Saturday, 22 May 2021

 Kumpulan Puisi Ketika Nur

Terbitan UTeM 2020 

Rm20



Ketika Nur merupakan kumpulan puisi yang meneruskan kelangsungan hayat puisi dan kepenyairan Rosmiaty Shaari, seorang penyair wanita mapan di negara ini. Kelangsungan hayat puisi di tangan penyair ini dibuktikan dengan prolifiknya penulisan beliau, yang sebelumnya telah menerbitkan kumpulan puisi Dari Hitamputih Menjadi Zarah (2010), Kembali Kepada Fitrah (2014), dan Daun Nan Bercinta (2016). Pengarapan dan penampilan puisi di tangan penyair ini dilihat berbeza daripada kebanyakan rakan penyair wanita yang seangkatan dengannya atau sebelumnya. Kelainan tersebut dapat dikesan pada kecenderungan subjek kerohanian dan gaya persembahan (termasuk bahasa) dalam kebanyakan puisi penyair ini.  Dari segi subjek, Ketika Nur mengajak pembaca menghayati keindahan puisi-puisi yang menancap sukma, sekali gus mendorong perenungan terhadap pengungkapan bersifat harafiah dan tersirat, dalam menyerlahkan intipati keseluruhan maksud hubungan manusia berbentuk vertikal (habblun minallah) dan berbentuk horizontal (habblun minannas). Hampir seluruh ungkapan makna puisi dalam Ketika Nur menyerlahkan ciri-ciri kerohanian yang mendorong ke arah peningkatan sahsiah, pemenuhan fana dengan hakikat atau realiti mutlak, pengetahuan intuitif langsung, dan menumbuhkan rasa kebahagiaan sebagai kurniaan Allah, sekali gus mendorong manusia berkeperibadian tinggi, berakhlak mulia, serta mendekatkan  diri kepada Tuhan. Di samping itu, kebanyakan puisi dalam kumpulan ini juga amat menjaga susun atur larik, kesegaran pemilihan kata, dan penyusunan rangkap, di samping memelihara kehalusan seluruh pengucapannya. Hakikat ini membenarkan takrifan puisi oleh Samuel Taylor Coleridge bahawa puisi itu ialah the best words in their best order (kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik).

 

Prof Madya Dr. Norhayati Ab.Rahman

Akademi Pengajian Melayu

Universiti Malaya


No comments:

Post a Comment