Sunday 8 September 2019

Seputar ASN 14

Seboleh-bolehnya saya mahu mendiamkan diri, menyimpan dalam-dalam kesedihan yang teramat dalam hati gara-gara percaturan penilaian anugerah sasterawan negara 14. Sebak hati, Allah swt saja yang tahu bila suami memberitahu hasil keputusan ASN 14. Saya tergumam. Jadi benarlah apa yang saya baca dari akhbar dan dengar khabar daripada suami bahawa anugerah tidak memihak kepada Pak Malim, sebaliknya Siti Zainon Ismail.
Dua insan ini sangat saya hormati dan telah lama saya kenali serta menganggap mereka abang dan kakak. Boleh dikatakan kedua-duanya sangat akrab dengan keluarga saya. Saya mahu menceritakan tentang mereka dari sudut pandangan saya.
Keakraban saya dan suami dengan Pak Malim bermula dengan penglibatan kami menjadi urusetia Pulara dan Kampung Karyawan Malim. Walaupun ada yang menyindir bahawa kami mendapat habuan lumayan di Pulara dan Kampung Karyawan Malim, terus terang saya katakan penglibatan kami adalah kerana kecintaan kami kepada sastera bukan wang. Kerja-kerja kami kerana Allah. Adapun sedikit sumbangan, kami terima dengan ikhlas. Tak banyak mana pun. Kami tidak merungut dan tahun berikut tetap menjadi tulang belakang beliau. Semua itu sebab kami nampak sangat semangat dan usaha Pak Malim untuk mengangkat sastera negara ke peringkat lebih tinggi dan akhirnya berjaya menduniakan sastera Malaysia dengan cemerlang. Tidak ada sasterawan lain yang boleh buat macam Pak Malim kan?😅🙏 Bukan saya nak ampu, tapi ini kenyataan yang sebenarnya semua sasterawan tahu tapi ada yang buat-buat tak tahu.
Bermula dengan novel Redang, Janji Paramaribo, Daun hinggalah karya magnum opus beliau novel Luka Nering telah diterjemahkan ke beberapa bahasa lain dan diedarkan ke negara luar. Kesemua bukunya sudah dibicarakan, tak kiralah oleh siapa, bagaimana dan di mana, yang penting wacana pemikirannya jelas dan luas. Begitu juga puisi-puisi beliau, cerpen-cerpan beliau semua hebat-hebat belaka. Ini pun semua sasterawan tahu (kecuali sasterawan palsu). Tak habis setakat itu, beliau usaha menyiapkan kertas kerja untuk menghidupkan kembali hadiah Sastera Darul Ridzuan yang sekian lama senyap. Akhirnya HSDR berjaya dihidupkan kembali dan dinikmati oleh ramai sasterawan negeri Perak. Alangkah beruntungnya sasterawan negeri Perak.
Tapi kenapa pencapaian beliau dinafikan dalam penilaian anugerah sasterawan negara 14? Sedangkan pencapaiannya sangat besar? Kenapa ada campur tangan politik? Benarkah ada pertambahan 2 panel penilai di saat terakhir? Jika benar, hebat sangatkah kelayakan 2 panel 'payung terjun' tersebut berbanding kelayakan panel-panel lantikan asal? Akal saya memikir-mikir, punyalah banyak buku yang nak dibaca dan dinilai, dalam tempoh sesingkatnya sempatkah terbaca? Mampukah menilai? Justeru, jujur dan bersihkah penilaian itu? Allah swt jugalah yang Maha Mengetahui akan kesegalaan yang tersembunyi. Saya hanya mampu mendoakan agar Pak Malim banyak bersabar di samping lebih bersemangat untuk melahirkan karya magnum opus yang lain. Pernah terbaca, karya magnum opus selalu lahir daripada kesakitan yang sangat. Tulislah, Pak Malim. Buka mata dunia!
Tentang Siti Zainon Ismail, saya juga akrab dengan beliau. Kami pernah bersama berseminar dalam dan luar negara. Kami menginap sebilik bertukar pandangan itu dan ini. Malah, saya pernah menjadi tetamu beliau dan menginap di rumahnya. Begitulah juga beliau pernah menginap di rumah saya. Ketokohan Siti Zainon juga wajar untuk meraih SN, saya tidak boleh menafikan karya-karya beliau. Hanya pandangan saya, Siti Zainon sepatutnya sudah lama menggalas anugerah SN sebab saya maklum perjalanan sastera beliau. Malah, saya pernah usahakan untuk pencalonan beliau menerusi Penama Melaka. Saya dapatkan pengesahan Speaker Negeri Melaka Dato Wira Hj Othman Muhammad yang merangkap Ketua Satu Penama semasa pencalonan SN 12. Malangnya, dokumen permohonan tidak sampai ke DBP atas sebab2 teknikal. Sekali lagi kegagalan proses dokumentasi semasa pencalonan SN 13, rupanya SN 14 adalah medan pertarungannya. Doa saya, dipermudahkan beliau akan urusan dunia seiring urusan akhirat. Moga nanti karyanya bertambah wadah Islami sebagai jambatan akhirat (dakwah) ke taman jannah. Amin.
Mengapa Rasullullah suruh kita diam? Ya, tujuannya ialah untuk membina hubungan masyarakat yang harmonis. Lagi banyak kita bercakap, lagi banyak silapnya, lagi banyaklah yang berasa hati. Kata-kata kasar, maki hamun, sindiran tajam itu bukan anjuran Islam. Kita dianjurkan mesyuarah secara baik. Kita pujuk kita doa buat yang bersedih agar Allah swt beri dia kekuatan dan kesabaran yang lebih lagi untuk berkarya dan meneruskan perjalanan sasteranya, bukan melemahkannya.
Kepada Pak Menteri, berilah laluan yang telus buat para sasterawan dan para sarjana sastera tak kiralah mereka dari aliran mana. Hormatilah kami, tanpa ketelusan anda, kami tewas!
Kepada semua sahabat sastera, saya tahu saya penulis kerdil. Saya tidak layak untuk memberi pandangan sebegini. Namun, sebagai insan makhluk Allah swt, saya juga ada hak untuk memberi pandangan. Jika ada kata salah dan silap, saya mohon kemaafan zahir dan batin. Wasalam.
- catatan kerdil hamba dhoif🙏🌹

No comments:

Post a Comment