Tuesday 27 November 2012

Secebis Resah (2)

Disangkanya, aku tidak mengetahui....

Tiba-tiba aku didatangi getar yang entah bagaimana,  menyelusup langsung ke urat sarafku, menimbulkan satu hambatan di akal fikirku. Getar yang perlu kurungkai dari belitan urat di jantungku - hei...diam kamu di situ! Dan aku pun tunduk di bawah perintah sedarku.

Kutatap arca itu, dari mata, mulut, telinga, tiba-tiba tembus pandanganku ke dalam alam arcanya itu. Ada robekan-robekan yang belum sempurna ditata. Ada tompokan-tompokan hitam di mana-mana. Ada carikan-carikan yang belum ditemu. Tetapi bibir gincu merah delimanya (satu-satu warna merah yang ada pada tubuh arca itu) tetap mengukir senyuman paling bermakna, seolah kewujudannya begitu sempurna.

"Hei, perempuan malang...! Aku datang untuk menyaksi wajahmu.." 
Tiada siapa pun mendengar tempikan suaranya, melainkan aku. Kerana kamilah yang bertutur di alam arca itu.

"Aku atau kau yang malang. O...kasihannya dirimu."

"Sialan, perempuan sombong. Sebentar lagi, kau kan tahu betapa hebatnya arcaku!"

"Maaf, aku tidak punya masa untuk seketul batu seperti kamu." Tiba-tiba aku berasa sangat simpati kepadanya.

Kuusap wajahnya dengan wangi melati. Kuberikan senyuman tanpa meninggalkan kata-kata lagi. Bisik hatiku,  tidak perlu bersuara kepada arca yang berjelaga, yang tanpa ruh, tanpa seluruh! (Meski ingin sangat hatiku berkata, aku sangat mengenalimu tanpa kau ketahui.)

Dia menatapku dengan mawar di kaki tanpa  mahu merubah palingan meski arca tubuhnya ditatap oleh ramai pengunjung. Kukutip mawar yang layu lalu kuletakan di dadanya. Kujamah jemarinya, keras dan kaku - kau hidup serupa batu, bisik hatiku. Aku tidak pernah keliru mengenal kamu. Dia tetap menatapku meski aku semakin menjauh, meninggalkan dia dikerumuni ramai pengunjung yang tidak putus-putus  menyentuh tubuhnya, tanpa ruh, tanpa seluruh. Dia sangat berbangga.

Prannnnngggggg....!

"Siapa yang tolak!" Seseorang memekik.

Tiada siapa pun yang mengaku. Galeri sunyi sepi. Berpasang-pasang mata pandang-memandang, dan hati mulai diterpa waham.

Aku menoleh, rupanya arca itu yang rebah - pecah seribu meninggalkan sebiji jantungnya tergolek, pedih.

Aku menatapnya sedih..


Ros
03112012

No comments:

Post a Comment