Sunday 16 December 2018

PEMENANG HADIAH SASTERA DARUL RIDZUAN 2016/2017 - PULARA 2018 (kategori kumpulan puisi)


MENELAAH KEMBALI 'DAUN NAN BERCINTA' ROSMIATY SHAARI
Mengulang baca kumpulan puisi 'Daun Nan Bercinta' (ITBM, 2016) karya Rosmiaty Shaari yang memenangi kategori kumpulan puisi Hadiah Sastera Darul Ridzuan, dapatan-dapatan baru ditemui. Saya membaca dengan lebih terperinci, mencari kekuatan sehingga kumpulan ini layak untuk dinobatkan. Antara yang dapat saya petik ialah Rosmiaty tidak gemar menggunakan imajinasi dalam mengutarakan konsep kebaikan (wisdom) tetapi menggunakan pandangan yang tertakluk kepada kewajipan mentaati perintah Allah. Dengan perintah itu, beliau melunakkan dalam semua lapangan yang berteraskan akhlak atau kesucian hati dan niat dalam usaha mendorong kebaikan yang terserap dalam perilaku dan sikap yang ditunjukkan (Arbak Othman, 2016, xxxiii)
Barangkali yang dimaksudkan ialah kumpulan ini menjurus kepada matlamat penyampaian iaitu Rabbul Alamin. Keseluruhan 76 puisinya menuju kepada hidayah dan inayah.
Konsep ilmu yang diterapkan dalam kumpulan ini bukanlah imajinasi khayalan tetapi imajinasi yang bersifat intelektual dan makruf. Ilmu menyebabkan manusia memahami kehidupan dan kehendakan pencipta-Nya. Ini disuarakan dalam puisinya 'Doa Kekasih' (hal.47)
seratus menghormati
hanya seorang menyanggahi
seratus membenamkan ke akar bumi
hanya seorang tak mampu mengapungkannya
ke langit lazuardi
Daya intelek ini terlihat dalam penggunaan angka seratus. Tidak ada seratus yang diangkat oleh ijmak dalam memperkatakan kalam Allah. Angka 1, 3, 7, 77, 99 antara angka yang menunjukkan rahsia Illahi. Seratus saya fikir ia digunakan bagi kombinasi roh dan tubuh. Tidak menjurus kepada perbicaraan roh semata.
Sepanjang penulisan Arbak juga tidak dinyatakan tentang tabarruj atau bersolek berlebihan pada puisi-puisi Rosmiaty. Apa yang dimaksudkan tabarruj ialah penyair puisi Islam melebih-lebihkan kesyahduan emosinya.
Terlebih dalam tabarruj ini juga cuba disanggahi dalam puisi Mabuk (hal. 60)
dia mabuk lautan anggur
cinta telah bertukar serupa bintang
berkerdip di langit menjadi lazuardi di nurani
pintu pun terbuka seluas kelam
malam melebar sayap
menadah cinta yang pulang
dunianya telah hilang
Kelihaian tabarruj dalam mabuk ini jauh dari tabarruj 'Sidang Roh', Kassim Ahmad,
nanti akan padamlah dengan sendiri
lampu dari menara tinggi
karena dibawahnya orang kian mabuk
dan Tuhan sudah mati.
Keintelekan dahwah secara paradoks juga terlihat dalam sajak 'Catatan Mahsyar' ini.
akan adalah nanti
nyalaan mentari di Yaumil Mahsyar
sejengkal dari dosa
manusia pun ketawa
sehabis suara
menggelepar
oleh sengsara
Untuk berdakwah tidak perlu mengulang suatu yang terlalu klise kepada khalayaknya. Paradoks yang sedemikian tidak melepaskan puisi-puisi Rosmiaty dari pengucapan Islam.
Puisi-puisi ketauhidan sudah terbayang dalam puisi-puisi Kemala pada zaman awalnya dan diperkukuhkan sekitar tahun 1970-an. Kemala bagaikan menyahut seruan sastera Melayu ke arah iltizam sastera Islam itu. Beliau tidak hanya menghasilkan Kaktus-Kaktus, tetapi terus memperkuat dan memperhalusi puisi keislamannya dengan Ayn, Titir Zikir dan Mim, Ini menjadi bukti bahawa kecintaan dan iltizamnya dalam menghasilkan penulisan teks Islam bagaikan sudah ditentukan sejak azali lagi dan meletakkannya sebagai penulis Islami yang terkemuka. Ia kemudian diikuti oleh penyair generasi seterusnya termasuk Rosmiaty..
Apabila semakin banyak penyair menulis puisi Islam, seharusnya ia dibarengi dengan kelahiran teori tempatan untuk menilai karya tempatan supaya sejiwa, valid dan tepat. Teori sastera tempatan yang diperlukan itu bukan sahaja berwajah Melayu, ia harus berjiwa Islami. Teori sastera Islam juga hasil kelangsungan daripada diskusi sastera Islam pada dekad 1980-an, dan oleh kerana banyak teks kreatif Islam diciptakan ramai penulis; maka sangat diperlu sebuah pendekatan atau teori sastera Islam.
Semoga akan ada teori penganalisaan yang sesuai untuk karya berunsur Islam seperti Daun Nan Bercinta ini.

Sunday 29 July 2018

PUISI A SAMAD SAID

 KEPILUAN YANG BERLANJUT AKHIRNYA

DITENTERAMI KEYAKINAN
BETAPA DIELAK AKAN TAKDIR
TETAP TERBUKA PINTUNYA...

