Friday, 10 June 2011

si Buyung



SI BUYUNG semacam kesasar. Kepalanya yang berambut keriting kasar jarang-jarang itu tertoleh-toleh dan terjenguk-jenguk. Matanya yang bulat bersinar itu, melilau mencari si Comel yang entah di mana.
            “Makkkk! Mana Comellll?”
            Suara kecil si Buyung begitu nyaring melaung Emak dari dalam rumah. Tetapi Emak tidak menyahut. Emak terlalu sibuk dengan warung kopinya yang terletak di depan rumah. Ketika itu pelanggan agak ramai. Lalu akhirnya, suara kecil si Buyung tenggelam dalam kesibukan Emak dan keriuhan suara-suara pelanggan yang ramai itu.
            Di dalam rumah, si Buyung memanjat kerusi yang bertilam lembut. Kemudian dia bertinjat pula di atas pemidangnya. Tangan kecilnya memaut jerejak tingkap. Terkedang dia di situ sambil menjengukkan kepalanya ke belakang almari. Sejurus itu, dia meregus. Si Comel tidak ada di situ.
            Si Buyung melompat turun. Entah macam mana si Buyung terjatuh dan terduduk di atas lantai simen. Buntutnya terasa sakit. Si Buyung mengerang sambil tangan kecilnya menggosok-gosok dan memicit bahagian buntutnya yang sakit itu.
            “Makkkk! Comel manaaaa?”
            Si Buyung melaung lagi. Suaranya nyaring dan lanjut seperti merengek.
            Emak tidak juga mendengar suara si Buyung. Emak terlalu sibuk ketika itu.
            Si Buyung merangkak perlahan-lahan. Tentu si Comel ada di bawah kerusi. Tertonggeng-tonggeng dia mengintai si Comel di situ. Kelapanya dimasukkan ke bawah kerusi. Si Buyung menoleh ke kiri dan ke kanan. Sekali lagi dia merengus. Si Comel tidak ada.
            Tiba-tiba….bukkk!
            “Auwwww!”
            Kepala si Buyung terhantuk ke bawah kerusi. Dia berasa begitu sakit dan perit. Si Buyung menggosok-gosok kepalanya beberapa kali. Si Buyung mahu menangis  tetapi entah kenapa air matanya tidak jadi mengalir. Badannya yang kecil bulat itu diundurkan perlahan-lahan dan kepalanya ditundukkan setunduk-tunduknya. Si Buyung takut kalau-kalau terhantuk lagi. Setelah terlepas dari bawah kerusi, si Buyung mengintai pula ke bawah almari. Air mukanya tambah berkerut apabila si Comel tidak juga ditemuiya.
            Tiba-tiba si Buyung  teringat kalau-kalau si Comel menyorok di dalam bilik Emak. Terus dia berlari ke dalam bilik, terkedek-kedek. Si Buyung menolak daun pintu sekuat-kuat hati, kemudian dilepaskannya, kuat.
            Gedegummmmm!
            Daun pintu membidas. Si Buyung tidak terkejut. Matanya melilau lagi. Si Comel mesti menyorok di mana-mana. Tiba-tiba mata bulat si Buyung terpandang ke arah lipatan kain yang kemas tersusun di tingkat rotan. Ada sesuatu yang bergerak di situ. Bibir kecil mungil itu tersenyum merekah lalu terbentuk sepasang lesung pipit yang comel di pipinya yang cembung itu.
            Perlahan-lahan dia mengendap ke arah susunan kain itu. Sambil membongkokkan badan, kedua-dua kakinya dijengketkan perlahan-lahan. Sekali…bushhh!
            Si Buyung terperanjat.
            Seekor bapak kucing melompat keluar apabila si Buyung menepuk ke atas susunan kain itu. Terkekeh-kekeh si Buyung ketawa apabila menyangka si Comel yang melompat itu. Akan tetapi dengan cepat ketawanya berhenti apabila tersedar kucing itu bukan si Comel tetapi si Belang, bapak kucing jiran yang tinggal di belakang rumahnya, yang menerpa keluar.
