Ini kolong yang kuhuni, bukan kolong kehidupan melainkan kolong sebuah kematian. Berangkat dari satu perjalanan yang panjang, akhirnya aku terhumban ke sini, dengan nurani yang semakin dicengkam sepi, tubuh yang semakin mereput, aku bingung memikirkan sukmaku kian hampir ke garis penamat.
Apa lagi yang dapat kuharapkan, selain memunajatkan doa dari ketulusan kalbu yang sudah sekian lama luntur, setidak-tidaknya Dia yang Maha Mendengar dan Mengampuni tentu saja mendengar permintaanku. Dan aku sangat mengharap pengampunannya, kalau-kalau masih ada sedikit lagi kasih sayangNya untukku.
Melihat kain langsir yang terbuai-buai di muka jendela yang cuma satu di kolong itu, itulah satu-satunya ruang terbuka untuk melepaskan pandangan mata ke langit luas. Langit yang tika itu nampak mendung di celah-celah rimbunan daun-daun pohon cemara, kerapnya kutemui berwarna jingga. Melainkan jika tingkap itu dibuka lebih awal oleh Puan Sitha yang sering singgah melihat keadaanku.
Seorang suri berbangsa Hindu yang sangat bersimpati dengan kedaifanku, Puan Sitha merupakan seorang perempuan yang memiliki halus budi bicara. Dia sering menghulurkan aku makan atau minum di temani anaknya, Suguswaran, yang tidak jemu-jemu melayan aku, menyuapkan aku makan dan mengemas kolong sekangkang kera ini. Malah, dia juga telah membenarkan aku tinggal di kolong ini tanpa pernah bertanyakan duit sewa kolong ini. Sukmanya lebih memahami dari jiran-jiran sekeliling yang lebih memandang serong akan kewujudanku di kolong ini. Apalah adanya seorang aku yang sudah tidak boleh berkata-kata, dengan pergerakan yang amat terbatas, seharusnya mereka tidak menyimpan cuak di dada terhadapku.
Bedebah!
Sepasang cicak berebut seekor kelkatu, jatuh di atas gebar yang menyelimuti separuh pinggangku ke kaki. Meskipun terkejut, yang ada hanya kalbu yang merasa. Sedang deria sentuhku tidak lagi bertindak balas untuk bingkas bagi mengelak sepasang cicak yang bercempera itu melarikan diri. Bahagianya cicak-cicak itu melihat aku tidak bisa berbuat apa-apa, melainkan memandangku dengan penuh kejengkelan. Agaknya itulah yang berdetik dibenak sepasang cicak itu, tidak henti-henti decitnya.
Kurang ajar…!
Menangis dalam diri, sudah tidak membawa erti apa-apa lagi saat itu. Melainkan, berzikir, bertasbih, merayu dan menyeru ke hadratNya untuk meringankan sedikit beban ini, lebih-lebih lagi seksaan yang ditanggung oleh anakku, Saleh. Ya, Saleh, satu-satunya anak lelakiku dari keturuan ibunya yang sangat aku cintai…
Ya, Allah, Kau kuatkan semangat anakku…..
Ayah mana yang tidak berasa sengsara apabila melihat anaknya juga turut sengsara. Kehilangan ibu sejak lahir, tanpa mendapat belaian mesra dan kasih sayang seorang ibu, apa lagi dapat meneguk seteguk susu ibunya sendiri, aku tahu anakku menderita kerinduan. Kalaulah kehilangan itu suatu yang abadi, tidaklah begitu sengsara rasanya. Sebaliknya kehilangan itu sebenarnya masih ada di depan mata, masih terdengar suara merindu yang sesekali di bawa angin dari daerah seberang yang menerobos masuk melalui jendela yang terbuka itu.
Rubiah……!
Aku tidak dapat melupakan nama itu dari ingatan. Wajah Saleh yang datang mengurusiku setiap pagi dan petang pasti membawa bersama ingatan wajah itu. Mana mungkin aku melupakan!
Berpuluh tahun perasaan ini kubawa bersama. Nak ditinggalkan di mana, sedangkan itulah perasaan yang dapat menongkat nyawaku untuk membesarkan anak kesayangan kita itu, Rubiah…..!
Urat yang menegang pada seluruh tubuh kiriku, semakin hari semakin menyeksakan. Bisanya tak terkata. Laranya mengalirkan airmata. Tak siapa yang dapat merasai kepedian dan kesengsaraan yang sudah hampir dua bulan aku menanggungnya. Allah ingin menguji kesabaranku dan keimananku lagi. Ya, sejak berpuluh tahun, kesabaran dan keimanan itu sentiasa teruji dari hari ke hari.
