Tuesday 3 February 2015

tentang HSPM 2013

HSPM 13
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt yang telah memberi rezeki dan nikmat kelembutan gizi dari zatnya yang maha sempurna buat hamba yang daif ini.

Bercerita tentang hspm, sebenarnya hamba tidak menduga langsung apatah lagi berangan-angau untuk mendapatkannya. Hamba bukan siapa-siapa untuk memikirkan tentang anugerah, melainkan sebagai penulis biasa-biasa yang hanya ada sedikit ilham dari mata fikir untuk menulis. Jujur, hamba tidak pernah berhasrat apa-apa dalam dunia sastera ini, melainkan hanya perkongsian batini untuk yang sudi singgah dalam dunia penulisan hamba.

Hanya  itulah cerpen hamba yang berjudul Istana Cindai (IC) tersiar pada tahun 2013 di Mingguan Malaysia untuk tahun itu.

Perjalanan cerpen ini sangat menakjubkan buat diri hamba. Apa tidaknya, pertama kali menulis IC, hamba bercadang untuk turut serta dalam sayembara menulis cerpen IPM. Mengenangkan sayembara ini beridentikkan negeri Melaka, maka hamba memilih pengisiannya tentang sejarah Melayu. Namun, saat cerpen ini sudah pun disampulkan, terdetik di nurani hamba, salah satu syarat penyertaan sayembara ini mestilah sudah bermastautin di negeri melaka setidak-tidaknya genap 3 tahun. Walhal, hamba tidak menepati syarat itu meski beberapa orang drpd ahli jawatankuasanya membenarkan kekurangan tempoh seminggu drpd genap 3 tahun pemastautinan hamba di negeri Melaka ketika itu.

Nurani hamba kuat menolak. Hamba tidak akan melanggar syarat dan membenarkan ahli lembaga sayembara mengkhianati syarat yang mereka sendiri telah tetapkan. Allah mengetahui. Lalu akhirnya, cerpen IC hamba hantar ke majalah perdana. Setahun lebih IC terpelosok tak diperdulikan oleh editor majalah. Barangkali nama hamba sudah lama terpadam dari pengetahuan mereka atau memang karya hamba tidak bernilai sastera. Tapi mengapa nurani hamba kuat mengatakan, IC sebuah cerpen yang kuat sekuat besi kursani? Aishhh, perasaan!

Bersama SN Dr Muhammad Hj Salleh (penerima HSPM) dan
Dr Rosnah Baharuddin (panelis)
Setelah lebih setahun, hamba membuat ketetapan. Tentu IC tidak layak untuk diterbitkan di majalah perdana atau barangkali sudah lama dibakulsampahkan. Dari salinannya, hamba mencuba pula menghantar IC ke Mingguan Malaysia. Dalam seminggu, tiba-tiba IC tersiar, alhamdulillah. Tapi sayang seribu kali sayang, ruangan cerpen di Mingguan Malaysia terlalu terhad, sedangkan IC agak panjang. Di tangan editornya yang bijak, IC diedit dengan baik walaupun hamba rasa terkilan, mengharapkan keseluruhan cerpen itu disiarkan.

Seorang siswazah yang sedang menyiapkan Dr falsafahnya di USM masuk ke inbox hamba di facebook, mengucapkan tahniah kerana siaran IC. Hamba tidak kenal siapa siswazah ini. Namun, beliau sangat menjiwai IC. IC sangat hebat, kata beliau lagi. Hamba di hadapan monitor hanya tersenyum-senyum.. Banyak juga kami berbincang tentang karya cerpen dan puisi mutakhr. Rupa-rupanya beliau sedang menyiapkan thesisnya tentang kajian puisi-puisi  Rahimidin Zahari.

Keseluruhan cerpen asal IC telah hamba hantar ke Indonesia untuk diterbitkan di antologi cerpen etnik 5 negara. Alhamdulillah, akhir 2013 antologi tersebut diterbitkan oleh WOHAI.

2014 adalah tahun seribu mawar.
Inilah insan istimewa yang tidak dapat bersama, saat hamba
menerima HSPM, beliau di Jakarta dengan pembentangan
makalahnya. 

Bermula dengan mendapat anugerah puisi dunia numera pembuka tirai 2014,  suatu pagi hamba dikejutkan dengan panggilan telefon bahawa IC telah mendapat anugerah HSPM 2013. Subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar, benarkah ini? Hamba bertanya kembali pada pengawai dbp yang menelefon. Benar, kata beliau sayup-sayup. Terasa mata berkaca, syukur sangat. Tapi hamba tidak pun mengirim IC untuk dinilai. Siapakah gerangan agaknya yang membawa masuk IC ke meja penilaian HSPM. Apapun, ini rezeki Allah swt untuk hamba.

Namun, dari cakap-cakap belakang ada juga suara-suara yang mempertikaikan keupayaan IC. Mereka kata, macam mana boleh menang padahal tak tersenarai pun dalam pemilihan untuk anugerah HSKU! Ni tiba-tiba boleh menang HSPM, apa hal?

Hamba hanya berharap agar IC terpilih untuk hadiah sastera darul ridwan, kutipan dari antologi cerpen etnik 5 negara. Sengaja hamba hantar kutipan itu untuk melihat keupayaan cerpen yang asli. Selain itu, agar IC 'cohesive' dan relaven dengan HSPM yang dipilih juri yang berbeza kumpulan tetapi bersamaan pandangan. Alhamdulillah, tak lama selepas mendapat khabar kejayaan HSPM, hamba mendapat khabar gembira dari HSDR. Bermakna IC memang berdiri dengan kekuatannya.

SN Dato Kemala, banyak memberi ruang dan peluang
berkarya kpd hamba
Begitulah sedikit kisah tentang IC yang sentimental dari penulis dunia belukar dengan duri yang mencabar!

Wasalam.

No comments:

Post a Comment