- A SAMAD SAID
MAAFKAN DAKU SAMPAI SYURGA
MAKA KEMATIAN PUN MENEMUI PUSARANYA 
Selamat Tinggal

Wednesday 21 March 2018

Ceritera Si Tukang Sapu

Ceritera Si Tukang Sapu
ataupun begini : seseorang akan tiba, dengan gagah perkasa akan memecah tanah!
dan kau pun tiba-tiba menjadi pikun, mengutip serdak sampah di celah bau langu pagi. 
bangkai-bangkai kelekatu yang basah di bawah tiang-tiang lampu, katamu itu sampah yang perlu kausumpah menjadi haruman melati, biar wanginya pekat aroma materi. manakala bau kematiannya kautumpulkan ke dalam bumi. ah, jangan sekali-kali membiarkan ia terbang membawa bayangannya yang hitam!

semua mesti terang!
semua mesti rapi!
seseorang akan tiba, dengan gagah perkasa akan memecah tanah!
oo.... petaka mimpi tadi malam yang tak sempat kauhabisi, kau bawa ke sini untuk kauhubungkan ke fajar pagi, ke beburung, ke temanmu, juga si tukang sapu, betapa mimpimu yang belum kausiapkan tadi malam telah menjadi bukti hipokrasi! kau dibangunkan sebelum terbukanya mata dini dan kini kaudigaringkan matahari, di sini.
(setiap gerakmu, kau melihat ada kilatan-kilatan mata buas yang lebih keras dari panah yang dilepas!)
Bukit Katil

Tuesday 13 February 2018

2

PENCARIAN

tanpa sedar
waktu melepaskan jaraknya
ke hujung langit yang kian bongkok
digaringkan perit matahari
hingga mengelupas kulit-kulit tua 
yang ditinggalkan usia -
sisa yang masih ada
jauh benar jarak jasmaniah dari jarak rohaniah
sejauh benang matahari menghulurkan perjalanan ini
kutarik perlahan-lahan
agar tidak putus di pertengahan
sebelum kutemui pangkalanmu
ya Rabb
mengenang perjanjian yang jauh tertinggal
ketika ruh masih bersih
langit masih putih
air masih jernih
ketika nafas menyatu
dalam adunan nafsku
mengelus kening hijap
menyinggahkan perjanjian
tentang kebenaran yang membenarkan
aku mencari ada
engkau  di mana-mana
aku mencari cahaya
engkau pancarkan di atas cahaya
ya Rabb
13022018
saujana permai
kredit foto: Jain Mahmud II


Friday 2 February 2018

TUHAN, KEMBALIKAN DIA UNTUK KAMI

TUHAN, KEMBALIKAN DIA UNTUK KAMI
ROSMIATY SHAARI

Semuanya terlalu mendadak. Malam itu (4 Mac 2017), saya menginap sebilik dengan Imah dan Kak Amida di Kandu. Mereka sudah lama di lamun mimpi. Tapi saya masih payah memejamkan mata. Berpulas kiri dan kanan, membaca ayat-ayat suci mengharapkan lena. Sayup-sayup bunyi cengkerik tingkah meningkah tetap juga memecah kesunyian.

Semakin lama perut saya semakin pijar.

'Kenapa pulak ni?' fikir saya.

Semakin lama semakin terik dan sakit menarik-narik. Tekak terasa loya tiba-tiba. Meletakkan tangan di perut, saya baca surah Fatihah beberapa kali tapi sakitnya makin kuat dan menjadi-jadi.
Saya tidak tergamak mengejut  Imah dan Kak Amida. Dengkuran kecil mereka menunjukkan mereka letih benar. Teringat 'pain killer' yang saya bawa. Dalam gelap saya meraba-raba di dalam beg tangan saya, alhamdulillah dapat. Saya telan sebiji dengan air mineral yang sedia ada di atas meja di sisi saya. Perlahan saya rebahkan badan dan pejamkan mata, namun sakit perut semakin kuat. Ya Allah, apa sebenarnya ini?

Barangkali jam 5 subuh barulah mata saya terlelap dan tersedar apabila terdengar suara Kak Amida sedang wirid. Sudah subuh rupanya. Saya bangun untuk menyempurnakan solat subuh. Sakit perut berkurangan. Alhamdulillah. Lalu saya ke kamar mandi, bersihkan diri dan mengambil wuduk.
Badan terasa lemah tapi saya diamkan lalu terus mengerjakan solat subuh. Masya-Allah, sakitnya tatkala rukuk dan sujud, rasa tidak mampu menyelesaikan solat. Ya Allah, berikanlah hamba ini kekuatan, desis hati kecil saya. Saya gagahi juga menyelesaikan solat.

Sebentar,  saya dengar ketukan pintu, pasti itu suami saya Zain yang tidur di bilik sebelah. Imah buka pintu. Ya benar, suami saya minta keperluan peribadinya. Tiba-tiba Dr Freesie dan teman-teman beliau  muncul di muka pintu bilik kami, entah kenapa.

'Eh, Faridah. Tidak sihat kah?' tanya Dr Freesie.

'Hhee... saya ok Dr. Ok, Dr, '

Saya cuba sembunyikan kesakitan saya. Namun, wajah pucat saya memancarkan kekurangan diri saya. Dan akhirnya, saya akui kesakitan perut yang saya alami tadi malam kepada mereka semua. Dengan segeranya, Dr Freesie memberi sebungkus pil supplementari untuk kutelan, Allahuakbar, tidak tertelan rasanya.

Hari itu, Sabtu, adalah hari perasmian Graha Karyawan Duah. Hari yang penting bagi pengasasnya Tuan Duah. Saya ditugaskan untuk memastikan acara seminar berjalan lancar sejak berlansung semalam lagi. Meski banyak juga masalah yang timbul, saya berusaha agar acara seminar lancar dan terbaik. Semasa hari perasmian, mujurlah tugas saya tidak berat, sekadar membantu mana yang patut. Tapi hakikatnya, saya memang tidak larat untuk bergerak cergas. Saya mohon daripada Puan Rafidah iaitu adik kepada Tuan Duah  untuk tidak bertugas.

'Faridah, kamu demam kuat ni?' kata Puan Zaidah, memegang tangan saya. 'Tak mengapa, awak rehat ye.'

Saya sedar saya demam setelah ramai yang menegur saya tatkala bersalaman. Saya menyambut tetamu Graha Karyawan, memang tidak dapat lari dari bersalaman. Sementelah saya memang ahli jawatankuasanya.

Alhamdulillah,  dapatlah saya duduk-duduk bersama teman baik saya Layla  beberapa ketika sampai selesai acara perasmian Graha Karyawan Duah yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak. Alhamdulillah juga, antologi puisi Suara Dari Lembah  yang saya selenggarakan bersama suami turut dilancar dan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak. Itulah kegembiraan saya walaupun jauh di sudut hati saya ingin sangat bergambar dengan MB dan buku itu sebagai kenangan. Seperti selalu, saya bukanlah orang yang suka menonjolkan diri. Setiap kali orang ramai berebut-rebut bergambar dengan MB yang mereka sayangi, saya hanya memerhati dari jauh dengan rasa ingin tetapi nurani yang pemalu tetap menjauhkan saya sebagai pemerhati.

