliknya! Zau menekan dadanya yang ditombak Mahsuri. Pedihnya terasa namun tidaklah sampai menderita. Zau semakin keliru dan bercelaru, menyelami bahasa kalbunya, kalau-kalau apa yang berlaku adalah halusinasinya sahaja. Tapi, bagaimana cindai itu membebat dadanya?  
Meski tubuhnya terasa longlai, dia gagah untuk bangun, malah cuba menjangkau jiwa hambanya untuk kembali  ke makam fana dalam kamar di raja itu. Puas dia memejam mata tapi hampa.
“Kita ke klinik?!” Ada suara yang mencadangkan. Namun, Zau tetap berdiam, seperti mengelamun memikirkan, ya memikirkan tentang mannequin-mannequin  itu!
Tatkala dia cuba menyelimpangkan cindai sutera warna delima ke bahu  mannequin Tun Fatimah, Zau terlihat ada setitik darah merah mewarnai cindai itu. Lantas Zau meraba dadanya - di bajunya ada secalit darah berwarna merah!
Saat Zau dipapah pergi, dia sempat menoleh mannequin-mannequin itu. Tersedu sukmanya apabila dia merasa ada air bening bergencar di mata…
remuk sukma Tun Fatimah
tatkala terbau mamah sireh Tun Teja
menyatu darah putih Mahsuri
kuzikirkan nyalaan merah
ungu terbit darahku
kumanterakan ke pintu kalbu –
dendam nyalaan dendam
dendam kesumat bunda ratu
dendam usailah dendam
balik menjadi debu, pulang menjadi abu
balik ke asal mula segala mula
                                    asal dari zat yang Maha Mencipta….

No comments:

Post a Comment