Aku masih ingat, kesabaranku kali pertama tercabar bila aku dipaksa menceraikan Rubiah oleh ibu sendiri. Perempuan yang sangat aku kasihi itu, semangatnya terlalu tinggi, menerima perceraian itu dengan hanya menyimpan airmata yang tergenang dilubuk hati. Masih terasa jari-jemarinya memaut jari-jemariku tatkala diheret oleh arwah ibu, menghalau dia keluar dari rumahku. Masih terngiang-ngiang sendu rayunya, meminta ibuku membenarkan dia memeluk Saleh sebelum dia pergi. Namun, kesombongan ibu yang keras hati itu, tidak mengizin dia menatap anak sendiri, apalagi untuk memeluknya. Rubiah pergi sehelai sepinggang, dengan wajah yang menyimpan sejuta pilu yang entahkan mampu ditanggungnya entahkan tidak. Dan aku, tentulah berat hatiku, malah peritnya sukma tak tertanggung melepas pergi seorang yang pernah mengisi lubuk hati, seorang perempuan yang amat dicintai, malah ibu kepada anak kesayanganku, Saleh.
Antara ibu dan isteri, dosa dan seksa, anak dan ibu, cinta dan kasih sayang, semuanya berbaur menjadi satu macam perasaan yang bergalau saat itu. Menidakkan ibu – mengundang durhaka. Membiarkan isteri – jiwa merana. Akhirnya, aku terpaksa memilih ibu. Dan sejak itu bermulalah episod lara yang tak habis kenang dalam menyongsong perjalanan hidup ini.
Suara pilu kaukah, Rubiah, yang singgah pada angin yang berhembus….?
Masih kuingat, ibu menentang perkahwinan kami hanya kerana perbedaan darjat. Tapi apa kurangnya Rubiah, yang berasal dari keluarga baik-baik , malah berharta juga. Cuma, bedanya bagi ibu, kami dari kalangan bangsawan, berketurunan orang besar-besar istana katanya. Punya harta yang melimpah ruah. Manakan tidak, panggilan Cik Puan Sapura itu saja sudah cukup mengerikan Rubiah, kukira. Apa lagi berhadapan dengan orangnya yang terlalu cerewet dan sombong. Meskipun perkahwinan tetap diteruskan juga, rupanya ibu menyimpan niat tersembunyi. Setiap hari, Rubiah didera lahir dan batin, walaupun dalam keadaan berbadan dua. Dia menyimpan derita seorang diri. Tak pernah dia meluahkan rasa marah atau dendamnya kepadaku. Sedang aku terus dungu dan dungu, bimbang mengundang durhaka kepada ibu. Dan tekanan daripada penyeksaan itu akhirnya menyebabkan Rubiah memberontak, sehingga sanggup dia minta dilepaskan!
Sampai hatimu, Rubiah!
Masih terngian-ngiang kata ibu, “Aku akan suruh Malek ceraikan kamu dengan syarat, Saleh tidak boleh kamu miliki….”
Aku benar-benar menjadi lembu yang dicucuk hidung, menurut perintah meski luluh seluruh harapan. Tak terkata, tak terdaya walau sepatah untuk berkata melainkan hiba melihat Rubiah separuh longlai diheret ibu keluar dari rumah. Dan sejak itu, aku tak pernah melihat Rubiah, meski sesekali aku mendapat khabar dia telah pulang ke rumah orang tuanya di Tapah. Dan dua tahun selepas itu aku mendapat khabar dia telah pun berumah tangga dengan pemuda dari Kelantan.
Tekakku, mengapa terasa begitu haus sekali? Tubuhku, aku perlu kekuatan untuk mengambil air. Urat belikatku terasa menyentap-nyentap, tak tertahan rasanya. Terasa peluh dingin meruap di dahi. Aku cuba juga mencapai botol berisi air di sisiku. Kekuatanku semakin parah rupanya, aku tak upaya menggerakkan bahuku. Ah, seksanya!
Di luar jendela, mendung sudah semakin memberat. Sesekali kelibat burung layang-layang berkeciau di depan pandang. Angin yang berhembus, meniup ranting-ranting beringin semakin kuat, mengelopak bunyi daun-daunnya mengisi kesunyianku kini. Aku kira hujan akan turun sebentar lagi.