Tengah hari rembang itu agak pijar semasa saya duduk di benting batu di bawah pohon terap. Kelip-kelip cahaya melintas di antara celahan dedaunan. Angin bergerak lambat. Namun, daun gelam, daun terap dan daun-daun entah apa jenisnya berjatuhan menimpa  saya. Saya ambil daun terap buat kipas. Terasa dingin yang semacam, barangkali kerana demam saya. Saya juga sedar, saya sudah mulai batuk dan terasa sukar bernafas. 'Inhelar' memang sentiasa saya bawa, untuk saat-saat saya memerlukan.

Makan tengah hari tidak sempurna. Saya hilang selera, melainkan saya dahaga air. Lalu saya minum air manis dari gelas ke segelas. Sangat nikmat. Tiba-tiba saya didatangi oleh Prof Muhd Salleh.
'Faridah, boleh sediakan saya penginapan untuk malam ini. Kalau bolehlah. Kalau tak boleh, saya akan balik terus Penang,' kata beliau.

'Prof, saya cuba uruskan, ye. Nanti saya maklumkan.' Saya berjanji dengan seorang professor, memikirkan penginapan di Kandu telah dikosongkan oleh deligasi dari Indonesia. Dan saya bercadang untuk berbincang dengan Tuan Duah akan hal ini, tentu Tuan Duah ada solusinya.
Jam 2:30 petang,  seminar bicara karya diteruskan. Kebetulan suami saya mewakili baca makalah Dr Mikhail yang tidak dapat hadir seminar. Panel lain ketika itu ialah Dr Ahmad Othman,  Prof  Dr Abdul Salam dan dipergerusikan oleh Prof Muhd Salleh. Dewan agak kosong setelah acara perasmian tadi, entah ke mana pergi para peserta. Para ajk juga entah ke mana hilangnya. Kepala saya mulai memberat. Batuk saya mulai menjadi. Sesak rasanya, namun tugas perlu saya dahulukan. Setelah para panel duduk di tempat masing-masing, dan dewan mula di penuhi, saya gagahkan diri pergi ke pejabat Graha Karyawan Duah untuk mendapatkan  air mineral dan beg cenderahati untuk panel. Setelah meninggalkan pesan entah kepada siapa untuk siapkan permintaan saya, saya bercadang untuk kembali ke dewan seminar untuk mengikuti perkembangan. Belum pun lima minit di dewan seminar, pandangan saya mulai berpinar dan berbalam. Saya bimbang saya rebah di dewan dan mengharubirukan lagi keadaan, lalu saya segera mencapai beg tangan dan tinggalkan dewan seminar. Waktu itu rasa mahu menangis, tapi saya cuba juga kuat sambil berdoa, jangan rebahkan saya sebelum saya sampai ke surau. Di kamar mandi surau, saya basuh muka dan basahkan kepala. Saya gogok air paip tanpa fikirkan kebersihannya. Tika itu yang penting, saya mesti segar kembali. Dengan langkah gontai, saya ke surau dan entah bila saya tidak sedar hinggalah saya terdengar petir berdentum dan bunyi angin kuat serta lebat hujan.  

Ya, Allah. Urusan Prof Muhd Salleh belum saya selesaikan! Saya gagah untuk bangun tetapi kepala saya berat. Batuk datang lagi, saya sedut inhelar. Saya cuba telefon suami, bateri habis. Angin kuat dan hujan lebat di luar mencemaskan saya. Hati risau kerana tugas saya belum selesai.
Sebaik hujan reda, saya dengar suara suami bertanyakan saya dengan entah siapa. Saya gagahkan bangun.

‘Prof Muhd ada?’ saya bertanya suami.

‘Prof sudah balik,’ jawab suami, tercengang-cengang.

Saya diam, tidak larat bercakap. Satu amanah telah gagal saya laksanakan terhadap seseorang yang mempercayai saya. Ya Allah, saya tidak sengaja, sementelah saya sakit.

Pada sebelah malamnya merupakan acara baca puisi. Saya minta izin suami untuk mengikuti acara tersebut, saya ingin sangat mendengar puisi saya  dinyanyikan oleh Ahmad Ramli, seorang penyanyi lagu puisi yang sangat saya kagumi sejak lama dulu. Ini peluang saya, barangkali yang pertama atau mungkin yang terakhir. Dan, malam itu saya menikmatinya dengan rasa yang menyentuh nurani.
Demam tidak juga kebah tapi sakit perut mulai hilang. Batuk datang dan pergi, begitulah. Hanya sesekali, jadi tidaklah terasa berat bagi saya.

Pagi hari terakhir, sebahagian peserta yang masih tinggal diajak bersarapan di tepian Sg Kampar, Kampung Jahang. Saya rasa mahu berendam di dalam air yang nampak dingin, tapi seperti selalu saya hanya ada rasa ingin selebihnya hanya memerhati dan simpan perasaan itu jauh-jauh dalam diri. Angin berpuput lembut. Desir geseran rumpun buluh semacam member satu irama yang sangat menyegarkan. Sungai beralun-alun, mengalir mengikut alirnya entah ke mana. Beberapa orang rakan jurufoto merakamkan gambar saya dan rakan-rakan. Saya masih ingat redup pohon buluh dan batu-batu sungai yang bulat-bulat meninggalkan kenangan bak kata selarik puisi seniman Malim Ghozali Pk berjudul Katakanlah; semua sudah terkunci dalam simpulan kenangan. Begitulah.

6 haribulanMac; saya sangka suami saya pulang ke Kuala Lumpur dan memulakan tugas hakikinya. Saya bercadang untuk pergi ke hospital Melaka bersama anak lelaki saya, Azim menaiki motosikal. Batuk saya semakin menjadi-jadi, nafas rasa sesak manakala perut pula  sakit semula. Demam, begitulah tidak juga kebah kebah.

'Eh, abang cuti hari ini. Jom abang hantarkan,' kata suami.

Alhamdulillah. Saya berasa lega. Setelah sarapan pagi kami terus ke hospital dan mendaftar di bahagian kecemasan. Setelah mengambil maklumat diri saya dan mengisi borang, petugas paramedik menyuruh saya menunggu.