            Habis kain-kain yang tersusun di tingkat rotan itu terlambak ke atas lantai apabila bapak kucing itu melompat keluar. Melihat keadaan yang bersepah itu, si Buyung terduduk di atas timbunan kain-kain itu. Hampir-hampir air matanya terkeluar apabila dia terbayangkan wajah Emak yang garang. Tentu Emak akan memukulnya apabila melihat kain yang jatuh bertimbun itu. Oleh kerana takut, cepat-cepat dia mengaut kain-kain itu lalu menyumbat semula pada tingkat rotan tadi. Berserabut kain-kain itu tidak bersusun lagi.
            “Makkk! Comel manaaaa?”
            Air mata si Buyung sudah mula mengalir. Si Buyung menangis. Tetapi tangisannya bukanlah kerana kehilangan si Comel lagi. Sebaliknya kerana takutkan Emak merotan atau mencubitnya apabila melihat kain-kain yang sudah tidak tersusun itu.
            Emak tidak juga menyahut suara kecil si Buyung. Emak masih tidak mendengar. Emak terlalu sibuk.
            Dalam pada resah gelisah takutkan Emak, mata si Buyung masih juga melilau sekeliling bilik. Si Buyung teringat bahagian bawah katil. Cepat dia menyingkap cadar ke atas sambil bertinggung. Kepalanya dijenguk ke bawah katil itu. Gelap! Perasaan takut menguasai dirinya. Cepat-cepat cadar itu diturunkannya. Si Buyung berlari terkedek-kedek dan berlintang-pukang,  menolak daun pintu sekuat-kuat hati lalu melepaskannya semula.
            Gedegummm!
            Daun pintu membidas lagi. Si Buyung terus berlari lagi berlintang-pukang, keluar mendapatkan Emak di warung.
            Kelmarin, waktu Emak pergi ke pasar, Emak menemui seekor anak kucing kesejukan di bawah timbunan kotak buruk. Basah kuyup badannya akibat ditimpa hujan pagi itu. Bulunya yang berbelang hitam putih serta perang melekat di badan. Anak kucing itu masih kecil. Masih terkengkang-kengkang langkahnya.
            Emak mengangkat anak kucing itu untuk mengalihnya ke tempat yang lebih selamat. Ketika memegangnya, hati Emak begitu tersentuh apabila terasa badan  anak kucing itu menggeletar kesejukan. Perutnya juga kempis dan lembik. Entah berapa hari agaknya anak kucing itu tidak makan. Terasa kasihan melihatnya, akhirnya Emak mengambil keputusan untuk membawa anak kucing itu pulang. Setidak-tidaknya anak kucing itu boleh juga menjadi kawan si Buyung bermain.
            Akan tetapi, baru masuk sehari bertuankan si Buyung, si Comel kini sudah menghilangkan diri. Entah ke mana perginya. Si Buyung pula yang terlalu sayangkan si Comel, sudah macam kesasar dengan kehilangan anak kucing kesayangannya itu. Puas dia mencari di merata tempat, tetapi si Comel tidak juga ditemuinya.
            “Makkk! Comel manaaaa? Comel manaaaa?”
            Si Buyung meruntun kain Emak sambil merengek. Emak yang sedang membancuh kopi tidak mempedulikan si Buyung. Setelah siap kopi dibancuh, Emak menghantarnya kepada seorang pelanggan. Ketika itu si Buyung hanya mengekori ke mana Emak pergi sambil merengek-rengek minta Emak carikan si Comelnya. Seorang anak muda yang baru tiba, cuba mengambil si Buyung, tetapi si Buyung enggan. Si Buyung hanya merengek juga. Anak muda itu mencubit pipi cembung si Buyung. Si Buyung menjerit. Anak muda itu menggosok-gosok kepalanya. Si Buyung menjelirkan lidahnya. Akhirnya anak muda itu tersenyum sendiri apabila Emak memberitahu si Buyung merengek kerana kehilangan si Comelnya.
            “Buyung! Buyung! Itu… itu Comel agaknya.”
            Si Buyung menggelepar bila anak muda tadi menarik dan cuba mendukung si Buyung.  Tetapi apabila mendengar si Comel, si Buyung cepat menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh anak muda yang mendukungnya. Matanya yang bulat tertumpu ke arah itu.
            Di bawah pokok sena dekat basikal yang telah lama berkapuk di situ, kelihatan si Comel sedang berlari terkengkang-kengkang. Pusing-pusing kemudian si Comel cuba melompat-lompat. Sesekali si Comel kelihatan berdiri di atas kedua kaki belakang seolah-olah ia sedang bermain dan mengejar sesuatu. Tetapi si Comel tersungkur kemudiannya kerana tenaganya masih lemah.
