Monday 21 May 2012

dalam metafora

bulan rindu sembunyi
di teluk sejarah
mimpi pilu tersuruk
di bayang wajah
.adakah pesan
di celah karang
yang takku tau?
adakah waham
dalam belahan
pantai semalam
tergantung ragu?
bulan pilu
dalam rekuim kasih
asyik yang biru
dalam baitku masih
jenjang lehermu
membekam
dendam
numera lirih
dalam arif melayuku
dan bibir ranummu
membasah
dalam tasbih.


KEMALA

Kualalumpur
25.5.12

Thursday 17 May 2012

Rintih Lili putih ini


Rintih Lili putih ini

Ya angin malam
kau bawa resah seorang isteri
bila puisinya bernyanyi
tidak bersambut bisikan suami.
...
Dia hanya pecahan bulan
bila org tersayang
bermain awan
di langit buana terbentang.

Terdengar usik cinta
dlm bait puisi lelaki
tapi bukan utkmu
kau lili putih
benar juraimu kerap layu
tanpa mereka sedari
kau utuh wangi.

Di nubari rindu
juraimu tumbuh baru
setiap hujan mencandaimu.
jangan sakiti kelopak hati
matahari tetap tersenyum
biarkan mereka dijaring alpa
kau harus segar
dgn jurai uji
kesakitan batin
nikmati berzaman
bumi dizalimi
kerana perempuan
tak sekali
memungkiri kasih
anak dan suami.






Siti Zainon Ismail
13 Mei 2012

Wednesday 2 May 2012

catatan ()

seorang muazzin menanggalkan pakaian di hadapan mihrab,
memejamkan mata kerana malu menatap tubuh yang sering diperkosa oleh dunia. dia merayu kepada saudara-saudaranya setiap waktu, tanpa pakaian, tanpa nafsu. Allah memerhatinya tanpa jemu...

catatan ()

kau datang menumpang mati
meninggalkan tubuhmu di kamar sunyi
setelah ruhmu terbang ke taman firdausi
kau gugurkan ribuan spora puisi
menjadi benih selautan mutiara lagi...