'Bunyi macam appendik, kena masuk wad ni, puan.'

'Jangan la sampai masuk wad,' celah suami yang barangkali risau meninggalkan saya kerana panggilan tugas hakikinya di Kuala Lumpur.

Saya diam, duduk di kerusi menunggu saya resah menahan batuk. Suami menyelak-nyelak surat khabar di sebelah. Pagi itu tidaklah ramai sangat pesakit yang menunggu giliran bertemu doktor. Rasanya saya tidak apa-apa, sekadar appendiks. Tapi batuk dan pernafasan saya yang merisaukan. Kalaulah saya dibedah dalam keadaan batuk, alangkah payahnya saya menanggung sakitnya.

Suara anak-anak menangis entah sakit apa berbunyi di sisi dan belakang saya. Siren ambulan dan panggilan nombor melalui interkom, suasana dan pandang mata yang sangat merisaukan saya.
Setelah saya diskrin, nama saya dipanggil ke bilik 4. Seorang doktor perempuan yang saya tidak jelas namanya menyambut saya dengan senyuman dan menjawab salam saya.

'Ya, makcik sakit apa?'

'Perut'

'Makcik baring di katil.'

'Saya periksa.'

Doktor perut saya, saya melolong kesakitan.

'Baik, baik, makcik kena masuk wad. Appendiks rasanya. Lagipun makcik demam kuat ni."

'Tapi makcik perlukan nabulizer. Makcik susah nak nafas. Batuk."

'Saya periksa dulu.'

Paru-paru saya diperiksa, disuruh tarik nafas kuat-kuat. Saya lakukan dengan terbatuk-batuk tidak tertahan.

'Tapi paru-paru makcik 'clear'. Makcik ada asthma?"

'Entah la, doktor. Ada doktor kata, makcik ada asthma, ada pula yang kata tidak. Tapi inhaler ini dibekalkan oleh pihak hospital,' jelas saya masih terbatuk-batuk.

'Makcik masuk wad dulu. Nanti kita tengok apa yang patut."

'Tapi makcik nak balik dulu. Nak ambil keperluan di wad nanti"

'Tak ada siapa-siapa yang boleh bantu?'

'Suami tapi dia tidak pandai. Izinkan makcik balik dulu. Nanti makcik datang semula."

'Boleh tapi makcik kena tanda tangan surat tanggung risiko.Jika apa-apa berlaku pada makcik, kami tidak bertanggung jawab. Pastikan makcik datang semula jumpa saya sebelum saya pulang jam 5 petang.'

Saya menandatangai surat tanggung risiko tanpa memikirkan risiko sebenarnya. Saya mahu pulang dan pastikan keperluan anak-anak juga terjamin di rumah di samping keperluan saya di wad nanti. Tapi tubuh saya makin gigil, saya senyap tidak memberitahu suami bimbang dia risau hendak pulang ke Kuala Lumpur kelak. Azan zohor berkumandang  sayup-sayup. Setelah tunaikan solat zohor dan setelah beberapa kali menyedut inhaler, saya tertidur. Sedar-sedar jam 3:30 petang setelah dikejutkan suami. Saya segera bersiap, terasa pilu seperti mahu meninggalkan rumah ini lama. Izzat, anak bongsu saya masih belum pulang dari sekolah. Azim menunggu di rumah. Setidak-tidaknya dia dapat menemani adiknya.

Tiba di hospital, saya dan suami segera ke bilik 4 bertemu doktor yang memeriksa saya tadi. Suami diarahuruskan kemasukan saya ke wad. Entah kenapa sayu benar hati ini tatkala tangan saya dicucuk jarum untuk memudahkan urusan pengambilan darah atau drip. Saya biarkan dengan rela. Sesudah itu, dengan mengguna kerusi roda saya ditolak ke wad 1 di temani suami. Batuk saya makin menjadi-jadi, demam juga. Mujurlah sakit perut saya berkurangan.

Di wad 1, saya diminta menukar pakaian hospital berwarna hijau. Saya akur walaupun pakaian itu tidak selesa dipakai. Seorang  doktor lelaki Melayu (entah kenapa saya lupa semua nama doktor atau jururawat yang merawat saya di hospital itu) datang lagi kepada saya untuk mengambil maklumat dan sejarah perubatan saya. Saya bosan tapi saya ikutkan juga kehendak dia. Soalannya berbelit-belit, seolah-olah saya sengaja mencipta cerita. Saya rasa mahu memberontak tapi batuk saya mengajar saya supaya terus bersabar. Setelah selesai, saya merayu lagi kepada doktor lelaki Melayu itu supaya memberi saya nabulizer. Sekali lagi saya dinafikan gas itu setelah dia juga berkata paru-paru saya 'clear'. Mahu tak mahu, saya hanya berupaya menyedut inhelar yang tidak berapa berkesan itu.

Waktu melawat petang itu tamat jam 7, suami diminta beredar. Bermakna suami akan pulang terus ke Kuala Lumpur malam nanti. Esok dia ada tugas penting yang perlu dilaksanakan di ibu pejabatnya. Ketika itu saya masih cetek berfikir, appediks hanyalah satu pembedahan kecil. Saya berpesan kepada suami, jangan beritahu anak-anak yang jauh. Saya masih boleh jaga diri dan tidak mahu menyusahkan anak-anak. Jadi, suami akur  permintaan saya.

Jam 8 malam, nafas saya semakin memberat. Demam saya tetap 40 darjah celsius. Dua orang doktor datang  melakukan ECG terhadap saya. Saya diminta bernafas kuat. Namun, kekuatan pernafasan saya semakin lemah. Lama mereka melakukan ujian ECG yang sepatutnya sebentar saja. Kemudian saya terdengar mereka berbisik-bisik yang pada tanggapan saya pasti ada sesuatu yang tidak kena. Sepuluh minit setelah ujian ECG selesai, kedua-dua orang doktor lelaki itu datang semula dalam keadaan yang agak mencurigakan saya. Saya tiba-tiba diberi nebulizer dan drips. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat nebulizer, dan pernafasan saya terasa lega. Barulah saya terasa lapar setelah lima jam tidak menjamah makan atau minum. Namun, sebaik saja hendak menuang air, saya ditegah.