            Si Buyung berasa gembira. Terlalu gembira melihat si Comel tidak hilang. Wajahnya yang muram bercahaya kini. Bibir mungilnya tersenyum kecil lalu membentuk sepasang lesung pipit yang comel di pipi. Akhirnya, si Buyung melurut turun dari dukungan anak muda itu.
            Cepat si Buyung berlari terkedek-kedek mendapatkan si Comelna. Si Comel yang begitu asyik bermain dengan seekor lipas mati terkejut melihat kedatangan si Buyung, Si Comel cuba lari tetapi cepat si Buyung menerpa lalu menangkapnya.
            Terlalu gembira si Buyung menemui si Comelnya. Diciumnya muka si Comel yang lembap itu puas-puas. Kemudian digomolnya perut si Comel. Bulu si Comel yang gembur itu mepak, melayang-layang  ditiup angin dan sesetengahnya melekat di muka dan tangan si Buyung. Puas digomol, dilambungnya si Comel tinggi-tinggi macam abah melambungnya tinggi-tinggi sampai cucur atap. Si Comel ketakutan, mengerewang ke empat-empat kakinya sambil mengiau-ngiau, kegayatan. Si Buyung sambut si Comel semula, tersepuk dalam pangkuannya. Diciumnya lagi si Comel sambil ketawa terkekeh-kekeh. Si Comel  mengiau lagi. Keempat-empat kaki si Comel mengerabat leher dan muka si Buyung ketawa, kegelian. Diciumnya muka si Comel berulang-ulang. Puas dicium, digomolnya. Puas digomol, dilambungnya tinggi-tinggi. Mengerewang ke empat-empat kaki si Comel sambil mengiau-ngiau, ketakutan lagi.  Sekali…bukkk!
            Si Comel berdebuk jatuh ke tanah. Lintang-miring si Comel berjalan. Si Buyung ketawa lagi terkekeh-kekeh melihat si Comel berjalan begitu. Kemudian diangkat, didukung lalu dicium lagi sambil menggosok-gosok badan si Comel penuh manja. Alangkah sayangnya dia kepada anak kucingnya itu. Alangkah!
            Ketika itu matahari tegak di atas kepala. Jalur sinarnya menyelit-nyelit di celah daun-daun pokok sena yang besar merimbun. Sesekali angin dari arah bukit kapur bertiup lembut. Bunga-bunga sena banyak yang gugur ke tanah. Kuning, bertaburan di atas rumput dan sekuntum dua jatuh menimpa si Buyung yang sedang asyik bermain dengan si Comel.
            Sambil berjalan ke arah basikal yang berkapuk di situ, diciumnya muka si Comel berkali-kali. Kemudian si Buyung mendapat akal baru, dipegangnya kedua-dua kaki depan si Comel dengan tangan kanannya dan kedua-dua kaki belakangnya dengan tangan kirinya. Si Buyung menjunjung si Comel atas kepala macam ane jual kacang puith menjunjung peti kacang yang setiap petang melintasi depan rumahnya. Si Buyung menyondol-nyondol perut si Comel dengan kepalanya sambil ke empat-empat kaki yang dicekak tadi dipilas ke bawah dagunya yang kecil. Mengiau-ngiau si Comel ketakutan lagi. Kepalanya melangak ke atas ke bawah. Kemudian si Comel mengiau lagi. Melangak lagi dan mengiau lagi. Perutnya sudah mula bergelombang. Tetapi, si Buyung hanya ketawa terkekeh-kekeh. Pusing-pusing sambil melonjak-lonjak, seronok.
            Lama- kelamaan badan si Buyung menjadi panas. Peluh mula keluar merintik-rintik di dahi, di kepada dan di lehernya. Kemudia meleleh turun ke tengah belakangnya. Baju nipis berleher bulat yang dipakainya sudah melekat di badan. Basah. Lalu si Buyung turunkan si Comel dari atas kepalanya. Si Comel diletakkan ke atas hendal basikal yang berkapuk lama di situ.
