Rosmiaty Shaari
emel : rosmiatyshaari5@gmail.com
BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM
Catatan Penulis
Setelah
berbelas tahun saya menahan diri daripada mencatat contengan-contengan
di atas kertas, menahan naluri daripada permintaan minda untuk berkarya,
rupanya asakan demi asakan batini itu akhirnya terpecah juga tiga tahun
yang lampau apabila saya sedang sengaja menconteng kertas,
suara batini saya masih mengalir keluar - lancar, bahkan ia mengalir
tidak perlahan tetapi melimpah-ruah terus-menerus hingga ke hari ini,
alhamdulillah.
Barangkali ada jiwa yang ingin
mengetahui, bagaimana saya melalui proses pengkaryaan saya. Proses yang
saya alami, terlalu biasa berbanding penyair-penyair hebat seperti
Chairil Anwar yang sangat menitikberatkan setiap aksara yang dicatat
dalam puisi-puisi beliau. Begitu kata SN Dato Ahmad Khamal Abdullah
dalam esei beliau PUISI-PUISI PENDING NUMERA : Antara Keajaiban dan Kearifan Seni,
yang menyatakan, bahawa Chairil begitu serius mengedit puisi-puisinya
hingga ke kulit-kulit diksi atau bait demi bait silih berganti. Dan
begitu pula bagi penyair bapak Agi Ghafar Ibrahim, melalui proses
penulisan puisinya dalam tempoh masa yang sangat lama. Menurut beliau,
untuk menyiapkan sebuah puisi memakan masa selama beberapa bulan, hanya
setelah matang, barulah disiarkan. Dan bagi SN A. Samad Said, sebuah
puisi yang lengkap sering lahir dari contengan demi contengan yang
begitu banyak sebelum beliau berpuas hati untuk menghantarkannya ke
mana-mana media siaran.
Barangkali saya agak berbeda,
saya mulai mencatat beribu-ribu rasa semenjak musim kecil saya tanpa
menggunakan pena atau mesin ketik. Catatan saya bermula di minda membawa
ke hati. Di situ saya simpan kemas, hanya baru ini saya mengeluarkannya
satu per satu, dari hati keluar semula ke minda langsung ke hujung
jari melepasi papan kekunci.
Di musim kecil, ketika
usia saya sekitar 7 ke 12 tahun, saya gemar menyendiri, mengasingkan
diri ke kawasan belukar atau di mana-mana tempat yang dapat menarik
minat saya, seperti kawasan berpaya, kebun getah atau persekitaran
tebing sungai atau di stesyen keretapi. Saya dikatakan si kecil yang
gemar memberontak. Saya juga dikatakan tidak gemar bersahabat dengan
saudara sendiri, bahkan tidak mempunyai ramai rakan sepermainan.
Justeru, belukar adalah taman bagi saya. Apa yang ada di dalam belukar
itulah sahabat saya. Dengan mereka, saya sering berbicara kerana saya
adalah mereka.
Siapa mereka? Mereka adalah pohon-pohon,
akar-akar yang berselirat, unggas berkicauan, sesibur
berterbangan,lalang-lalang, rama-rama, ulat beluncas, dedaunan,
anak-anak ikan, paya, bunga-bunga, gemersik angin, deraian hujan,
jalur-jalur cahaya, bau tanah, bau wangi, takungan-takungan air embun,
gelap malam, lengkung pelangi – itulah sahabat saya. Aneh bunyinya, tapi
itulah mereka dan yang paling seru, di situlah tempat di mana saya
sering berdoa untuk apa sahaja terhadap Rabb, Pemilik taman belukar dan
sekalian alam, teristimewa di kala saya sangat bersedih. Menjerit
dengan kekuatan suara yang ada, saya sering melepaskan rasa yang
memberontak dari dalam yang sering menyala. Mengapa? Ada, jawab saya,
kerana rahasia peribadi tidak perlu kita ceritakan semuanya kepada
sesiapa, perlu disimpan untuk pembelajaran rohaniah kita, itu kata saya.
Sebenarnya
berduniakan taman belukar, banyak yang dapat dipelajari. Ya, bukan
setakat belukar saja bahkan dunia di sekeliling kita, dengan
menggunakan mata hati, dengan berakal yang positif, banyak ilmu yang
boleh kita pelajari. Terutama apabila kita menghubungkaitkan diri kita
kepada kebesaran Penciptanya.