'Puan kena puasa, puan. Esok pagi 'operation.' beritahu seorang jururawat yang manis wajahnya sambil membetul-betulkan talian drips.

Saya akur walaupun perut terasa amat lapar.

Nebulizer demi nebulizer menyinggahi paru-paru saya. Doktor ke seorang doktor sentiasa memantau saya. Dan tepat jam 11:00 malam, saya dihantar untuk dua ujian X-ray - paru-paru dan perut.
Sejuk bilik X-ray tidak tertanggung lagi menyebabkan saya rasa mahu muntah. Sementelahan perut memang kosong. Sampai di katil, saya diberi nebulizer lagi walaupun paru-paru saya sudah lega. Ketika itulah saya terdengar perbincangan antara doktor  bahawa saya mengalami masalah paru-paru berair. Saya terdiam, tidak tahu perasaan saya bagaimana. Saya melihat dua rakan bilik saya sudah lama dibuai mimpi.  Akhirnya, saya rebahkan diri mengharapkan lena.

Malam itu memang saya tidur lena dan terjaga apabila terdengar azan subuh. Saya bercadang untuk menunaikan solat di surau tingkat satu tidak jauh dari kamar saya. Drip dihentikan sementara, saya segera ke bilik surau. Ada ramai jemaahnya. Saya mengambil tempat di saf belakang. Tiba-tiba, entah di mana silapnya jarum yang menyambung ke belakang tapak tangan saya tercabut! MasyaAllah, darah menyembur macam pancutan air. Saya panik. Telekung saya penuh dengan darah. . Seorang hamba Allah cekap membantu saya, membalut tangan saya dengan telekung. Saya hanya mampu minta maaf kepada jemaah atas apa yang berlaku. Beberapa helai sejadah turut terkena darah saya, tapi segera diambil hamba Allah yang membantu saya tadi. Dia suruh saya pulang ke wad segera. Saya akur.

Di wad, doktor bising kata saya lasak. Saya diam, malas menjawab. Doktor cucuk saya lagi untuk menyambung drip semula.

Masa berjalan. Saya melihat rakan sekamar menikmati sarapan pagi. Tapi apakan daya, saya dipuasakan. Entah kenapa, rasa hiba menggerakkan tangan saya menulis wassupp grup anak-anak.

'Emak akan lalui pembedahan sekejap lagi. Mohon doa anak-anak. Doa anak mustajab kan.' Airmata saya tiba-tiba menitis. Saya juga sempat menulis khabar saya di facebook. Harapan saya untuk mendapatkan doa ikhlas dari para sahabat agar saya selamat.

Tak sampai beberapa saat, telefon berdering.

'Mak bedah apa? Siapa jaga? Mak tak cakap pun mak sakit.' Suara  Azad, putera kedua saya cemas.

'Appendiks. Kecil je,' jawab saya.

'Azad balik sekarang.'

'Tak usah. Doktor dan nurse ada, boleh bantu mak.' Saya tetap tidak mahu menyusahkan anak-anak.

'Abah?'

'Dah balik KL, mak yang suruh sebab ada hal penting sangat. Nanti abah balik semula.' Saya tenangkan dia.

'Apa-apa call semula, mak. Kita balik.' Dia meletakkan telefon.
Telefon berbunyi lagi. Suara puteri tunggal saya, Yan, tersedu-sedu.

'Mak, kenapa tak bagitau mak sakit. Kita nak balik ye.'

'Baliklah, Yan kalau rasa nak balik. Mak ok je. Tapi jangan laju-laju pandu kereta ye.'

Hariz pula telefon, pun bunyi tersedu-sedu. Padahal dia terlalu sibuk menguruskan pendaftaran ijazah sarjana mudanya dalam bidang Sains Sukan di UITM, Seremban. Ikutkan hati tidak mahu bebankan dia.

'Hariz balik sekarang, mak.'

'Ya, ya, hati-hati tau.'

Doa ibu tidak pernah saya lupakan buat anak-anak atau suami tatkala mereka di perjalanan. Begitulah.

Jam 10, ramai doktor mengelilingi saya. Saya diberi taklimat yang menggerunkan oleh dua orang doktor pakar. Khabar yang tidak terfikir langsung oleh saya. Saya fikir saya ok saja. Dunia tiba-tiba terasa seperti menimpa diri saya. Sangat berat. Saya mahu menangis tapi airmata saya hilang. Saya mahu bersuara tapi suara saya tertelan ke dalam jiwa. Ya, Rabb selamatkan saya…

'Puannn..., puan...'

'Ye, ye...' Saya terkejut dari lamunan.

'Dengar baik-baik, ye puan. Risiko pembedahan puan terlalu tinggi. Jantung puan terlalu lemah, paru-paru puan berair. Dan  appendiks puan telah pecah. Kami bimbang kuman cepat merebak. Risikonya, puan mungkin mendapat serangan jantung atau stroke. Puan mungkin akan di ICU. Jadi, puan kena tanda tangani surat kebenaran ini untuk kami ambil tindakan kecemasan atau guna alat pacu jantung jika diperlukan.Kami juga perlukan seorang waris untuk kebenaran ke dua.'

Subhanallah, walhamdulilllah, walailahaillallah, Allahuakbar... Mana anak-anakku? Hafiz, Azad, Yan, Hariz, Azim, Fariz dan Izzat. Mana suamiku? Ya Allah, tolonglah daku. Saya tunduk menekur lama, mengharap belas Rabbul Izati. Terasa ada tangan menggosok perlahan-lahan belakang saya.

'Anak saya, Muhamad Azim.'

'Berapa usianya?"

'17 tahun.'

'Tak boleh, puan, sekurang-kurang yang berusia lebih 21 tahun. Ada yang lain?'

'Ada tapi di KL.'

'Boleh puan telefon minta dia pulang segera?'

Saya terus menelefon Azad. Dia sudah dalam perjalanan rupanya. Barangkali hatinya tidak tega membiarkan saya sendirian.

Setelah kumpulan doktor beredar, dan saya menandatangani surat izin tindakan, saya diberi nebulizer lagi. Sambil menyandarkan diri, saya cuba untuk tidak memikirkan apa-apa, melainkan bernyanyi zikir dalam hati. Barulah saya nampak banyak mata memandang saya simpati. Kebetulan sedang waktu melawat, jadi ramai pelawat yang ada di kamar saya menziarahi saudara mereka.