Terasa ada air mengalir di hujung kedua belah mataku. Pilu apakah yang tiba-tiba meruntun sukma? Ah.., airmata yang setitis itu pun tak mampu aku tepis apalagi hendak merangkak mencari air untuk minum. Mengharapkan Saleh, petang nanti baru dia muncul. Itu pun kalau ada ehsan daripada pegawai waran membenarkan dia keluar kem kalau tugasnya telah selesai. Kerapnya, dia mencuri-curi keluar, menaiki basikal sejauh sebatu untuk datang mengurusi diriku. Membawa sebekal nasi campur, sebungkus kopi o, dia akan segera menyuapkanku, perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang.
Aku paling bertuah mendapat seorang anak yang kukira soleh seperti anakku, Saleh. Sepanjang tempoh dua bulan aku diserang angin ahmar, dalam keadaan aku yang lumpuh hampir seluruh badan, belum sekalipun dia merengus, apalagi memarahiku. Meskipun kadang-kadang aku melihat dia amat lelah, dia tetap juga bersabar mengasuhku seperti seorang anak kecil. Memandi, mencebuk, menyuapkan, malah sesekali sempat tertidur di sisiku…. Tatkala itu, tidak ada apa yang lebih bahagia selain berasa damainya di samping anak sendiri…
Rubiah…., anak kita!
Angin yang berhembus lewat jendela yang terbuka itu, sesekali dingin rasanya. Mungkin sebentar lagi hujan akan turun. Kalau hujan turun, tentu Saleh datang lewat atau mungkin dia tidak dapat datang langsung. Bukan mudah untuk meloloskan diri dari disiplin kem. Sebab itu aku menolak tawaran menjadi askar dulu hanya kerana memikirkan nasib Saleh. Aku tidak mahu dia kehilangan ayah seperti mana dia kehilangan ibu. Biarlah aku menjadi ayah dan aku juga ibunya. Aku mahu segala kasih sayangku seluruhnya untuk dia. Ya, untuk dia seorang setelah kasih sayang yang sepatutnya kucurahkan untuk ibunya terhalang!
Sayup-sayup ada getar gelombang azan yang dibawa angin dan getar itu singgah ke kolongku. Kukira itu tentu azan Asar. Siapalah muazzin yang melaungkan azan itu. Alunannya begitu meruntun nubari….
Ya, Allah. Ampuni aku…. Usai sudah kalbuku setelah lama tidak sujud ke hadratMu. Mampunya aku hanya terlentang begini, merintih, merayu, bertasbih, berzikir hanya begini. Aku redha, ya Allah.
Angin semakin kuat tiupannya. Kain langsir semakin kuat selakannya, terbuai-buai ditiup angin. Beberapa helai daun cemara yang telah kering terbang masuk lalu jatuh di atas dadaku.
Daun kering itu, ya, daun kering itulah aku. Arwah Cik Puan Sapura yang begitu menyanjung darjat, tentu tidak menduga, anak tunggal kesayangannya sudah menjadi sehelai daun kering yang melayang dan terpelosok di dalam kolong asing ini. Naifnya kehidupan! Darjat kebangsawanan yang kononnya sangat dipertahankan rupanya mengundang sengsara yang berkesudahan dengan pergendalangan di lembah hina seperti aku. Hilang harga diri, hilang harta, hilang kawan malah jiran pun tak sudi melainkan tinggal sengsara! Mereput begini diinjak masa terus-menerus.
Jahanam kau….!
Sepasang cicak tadi masih berkeliaran di siling atas pembaringanku, seperti mengejek-ejekku. Berdecit-decit tak henti-henti. Dan aku, yang tak berupaya menggerakkan tubuh walau sedikit pun melainkan, hanya mampu bermain rasa.
Memicit, meramas dan membanting cicak-cicak itu ke dinding, ah, mampus kau, cicak! Namun, keupayaan berhalusinasi itu tak sedikit pun dapat melepaskan rasa amarah yang membuak! Sepasang cicak itu tetap berlegar-legar di siling atas pembaringanku, berkejar-kejar dengan sesukanya.
Ah… denyut apa yang semakin ngilu memusat dari belikatku. Semakin menyentap-nyentap. Apakah aku bakal disentap angin ahmar sekali lagi? Fikiran yang semakin resah dan bercelaru ini, kesannya pasti mengundang sesuatu yang tidak baik. Seluruh badanku semakin lemah jadinya. Waimma aku tidak berkeupayaan untuk beralih kedudukan sedikitpun, aku pautkan kekuatan pada hasrat untuk terus bertahan, setidak-tidaknya hingga Saleh datang.