Allah telah berfirman mengenai ciptaanNya:
...lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah...(An-Naml: 60)
...Tuhan Kami adalah (Tuhan) yang telah memberikan kepada sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian Dia memberinya petunjuk... (Thaha:50)
Dan
ini termasuklah keindahan hutan belantara, gunung-ganang, lautan,
sungai, belukar dan segala keindahannya. Barangkali oleh terlalu akrab
dengan dunia belukar, saya merasakan setiap gerak di sekeliling saya
itu ada rohnya. Ia bernyawa dan berdegup nadi memberi semacam impak yang
sangat hebat kepada batini saya. Bunyi aliran air itu sungguh seni,
seakan memujuk naluri supaya sentiasa bersabar dalam segala hal. Begitu
juga bunyi mersik dedaunan yang ditolak angin seakan menyampaikan khabar
suka atau duka, kicauan burung, titis-titis embun, derai hujan,
semuanya mahu berbicara dengan kita, mengajak kita berzikir dan berdoa
kepadaNya, bukankah ini merupakan satu therapy semulajadi yang sangat
baik untuk merawat rohaniah kita yang tercalar? Saya percaya, anda
penyair dan pelukis, bicara hatinya tentu saja ada yang lebih kuat dari
saya.
Oleh yang demikian, catatan puisi saya, (biasanya
yang bernafas Islami), adalah catatan bicara yang menghubungkan diri
terhadap roh yang dicipta olehNya, langsung terhadap Penciptanya, yakni
Allah SWT. Setiap kali saya mencatat puisi, akan ada rasa yang sangat
kecil tersungkur di RabbNya . Saya catat puisi saya, sama seperti saya
munajat - saya menangis tika munajat, saya juga menangis ketika saya
mencatat puisi, itu bukan cara tapi itu seadanya saya. Berikut adalah
antara puisi saya, yang habis basah tanah batini:
TIKA KUSELUSURI PERJALANAN, ADA NAFAS MERINTIH..
- Rosmiaty Shaari
demi menetapkan perjalanan
kudakap rahsia angin
kuiring dengan seru - aku meneruskan perjalanan ini
dari pintuku ke pintumu
lalu kuletakkan wajahmu di cahaya ungu
dengan langkah kanan dan ayat berfirman
ya, Rahim
cahaya yang bergelora tetap ada
di hujung pucuk-pucuk berlari
di tengah awan-awan putih yang kutiti
kudengar suara zikir
resah bertitir
Allahu...Allahu...
beribu kali
menutup hijab yang bernafsu
perjalanan yang laju
adam yang keliru - olah yang tak menentu
antara hawa yang tunduk membisu
dia membaca namamu di langit kalbu
bersilangpaut pada ketakutan - adalah engkau
hingga akhirnya
belenggu yang merantai
nafsu yang berjejal
melepaskan dia
dari persinggahan
ya, Fatah
mentari bercahaya jingga
merona dalam gelora
kian tunduk -
jangan kaulemahkan langkah ini
kerana lautku semakin reda
perjalananku baru bermula...
08092011
QASIDAH BAWANG MANIS
- Rosmiaty Shaari
dan apabila ia berpendar di antara dedaun hayat
kau panggilkan ketitir atau bayan dari raudhah
mengepakkan sayap menitirkan zikir
berpendar antara qasidah bawang manis
kauhangatkan cahaya untuk memeluk wangi rerumput
perlahan kauusapkan seluruh
ya, ayuhai
maya yang terbentang
jalur yang memanjang
berjejal cinta dari kasih sang setia
aku terlalu kecil, jangan kau tinggalkan aku
sebesar zarah pun aku terapung di antara lebat rindu
tetapkan aku seorang kekasih dan engkau kekasihku
demikianlah
kubawa bau tanah subuh dalam genggam
dan basah embun yang masih kutatang
kerana harganya
terlalu mahal untuk merungkai dendam
ya, ayuhai
saat teja kembali kembang
kembangkanlah segala kuntum
dari taman belantara ini
sebagai satu persembahan
untuk terakhir kalinya
sebelum kau gugurkan sehelai daun
dari sepohon syajar
dari seuntai janji sesudah fajar..