Saya pejamkan mata, tidak sanggup berpandangan. Entah bila, saya terlena bersama nebulizer, tahu-tahu ada sentuhan di bahu saya.

'Makk...' Yan tersedu, mencium pipi saya.

Azad memegang tangan saya, juga nampak hiba.

'Mak demam kuat ni.' Azad kuat memegang tangan saya. 'Apa doktor kata, mak?' suara Azad resah.

'Pergilah tanya doktor. Dengar sendiri. Doktor nak jumpa Azad.'

Azad dan Yan beredar setelah dipanggil oleh seorang jururawat. Manakala saya diminta menukar pakaian lain khusus untuk kamar pembedahan. Kepala saya diserkup dengan serkup plastik khas.

Yan sempat mendekati saya. Dan saya sempat berbisik kepadanya.

'Yan, tolong sampaikan kepada abah, emak minta maaf atas segala-gala kesilapan emak pada abah. Mak mohon keredhaan abah untuk emak dunia dan akhirat. Tolong ye, Yan. Mak tak sempat jumpa abah.'

Sebak tidak terkata, saya tahan sehabis daya jangan sampai puteri saya hiba sangat. Tawakallah, itu saja yang terdetik dalam hati. Jam 1: 45 tengah hari, terbaring di atas streacher, saya ditolak ke kamar pembedahan di temani Azad dan Yan. Nyanyi zikir pelembut hati terus saya nyanyikan dalam diri. Di dalam lif, saya terpisah dari anak-anak. Sebentar kemudian, saya sudah berada di kamar bedah. Sekumpulan petugas mengangkat saya ke atas katil khas. Mata saya silau oleh cahaya lampu bedah yang memencar kuat. Seorang doktor berbangsa Cina memperkenalkan diri sebagai pakar bius saya. Saya tidak ingat namanya. Namun, dia sempat bergurau mengatakan pembedahan yang akan saya lalui sangat simple. Saya dengar. Sesudah pakar bius, seorang lagi doktor perempuan Melayu memperkenalkan diri. Pun saya tidak ingat namanya. Entah kenapa semua nama-nama doktor dan jururawat yang berurusan dengan saya begitu tumpul dari ingatan saya kali ini.
'Saya pakar bedah. Saya yang akan membedah puan. Puan, puan mengucap syahadah ye.'
Allahuakbar, saya mengucap syahadah dan ......

***********************

Bila emak wassupp di grup anak beranak pasal hendak dibedah dan minta doa anak-anak, saya rasa antara percaya atau tidak. Lantas saya terus telefon dan emak mengiakan. Hati saya jadi tidak sedap walaupun emak kata hanya pembedahan kecil. Tapi membiarkan emak seorang di hospital, saya memang tidak tergamak. Saya capai kunci kereta, minta izin dari pegawai atasan minta pelepasan atas urusan emak di hospital.

Sepanjang perjalanan dari PJ ke Melaka terasa begitu lambat. Hati saya berkecamuk seperti ada sesuatu yang tidak kena. Cuaca elok tapi saya terasa berbahang di dalam aircond kereta. Abang Hafiz sudah berkali-kali bertanya khabar emak tapi saya masih belum tahu bagaimana. Hendak menghala hospital pun saya lupa. Mujur Yan sempat mesej saya supaya mengambil jalan ke Tesco, ya saya sudah nampak hospital Melaka.

Buru-buru mencari wad 1, saya bertembung dengan Yan. MasyaAllah budak ni, cepatnya dia sampai. Mesti dia pecut laju dari Kota Kemuning.

'Bang, ikut sini.'

Macam sudah yakin, saya ikut saja langkah Yan. Manusia, entah pesakit atau pelawat atau mungkin petugas hospital sibuk dengan urusan. Bau ubat menyebatkan sedikit deria bau saya. Rupanya wad 1 tidak jauh dari pintu utama, malah di lantai yang sama. Saya ikut Yan dari belakang. Yan lebih yakin dari saya nampaknya.

'Nurse, ibu saya Puan Faridah di kamar mana?" Yan bertanya seorang jururawat di kaunter.

'Ini anak-anak Puan Faridah ke? Puan Faridah di kamar 1:1. Nanti datang jumpa doktor ye dekat sini. Ada hal penting doktor nak jumpa."

Hati saya mula cemas. Muka Yan juga nampak cemas. Kami mencari kamar emak. Itu dia, emak terbaring dengan nebulizer di mukanya. Emak tidur. Saya raih tangan emak. Panas sangat. Wajah emak pucat seperti menanggung sakit berat membuat hati saya turut rasa hiba. Kesiannya emak sorang-sorang menguruskan dirinya. Saya tahankan perasaan supaya nampak biasa. Yan mencium pipi dan dahi emak lalu mengemaskan pembaringan mak. Yan memang seorang yang cekap dan saya tahu dia boleh mengurus emak dengan baik. Nampak bergenang air mata mak. Saya tahu, emak juga menahan perasaan. Bila saya tanya apa kata doktor, emak minta saya dan Yan jumpa doktor. Sebaik emak kata begitu, jururawat tadi melambai kami. Ketika itu dalam kamar emak ada ramai tetamu pelawat pesakit lain. Mereka semua memandang kami seolah-olah emak pesakit yang berat.

Wassup Abang Hafiz tak putus-putus bertanyakan perkabaran emak. Kasihan abang, dia tidak dapat pelepasan dari majikannya, sementelah dia juga berada jauh di utara. Jadi, saya sentiasa 'update' perkembangan emak untuknya. Jelas, abang sangat cemas sangat. Namun, kami lebih cemas bila gagal menghubungi abah. Telefon abah tutup. Kata emak, abah mesyuarat penting.
Beberapa orang doktor dan jururawat sedang menunggu kami di kaunter.

'Ini anak-anak Puan Faridah?' tanya salah seorang doktor lelaki yang wajahnya agak serius.

'Ya,' jawab saya.