Sitha….., tolong aku?
Hujan sudah turun agak lebat. Angin ribut di luar jendela menolak tempias hujan ke pembaringanku langsung ke muka. Semakin banyak daun-daun kering melayang masuk ke kolongku.
Di luar jendela, cuaca bertambah gelap, semakin mersik bunyi angin menyentuh deria dengarku. Ada alun-alun perlahan yang memanggil-manggil namaku. Entah dari mana datangnya. Ada kelip-kelip terbang melintasi pandangan aku. Semakin lama semakin banyak, berangkai-rangkai, beregang-regang menjadi satu rantaian yang panjang. Sekilas, cahaya kerlipan itu hilang entah ke mana. Ah! pandangan akukah yang semakin kelam?
Alhamdulillah, Dia mendengar permintaanku!
Mengangakan mulut yang tak seluas mana, aku masih berupaya mengesip lelehan air hujan yang menimpa muka. Kugagahi dengan sekuat daya. Meski tak melepaskan rasa haus, setidak-tidaknya bibirku tidak lagi kering, Kungangakan lagi mulutku dengan harapan rasa hausku hilang. Menikmati air hujan yang singgah sedikit ke halkumku, terasa manisnya pemberian Illahi. Tak terperi nikmatnya, tak terkata lazatnya, meski sakit yang memusat dibelikat tadi sudah mula merayap ke dada, ke tangan, ke kaki, dan ke ubun-ubun.
Aku cuba beralih ke kanan. Ya, Allah, peritnya tak terkata. Tak mampu aku mengelak dari tempias hujan yang semakin mengasari mukaku dan aku mula berasa lemas apabila lelehan hujan itu mula masuk ke rongga hidung, menjadikan aku tersedak-sedak, menyebabkan pangkal rongga hidungku perit.
Saleh….!
Tempias hujan semakin lama semakin lebat. Sebahagian badanku sudah basah lencun. Kupalingkan mukaku ke dinding, dengan harapan air hujan tidak melemaskan aku. Ya, aku mampu mengalihkan sedikit badanku menghadap ke dinding, meski perit di belikat semakin menjadi-jadi. Dengan segala kekuatan yang masih bersisa, kupaut bantal lusuh disisiku buat menampan hujan.
Airmata sudah mula mengalir tak berhenti, menyatu dalam air hujan, entah ke mana alirnya. Entah kenapa rasa pilu mula berbaur – tatkala aku cuba melupakan segala sengsara, wajah ibu kulihat hiba, melambai-lambai aku datang. Ya, suara yang memanggil-manggil aku, itu suara ibu.
Ibu!
Sekian lama aku kehilangan ibu yang kusayangi, tiba-tiba hadir di saat aku memerlukan. Wajah ibu, terlalu anggun dan aku gagahi tanganku untuk meraba muka ibu. Alangkah! Kekuatan yang sekian lama direngut sakit ini hanya mampu memerhati, merasai dan menyimpannya dalam kalbu. Ya, kalbuku terlalu dekat dengan ibu saat ini.
Entah kenapa, aku merasakan ibu member isyarat bahawa maut sudah mendekatiku. Sudah mula menjalar, bermula dari belikat dan kini merayap ke seluruh tubuh. Mengintai antara nampak dengan tidak , mengetuk antara bunyi dengan senyap kerana pandanganku juga sudah semakin kabur dan pendengaranku sudah semakin senyap. Aku terkenang Rubiah dan Saleh.
Rubiah…!
Saleh…!
Tiba-tiba aku berasa terlalu sunyi, sepi dan kosong. Gelombang nafasku semakin sarat dengan mimpi ngeri. Mampukah aku bertahan, kesakitan yang semakin memuncak, nafas yang semakin sesak, aku mencari-cari arah mana hendak kutuju. Segalanya kelam, kalbuku juga tenggelam, merentap aku ke dasar, meski aku cuba melonjakkan ke atas, Laillaha illallah muhammadur rasulullah….
Amat longlai, amat fana…..
Di luar, bunyi cengkerik dan katak seperti berperang. Hujan semakin lebat dan petir sahut-menyahut menjadikan suasana gegak gempita.
No comments:
Post a Comment