            Si Buyung menanggalkan bajunya yang telah basah kerana peluh. Matanya yang bulat memerhati si Comel yang sedang taragah-agah di atas hendal. Baju yang ditanggal, dilesingnya ke atas bangku kayu di situ. Si Comel mengiau-ngiau. Keempat-empat kakinya tidak berdaya memegang kukuh hendal basikal yang bulat itu. Terketar-ketar ia. Tercapai-capai kaki kanannya di bahagian belakang. Terkait-kait kaki kirinya bahagian hadapan. Tetapi yang hendak dicapai dan dikaitnya terlalu jauh. Kecuali hendal yang sebatang itu. Si Comel tambah ketakutan. Berkeruk-keruk, bunyi perutnya. Badannya yang kecil terasa seakan-akan menjunam ke depan. Si Comel dapat bertahan. Terasa pula menjunam ke belakang. Si Comel cuba bertahan lagi. Entah macam  mana ketika itu juga si Comel sudah terjunam ke dapan. Melurut jatuh ke bawah. Tetapi si Comel tersangkut pula di atas madgad. Kedua kaki depannya memaut  madgad kukuh-kukuh. Kaki belakangnya pula terkapai-kapai, mencari tempat bertinjak. Si Comel mengiau-ngiau. Kepalanya melangak-langak. Dia sudah lemah. Tiba-tiba si Comel mengeleduk lagi jatuh ke bawah. Kali ini tersangkut pula pada celah jari-jari besi roda basikal. Tersepuk muncungnya pada besi bulat di pusat roda. Si Comel menggerapai lagi. Keempat-empat kakinya terkapai-kapai. Terkait-kait. Tetapi yang dicapai tidak sampai dan yang dikait tidak tiba. Akhirnya, si Comel berdebuk jatuh ke tanah. Tertonyoh mukanya ke atas tanah yang keras dan berdebu itu. Si Comel bangun, cuba berjalan lintang-miring. Si Comel rebah ke tanah. Dan bangun semula, berjalan lintang-miring lagi.
            Si Buyung yang melihatnya jadi terpegun. Timbul semacam perasaan halus dalam hati kecilya. Si Buyung seronok melihat si Comel seperti tadi. Terkapai-kapai ke empat-empat kakinya mengerabat besi madgad dan jari-jari roda. Akhirnya tersepuk ke tanah. Lalu si Buyung berlari terkedek-kedek, melonjak-lonjak sambil mengejar si Comel yang sedang terkengkang-kengkang menuju ke arah rumah. Si Buyung menangkapnya. Sambil ketawa terkekeh-kekeh, si Buyung menggomol perut si Comel dengan kuat. Kemudian diciumnya muka si Comel yang masih lembap itu. Si Comel mengiau lagi. Tetapi si Buyung mengusap bulu gembur berbelang tiga, sambil berjalan menuju ke basikal tadi.
            Dengan perlahan-lahan, si Comel diletakkan semula di atas hendal basikal. Si Comel mula teragah-agah. Tercapai-capai dan terkait-kait, ketakutan lagi. Matanya yang bulat kelihatan begitu cemas memandang si Buyung sambil mengiau-ngiau.
            Dan si Buyung pula semakin melonjak-lonjak, keseronokan. Diagah-agahnya si Comel. Si Buyung  melonjak-lonjak dan bertepuk tangan sambil ketawa terkekeh-kekeh.
            Akan tetapi si Comel terus terkapai-kapai. Keempat-empat kakinya tercapai-capai. Terkait-kait. Si Comel mencari tempat untuk berpaut dan bertinjak. Badannya terasa menjunam ke depan dan ke belakang. Kemudian si Comel jatuh lagi tersangkut di atas madgad.
            Si Buyung ketawa melonjak-lonjak sambil bertepuk tangan juga. Semakin seronok benar dia melihat si Comel terkapai-kapai. Dikuitnya kaki depan sebelah kiri ke atas. Si Comel sudah tersepuk di celah jari roda. Keempat-empat kakinya menggerapai lagi mencari tempat berpaut dan berinjak. Tetapi akhirnya, si Comel berdebuk lagi ke tanah. Si Comel cuba juga bangun berjalan lintang-miring. Tetapi dia rebah ke tanah. Bangun lagi. Berjalan lagi. Dan rebah lagi. Akan tetapi si Buyung cepat menangkapnya. Si Comel diletakkan nya semula di atas hendal bulat sebatang itu. Dia melonjak-lonjak seronok lagi. Kemudian bertepuk-tepuk tangan, ketawa dan mengagah-agah si Comel.