'Begini. Puan Faridah mengalami appendiks yang  telah pecah. Kami bimbang penyebaran kuman ke seluruh badannya terutama ke otak. Tapi yang lebih kami bimbang, ibu kamu sedang mengalami lemah jantung sekarang dan paru-paru berair. Risiko pembedahan sangat tinggi. Oksigen dalam darahnya kurang. Kemungkinan dia  boleh mendapat serangan jantung atau stroke yang mungkin menyebabkan dia bergantung terus pada mesin hayat.'

Saya tidak mampu mendengar lagi. Seluruh tubuh saya menggeletar rasa nak terjelepuk. Yan menangis tersedu-sedu. Mengapa semuanya mendadak. Mengapa? Ya Allah, berilah daku kekuatan.
'Kalau keadaan ibu kamu sangat membahayakan, kami terpaksa tangguhkan pembedahan appendiks untuk beri tumpuan kepada jantung dan paru-paru dia. Ibu kamu akan di ICU kan nanti. Kami mahu salah seorang daripada kamu tandatangani surat kebenaran untuk kami guna alat pacu jantung jika perlu. Kami juga mahu kamu benarkan kami ambil tindakan yang sepatutnya ke atas ibu kamu jika perlu. Jadi, siapa antara kamu yang akan tandatangan surat kebenaran ini?'

'Abang...' kata Yan.

'Berapa umur kamu?' tanya doktor.

'29.'

'Eh, ingat tadi baru 19.'

Saat ini saya tidak terasa ini satu gurauan. Saya lebih fikirkan kesihatan emak. Emak. Emak. Emak. Mesej abang bertalu-talu, apa yang patut saya cakapkan.

Kami kembali ke kamar emak. Emak sudah siap untuk di bawa ke dewan bedah. Emak membisikkan sesuatu kepada Yan entah apa. Jam 1:45 emak ditolak ke dewan bedah. Kami berdua menemani emak ke dewan bedah. Mata emak pejam tapi bibir emak bergerak-gerak. Tatkala melintas pintu utama wad 1, saya terlihat airmata emak gugur, hati saya remuk. Ya... Allah selamatkan emak. Kami mengejar streacher emak yang didorong laju. Sampai di lif, kami kehilangan emak. Dan ketika kami sedang mencari-cari, Hariz muncul. Wajah Hariz nampak merah. Rupanya sepanjang perjalanan dia dari Seremban dia menangis, katanya bila Yan memberi perkhabaran emak kepada dia.

'Mak macam mana?.'

'Mak dah masuk dewan bedah. Di tingkat atas.'

Mendengar Yan kata dewan bedah di tingkat atas, saya segera beredar. Yan ikut. Hariz pinjam kereta Yan pulang ke rumah ambil Izzat. Saya terfikir Fariz yang tinggal di asrama. Tapi dalam suasana begini, saya rasa biarkan dia tidak tahu dulu. Kerana proses untuk mengambil dia dari asrama pun bukannya mudah. Emak lebih penting untuk ditunggu.

Di perkarangan dewan bedah, kami tidak dibenarkan menunggu. Pengawal keselamatan menyuruh kami menunggu di lantai satu. Katanya, bila selesai pembedahan, pesakit akan di bawa ke sana juga. Dia menyuruh kami makan minum dahulu sementara pembedahan selesai. Dalam pada itu, seorang jururawat berpangkat 'sister', memanggil saya. Memujuk dan memberi kata semangat. Barangkali dia simpati sangat pada saya waktu itu.

Hariz kembali bersama adik bongsu kami, Izzat dan Muhamad Azim. Saya membawa mereka makan tengah hari di sebuah restoran di hadapan hospital. Saya tidak ada selera hendak makan walaupun perut saya terasa lapar juga. Cuaca panas menekan lagi perasaan saya. Adik-adik pun nampak tidak bermaya. Masing-masing makan ala kadar. Sesudah itu kami kembali menunggu di ruang menunggu di lantai satu. Jam bergerak, azan asar berkumandang dari Masjid Al Azim di sebelah hospital. Saya meloloskan diri untuk solat asar. Begitu juga adik-adik kecuali Yan yang masih menunggu. Bila kami pulang dari solat, emak masih belum keluar dari dewan bedah. Mesaj Abang Hafiz tetap tidak berhenti. Saya membalas apa yang patut.

Tiba-tiba saya terdengar Hariz bercakap dengan abah di talian. Telefon abah sudah aktif. Alhamdulillah. Hariz menceritakan keadaan emak dengan suaranya yang sebak. Kami diam.
Jam 5, seorang demi seorang pesakit keluar dari dewan bedah tapi emak belum juga muncul. Hariz seperti kegelisahan. Tak berhenti  berjalan ke sana ke mari. Saya bimbang takut dia pula rebah. Maklumlah, Hariz pernah beberapa kali mendapat serangan 'heart reflux'.

'Duduk, Hariz.'

'Tak boleh, bang. Entah apa emak kat dalam tu. Lama sangat.'

Langsung dia mendekati kaunter luar dewan bedah. Saya memerhati.

'Puan Faridah macam mana?' dia bertanya seorang doktor lelaki yang sedang menulis sesuatu di kaunter.

'Oh... pembedahan masih berjalan. Ada masalah. Puan Faridah mengalami 'excessive bleeding'. Sabar dulu, kami sedang berusaha membantu dia.'

Debar kembali memuncak dalam dada. Hariz semakin gelisah. Yan diam, menekur ke lantai. Izzat memejamkan mata. Azim entah ke mana. Sebuah streacher sudah sedia di hadapan pintu dewan bedah. Khabarnya, itu streacher yang akan memindahkan emak ke wad nanti.

Jam 6;20 barulah streacher emak di dorong keluar dan berhenti di garis zon larangan dewan bedah. Kami tidak dibenarkan dekat. Apa telah berlaku pada emak? Tubuh emah berselirat dengan wayar entah apa. Kedua tangan emak diikat ke tepi besi katil. Emak bergantung pada mesin hayat dan tiub pernafasan. Allahuakbar, ya Allah. Lemah longlai tubuh badan saya melihat emak begitu.
Beberapa orang doktor memberi taklimat kepada beberapa paramedik. Mereka kelihatan sangat serius.

'Ke tepi! Ke tepi! Ke tepi!' Paramedik menjerit. Semua menepi memberi laluan.
Kemudian dengan pantas mereka menolak streacher emak meninggilkan kami yang tidak tahu ke mana emak di bawa.

