Tuesday, 27 September 2011

kau, aku: tanpa kata dan

- nukilan Ismi' Nailofar

Pagi ini,
masih bersisa kelabu
semalam awan meranggas airmata meranai
tanah dan bantal tidurmu basah
oleh pendaman rindu terjelma
dari panasnya terik mentari dan hati berjauhan.
Terpancar dari anak matamu
sejelas titis air di hujung rumput, mencapai anak mataku
yang juga basah semalam.

Kau, aku
takpernah sekalipun berdoa dan berharap
agar kaki kau, aku berjejak lalu dirantai di sini
dengan perih tak terjangkau mata dan rasa
sesudah berteguh hati meninggalkan semua yang dikasihi
tapi bukankah ini semua suratan dari Dia
ar-Rabb dan ILlah, yang menyusun atur hidup kau, aku
demi senyum tawa di hari muka ?
Dia yang Maha Tahu dan Maha Mendengar
suara hati yang ingin benar pulang pada yang dirindukan
namun dia sengaja menguji kau, aku
hamba-hambaNya
kerana Dia sungguh, Mahu Mendengar.

Tidakkah kesamaan ini menjadikan patut
bagi kata ‘dan’
berada antara ungkapan ‘kau, aku’,
biar sama-sama berbahagi sakit dan merawat luka
selama kaki masih berjejak dan dirantai di sini ?

Namun jeling zondermu terus-terusan juga mencapai ruang pandangku
dan bibirmu berkata, “ Kau CUMA berbulan madu,
meniup seruling dan mereguk anggur di sini.”
dan tubuhmu terus berbahasa
dengan bahasa sunyi ‘ ‘kau, aku’; tanpa kata ‘dan’ ’.

Tidakkah laut biru di hadapan itu,
yang kau tatap saban hari mengajarmu
setiap titis gerimis semalam
asalnya dari situ
dan tetap kembali ke situ
sejauh manapun ia  jatuh ?
Seperti itulah apa yang mengikat kau, aku dan ar-Rabb
agar kau sedar lantas seikhlasnya meletakkan kata ‘dan’
antara ungkapan ‘kau, aku’.

Atau perlukah pergelangan tanganku menjadi batang pohon getah
dan kau memegang sebilah pisau
menorehnya, hingga susu merah kesumba hangat mengalir 
hadir sebagai bukti
kata ‘dan’
patut hadir antara ungkapan ‘kau, aku’ ?

SMExcel-Sri Kinarut
1997/98 -2011

No comments:

Post a Comment