            Si Comel mengiau lagi kelesuan. Keemat-empat kakinya menggerapai. Tercapai-capai. Terkait-kait, namun akhirnya berdebuk ke tanah. Si Buyung angkat lagi. Letak semula di atas hendal bulat sebatang itu. Si Comel menggerapai lagi dan jatuh lagi, dan angkat lagi, menggerapai lagi dan jatuh!
            Dan si Buyung tetap melonjak-lonjak, tetap mengagah-agah, tetap menguit-nguit, sambil bertepuk tangan dan ketawa.
Tetapi si Comel yang mengerapai sudah semakin lemah. Semakin laju air matanya mengalir. Semakin banyak kencingnya bertabur. Si Comel tidak berdaya untuk terkapai-kapai lagi!
Setelah melihat si Comel berdebuk-debuk ke tanah dan tidak mahu menggerapai lagi, barulah si Buyung mengangkatnya. Si Buyung mendukung sambil mengusap bulu berbelang tiga yang sudah tidak gembur lagi. Hati kudusnya terlalu sayang  pada si Comel.
Matahari sudah condong sedikit ke barat. Angin tidak bertiup lagi dari bukit kapur. Jalur sinar di celah-celah daun, lurus tidak berkelip-kelip lagi. Bunga sena sudah tidak lagi gugur bertaburan. Si Buyung  semakin letih dan mengantuk. Sambil berjalan terkedek-kedek menghala ke rumah, matanya yang bulat itu sudah terlalu layu. Dalam pangkuannya, si Comel sudah tidak mengiau lagi. Tidak melangak-langak lagi. Si Comel hanya mendiamkan diri. Terlalu baik ia. Tetapi perutnya bergelombang dan berkerut-kerut. Matanya sudah berpinar-pinar. Pandangannya jadi gelap. Si Comel kesakitan!
Dalam rumah, si Comel diletakkan di atas kerusi bertilam lembut. Perlahan-lahan si Buyung meletakkannya. Disendal pula kepalanya dengan lengannya sendiri. Muka si Comel yang lembap itu diciumnya buat kali terakhir sebelum dia tidur. Bulu berbelang tiga yang sudah tidak gembur itu diusap juga buat kali terakhir. Si Comel perlahan-lahan memejamkan matanya. Si Comel sudah pun tidur. Tidur berbantalkan lengan si Buyung. Dan perutnya masih lagi bergelombang. Turun naik dan berkeruk-keruk, bunyinya.
Sambil berbaring di atas kerusi bertilam lembut itu, si Buyung memerhati perut si Comel. Matanya sudah layu. Si Buyung menguap. Matanya semakin mengantuk. Semakin terpejam. Tetapi celik semula. Kemudian terpejam semula perlahan-lahan. Akhirnya, si Buyung dan si Comel tidur dengan aman. Lama juga si Buyung dan si Comel tertidur. Matahari sudah hampir tenggelam. Angin bertiup kuat dari arah bukit kapur. Kuntum-kuntum bunga sena, kuning bertaburan ke tanah. Tetapi jalur sinar di celah daun sudah tidak ada. Dan, emak pun sudah selesai berniaga.
Di dalam rumah suasana terlalu sunyi. Si Buyung tidak kelihatan. Suara kecilnya tidak kedengaran. Di mana si Buyung? Mata emak mencari-cari. Emak masuk ke dalam bilik. Si Buyung tidak juga kelihatan kecuali kain-kain yang sudah terbongkar di tingkat rotan. Ini tentu kerja si Buyung, fikir Emak, marah!
Apabila Emak keluar dari bilik, Emak tercium bau masam. Emak berasa mahu muntah. Cepat-cepat Emak memekup hidungnya sambil mencari-cari dari mana datangnnya bau itu.
“Buyung! O…Buyung!”
Si Buyung menggeliat. Dia mengalih badan tetapi suara Emak tidak didengarinya. Matanya masih pejam. Si Buyung soh semula. Tetapi emak sudah pun ternampak tangan kecil si Buyung dari belakang kerusi. Emak pergi ke situ. Bau masam tadi semakin kuat menyesak lubang hidung. Alangkah terkejutnya Emak apabila melihat si Buyung tidur bergelumang cirit si Comel. Habis kusyen bertilam lembut terkena cirit. Dan si Buyung pun terkena juga. Tangan kiri dan rambutnya terkena sirit lendir berdarah!