Ya Allah, rupanya emak didorong ke ICU juga. Saya dipanggil oleh doktor pakar bius emak. Hariz menemani. Sebenarnya saya lebih yakin kalau Hariz yang berbincang dengan doktor kerana dia lebih memahami bidang perubatan ini.

'Ibu awak belum stabil. Dia masih dalam keadaan kritikal. Tapi pembedahan sudah dilakukan walau pun risikonya terlalu tinggi. Kami risau tekanan darahnya menurun. Kami letak di ICU supaya kami boleh pantau dia 24 jam. Kami harap ibu awak kuat semangat. Dan kami percaya dia memang kuat. So pray hard for your mother.' Doktor menepuk bahu saya, lalu beredar.

Adik-adik sudah dibenarkan masuk berjumpa emak di ICU walaupun emak belum sedar. Sepatutnya hanya dua orang sahaja dibenarkan melawat emak tetapi doktor seperti memahami perasaan kami mengizinkan adik-adik masuk semua. Saya tidak masuk, melainkan memerhati dari cermin luar ICU. id terlarat rasa hati melihat emak dalam keadaan demikian. Hampir menistis airmata saya. Setelah beberapa ketika, barulah saya gagahkan diri masuk menemui emak. Saya pegang tangan emak yang berikat pada besi katil. Saya sentuh jemari emak tapi emak tidak juga bergerak. Emak masih demam. Mata emak pejam tidak bergerak.

'Emak, emak bangun la, emak. Azad nak emak. Adik-adik nak emak. Kami sayang emak. Abang Hafiz asyik tanya mak. Bangun la, mak.' Entah kenapa saya tiba-tiba merasakan kerapuahan hidup ini. Saya benar-benar tidak bermaya.

Jam 7, kami di arah keluar dari ICU. Tidak ada sesiapa dibenarkan menemani emak. Akhirnya dengan langkah gontai, kami akur. Saya mengajak adik-adik pulang dan serahkan emak dalam penjagaan Allah Rabbul Izzati.

Ketika adik-adik menunggu di ruang legar hospital,  abah tiba. Ketika itu saya sedang mengambil kereta di parkir. Saya sempat parkir kereka semula untuk berjumpa abah. Wajah abah kusut dan sangat tertekan. Saya jabat tangan abah kuat.

'Macam mana emak.' tanya abah.

'Mak masih kritikal.' Abah diam.

Kepulangan abah setidak-tidaknya meletakkan kekuatan saya dalam semangat abah. Saya bawa abah ke wad ICU berjumpa emak. Mujurlah abah dibenarkan masuk. Sayu saya melihat abah memandang emak lama sambil membelek-belek tangan emak. Saya tahu bagaimana hati abah waktu itu. Tentu abah juga rasa seperti mana yang saya rasa.

Lebih kurang 20 minit bersama emak, kami di arah keluar. Abah banyak diam. Kami semua pulang ke rumah dengan perasaan yang entah macam mana.

****************

Setelah dua hari di ICU, doktor mengesahkan emak melepasi tahap kritikal. Alhamdulillah, syukur ya Allah. Emak sudah buka mata dan memandang saya. Tapi emak masih lemah oleh suntikan morfin demi suntikan. Tapi pandangan emak buat hati saya sayu sangat. Emak masih bergantung kepada tiub pernafasan dan mesin hayat. Saya rasa tidak mahu meninggalkan emak walau sebentar rasanya. Tapi apakan daya, ICU tidak membenarkan mana-mana waris menunggu. Jadi, saya menunggu diluar.

Jelang hari ke-3 di ICU, barulah mesin hayat dan tiub pernafasan di buka. Tapi emak masih lemah dan kekurangan oksigen, menurut doktor. Emak mengadu sakit tekak dan sakit tempat pembedahan. Saya sentiasa sabarkan emak. Esoknya, emak dipindahkan ke wad pemantauan. Alhamdulillah, saya  mendapat emak saya semula.  Abang Hafiz, Abang Azad, adik-adik, abah barulah nampak senyum berbunga semula.

Terima kasih, ya Allah kembalikan emak kami yang kami cinta.





Thursday 1 February 2018

1

kudrat serupa tongkat
menampan-nampan semangat
padahal mata batu menyilau
tajam sumbing mata hantu
hamparan hijau lumut 
licin
menarik-narik pangkal ingin
silap langkah
perangkap!
maut - sehelai daun
terbuai-buai di tali lelabah
ditiup angin sejuk
rinjani
28/01/2018

Tuesday 9 January 2018

SEHELAI RAMBUT

SEHELAI RAMBUT

kamar itu tiada pintu, desisnya
tiada jalan keluar menuju 
semuanya teratur - sepi
senyap dan rapi
tidak jua pada jendela menghantar bau
yang selalunya melekat di lapis baju
atau angin sejuk di tenggorokan
yang disempitkan kesempitan
hanya sehelai rambut kurus
jatuh di atas Al Quran
diangkat dan ditiup
melayang menjadi perahu
yang menuju laut-Mu
demikianlah, dia memberitahu
rambut itu
sebuah perahu menuju
kamar tanpa pintu!

bangi
16 disember 2017

tribute

DANAU TERATAI
tribute Teratai Abadi

sayup-sayup titir zikir
bersanjak dengan tartil
di kamar pengap
sehabis musim terakhir
kala purnama menutup hitam awan
yang menimbunkan renyuknya
dalam qalbu yang entah di mana - (sepi telah menutup pintu buat selamanya)

o... alangkah sukar melupakan:
bisik asyik
gigil tubuh
gementar suara
semerbak harum rindu
kata ratap hiba; "aduhai..., riwayatkan cinta nestapa
tentang manusia penunggang derita..."

kuusap kepedihanmu
dalam lapis kelembutanku:
tak ada yang lebih indah
setelah taman di sana
membuka lebar pintu
dan menghidupkan lampu-lampu

lalu...
katamu, detik adalah denyut jantung
yang menunggu gugurnya daun diluruhkan musim
kian rapuh dibasahi tengkujuh
hanyut tenggelam
akan hilang ke daerahnya yang nyata;

ah... kau permata hiba
membisik di dada
bermain-main di dalam jiwa...


10 Januari 2018