06 Ramadhan 32
Mengapa ..DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH??
Mengapa saya tidak memilih tajuk yang lain? Seperti
kata saya di atas, setiap kali saya mencatat puisi pasti saya
menghubungkan catatan saya dengan Dia. Dia yang mengizinkan saya
menulis, Dia yang memberi saya ilham dan lantunan rasa seni itu juga
terbit daripada Dia ke dalam batin saya. Tanpa Dia, tiada saya.
Justeru,
hitam dan putih itu adalah perjalanan manusiawi yang dicatat oleh
malaikatNya, Roqib dan Atid, dengan timbangan berat ringannya amalan
kita selama meminjam hayat di dunia sementara ini, sebelum kita berubah
menjadi zarah, yakni roh yang diangkat ke langit untuk diadili di
padang mahsyar kelak. Makanya, sebahagian catatan puisi-puisi di dalam
kumpulan ini adalah catatan-catatan perjalanan manusiawi semua sebelum
kita kembali kepadaNya.
Mudah-mudahan, dengan catatan-catatan saya ...DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH
yang sangat kecil ini, bisa membuka hati nurani sesama kita untuk
merenungi tentang anugerah Allah SWT di sekeliling kita. Agar kita
menghargai apa jua ciptaanNya, yang di bumi mahupun di langit.
Maha
Suci Allah SWT dan segala kebesaran dan kekuatanNya, dari apa yang
mereka katakan. Semoga dilimpahkan kesejahteraan ke atas para Rasul.
Segala puji bagiMu, ya Allah, Rabb seru sekalian alam. Amin...
Biodata Penulis
Rosmiaty
Shaari dilahirkan di Teluk Intan, Perak. Mendapat pendidikan hingga
memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan. Mengikuti Pengajian Seni Kreatif
di Universiti Sains Malaysia tahun 1983/84. Pada tahun 1988, beliau
ditawarkan untuk meneruskan pengajian dalam Penulisan Kreatif dan
Deskriptif di bawah Pusat Pengajian Melayu, Universiti Malaya dengan
biasiswa yang ditaja oleh Teks Publishing Sdn Bhd, tetapi tidak
meneruskan atas sebab-sebab peribadi. Pernah menjadi Editor di Teks
Publishing/Singamal Publishing (1985-1989), Editor di Marwilis Publisher
(1990-1994), Free Lance Editor bagi Flo Enterprise, Penerbit
Karyawan, Penerbit S. Abdul Majeed dan Penerbitan Murni hingga kini.
Antara karya yang telah diterbitkan ialah antologi cerpen persendirian Malam Seribu Malam (Teks Publishing,1988), antologi cerpen bersama Mannequin (Kerajaan Negeri Selangor, 1986), kumpulan puisi bersama Temoh Tasik Kenangan (Karyawan Pk, 2010), kumpulan puisi bersama Kampung Bandar Dalam (2010), kumpulan puisi bersama KEMALA - Meditasi Dampak 70 (Insandi, 2011). Karya-karya beliau turut dimuatkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Pelajar, Jelita, akhbar Minggun Malaysia, Berita Minggu, Siasah, Horison Online, E-Sastera, Blog Penyair Nusantara dan lain-lain. Kumpulan puisi/sketches bersama Azad (putera ke-2 beliau) berjudul ...DARI HITAMPUTIH MENJADI ZARAH merupakan
kumpulan puisi perseorangannya yang pertama dan baru diterbitkan oleh I
Man Creative (2011). Antara antologi yang bakal diterbitkan ialah
antologi puisi bersama 15 penyair wanita Malaysia di senggarakan oleh
Puan Raja Rajeswari Jayaraman, antologi cerpen bersama empat cerpenis
wanita Malaysia/Indonesia terdiri daripada De Kemalawati, Helvy Tiana
Rossa, Dr Siti Zainon Ismail dan Rosmiaty Shaari, disenggarakan oleh De
Kemalawati (Sasterawan Aceh) dan antologi puisi bantah PPSMI
disenggarakan oleh Rosan Azen Md Rasep.
SALAM HORMAT UNTUK SEMUA
21102011
Pusat Dokumentasi Sastera HB Jassin
Taman Ismail Marzuki
Jakarta
No comments:
Post a Comment