Si Buyung terperanjat apabila Emak mengangkatnya ke bawah. Dia terpinga-pinga melihat cirit si Comel yang berpalit-palit itu. Tetapi si Comel masih juga tidur. Merengkok badannya di atas tilam lembut itu. Si Buyung cuba mengangkatnya tetapi dilarang oleh Emak. Telinga si Buyung Emak pulas dengan kuat. Terasa perit. Si Buyung menangis tersedu.
“Nanti! Nanti… Mak buang kucing tu. Lambung-lambung lagi kucing tu, Buyung. Merata-rata ciritnya. Nanti…nanti Mak buang!”
Emak marah-marah, menuju ke dapur. Fikir si Buyung, tentu Emak mencari karung buat mengisi si Comel untuk dibuang.  Si Buyung terlalu risau. Dia tidak mahu si Comel dibuang. Tak boleh! Si Comel tak boleh  dibuang!
Lalu si Buyung cepat mengangkat si Comel. Ketika itu si Comel masih tidur nyenyak. Si Buyung mahu menyorokkan si Comel jauh-jauh daripada Emak. Dia tak mahu si Comel dibuang. Dipeluknya badan si Comel yang bergelumang cirit lendir berdarah itu. Dia mahu membawanya lari.
“Buyung! Ke mana nak dibawa kucing tu? Astagfirullah…”
Emak mengeluh panjang. Hatinya semakin geram. Cepat-cepat ditariknya si Comel dari si Buyung. Si Buyung melonjak sambil menangis melolong-lolong. Si Buyung sangka emak mahu membuang si Comel sekarang.
“Makkk…. Jangan buang, Mak,” rayu si Buyung, menangis sambil mengerapai kain emak. Emak terdiam. Apabila memegang badan si Comel dan mendengar rayuan si Buyung,  hati Emak jadi tersentuh. Sayu. Emak pandang si Comel yang masih tidur itu, hairan. Emak pandang pula si Buyung, terharu.
“Jangan, Mak. Jangan.  Jangan buang Comel ya, Mak? Buyung sayang kat Comel. Jangan ya, Mak? Comel…Comel…,Mak. Bagi Comel, Mak. Bagi…,” raung si Buyung lagi. Air matanya berjurai-jurai di pipinya yang cembung itu. Kain sarung emak terus digerapai sambil tangan kanannya cuba memaut tangan Emak, hendak mencapai si Comel.
Emak betul-betul jadi terharu. Tadi emak cuma menggertak hendak buang si Comel untuk menakut-nakutkan si Buyung. Tujuan Emak  agar si Buyung tidak melambung-lambung si Comel lagi. Emak memang tidak sampai hati hendak membuang si Comel. Tetapi melihat cirit yang berpalit-palit, hati emak pun marah juga. Tetapi apabila Emak memegang badan si Comel, Emak jadi terpaksa. Emak terpaksa juga membuang si Comel. Malah si Buyung juga terpaksa merelakannya. Si Comel sudah mati. Badannya sudah keras. Kaku!
“Mak jangan buang Comelll….”
Si Buyung terus juga melonjak-lonjak. Air matanya berlinang. Tersengguk-sengguk dia menangis sambil menggerapai lagi kain Emak minta diserahkan si Comel kepadanya. Semakin tersentuh hati Emak.
“Tapi si Comel dah mati, Buyung. Kita mesti buang dia.”
Suara Emak perlahan dan terharu. Emak serahkan bangkai si Comel kepada si Buyung. Si Buyung berhenti melolong. Bangkai si Comel itu disambutnya. Namun, air matanya tetap mengalir juga. Si Buyung meraba badan si Comel yang sudah keras. Tidak lagi lembik seperti waktu dilambung-lambungnya tadi. Perutnya sudah tidak bergelombang lagi. Tidak berkeruk-keruk lagi.
‘Mak, ngapa Comel mati, Mak?” tanya si Buyung sambil mendongak  Emak, tidak mengerti kenapa si Comel mesti mati!”

No comments:

Post a Comment