Sudah berbulan-bulan, dia begitu asyik melayani mindanya yang semakin mabuk. Sesekali dia menjadi seorang kekasih yang sangat penyayang. Sesekali dia menjadi seorang jurubicara yang menjatuhkan hukuman mandatori - bunuh secara perlahan. Namun, sesekali juga dia menjadi seorang seniman penyair yang begitu lembut tutur bicara. Namun, semakin lama, dia semakin seronok melayari layar tanpa suara yang memencar di hadapan matanya.
Dia memerhati ke kiri dan ke kanan. Rakan-rakan sibuk bekerja. Hujan lebat di luar seawal subuh tadi, mempengaruhi kedinginan penghawa dingin di biliknya. Dia mencapai baju sejuk yang tersidai kemas di penyandar kerusinya, menyarungnya dengan harapan kesejukan dapat diredakan sedikit dari dingin tubuhnya. Alhamdulillah...
Dia membetulkan kedudukan papan kekunci, cuba mencari keselesaan ketika menaip. Kini, wajah itu sudah muncul di layar. Wajah itulah yang diperhatikannya selama berbulan-bulan. Sering dia bertanya dirinya, adakah dia telah jatuh cinta? Oh tidak, mana mungkin! Isteriku jauh lebih cantik dan lebih berhemah dari perempuan bebal ini. Perempuan yang tidak ada harga diri, yang tidak sudah-sudah dengan keluh kesahnya, memancing kasih sayangnya. Anehnya manusia. Berwajah dan berperawakan alim, tetapi nuraninya begitu hina dan tidak bermaruah!
Sudah lama dia mengenali perempuan ini, bertahun-tahun dahulu. Ketika itu, dia begitu memujanya dengan jujur. Namun, sesuatu telah mengusik nuraninya, lalu beranggapan dia tidak sepadan dengannya. Lalu, tanpa pamitan, dia meninggalkan perempuan itu terkapai-kapai sendiri, barangkali.
Kini setelah hampir 10 tahun, tiba-tiba dia muncul semula di layar tanpa suara ini. Muncul dengan segenggam debu yang berderai. Ya, Tuhan, manusia apa ini yang tidak mensyukuri nikmat kasih sayang Engkau, hingga dia sanggup membelakangkan suaminya. Ya, Allah.... bala apa yang bakal menghunjam diriku ke lubang neraka ini? Astaghfirullah....Dia mengeleng-ngeleng kecil. Hujan lebat di luar pejabat menjadikan suasana seakan malam dengan lampu yang semakin mencerah. Musim hujan datang lagi.
Berkali-kali dia beristighfar. Berkali-kali dia menarik nafas panjang. Lalu tanpa memberi ruang kepada perempuan itu, dia lantas memancung perempuan itu dari senarai rakan taulannya. Putuslah riwayat itu dari satu perasaan yang sememang telah lama lenyap. Dan jangkaannya, beban fikirnya akan turut lenyap dan terlepas dari belenggu pesalah yang menanggung dosa. Rupanya tidak, tanpa disedarinya, dia kembali menjadi pemuja wanita separuh sinting itu. Entah mengapa, nalurinya begitu berminat sangat hendak mengikuti perkembangan perempuan itu.
Nur Imani! Ya, mulus sekali nama itu. Nama yang tidak pernah berubah sejak dulu. Masih mekar dalam ingatannya.
Selama hampir empat bulan nama itu dicantas dari senarai rakan taulannya, selama itulah dia menjadi pelaku sinting juga, melayani dan memprovokasi karenah wanita itu. Meski dia tidak dapat berinteraksi secara lansung, namun dia faham amat bahawa bahasa boleh berbicara. Malah, keyakinannya semakin kuat bila puisi-puisi yang diterbitkan oleh wanita sinting itu menerusi layar tanpa suara itu dituju khusus untuknya! Itu jangkaannya.
Jari telunjuknya pantas menekan kekunci demi kekunci, menjelajah segenap ayat-ayat yang ditulis oleh perempuan itu. Sikapnya yang periang, gemar mengusik rakan-rakan sepejabat, kini sudah mula berubah. Dia begitu tekun melayari dunia maya tanpa batas tanpa menghiraukan lagi gelak ketawa, usik -mengusik atau sindir-menyindir. Masing-masing sibuk dengan tugas.
"Hhhmmmm...., 'ya...kekasih'. Ya, perkataan ini akan kutaburkan dalam ayat-ayatku," dia berbisik sendiri.
Lalu ayat demi ayatnya bermulalah atau berakhirlah dengan penggunaan perkataan itu.
"Hahaha..." Dia ketawa sendirian, merangka-rangka lagi apa cara hendak diprovok perempuan ini. Lalu, dia beralih ke lembaran youtube memilih lagu demi lagu yang boleh mempengaruhi minda separuh sinting wanita itu. Nah... seperti biasa dia akan paparkan lagu-lagu melankolik yang pasti dapat menjeruk nurani perempuan itu sampai jadi lentok!
"Hahahaha......" Dia ketawa lagi. Meski tidak bergema, bimbang di sedari oleh rakan-rakan setugas, dia hanya mampu melepaskan kepuasan hatinya ke dalam diri. Namun, wajahnya tetap mengukir kepuasan batini.
Jari-jemarinya lincah meniti butang-butang kekunci. Lalu ke penjuru bawah sebelah kanan, dia menolak curser ke rakan dalam talian. Spontan, senarai rakan sedang dalam talian berbaris seramai 62 orang. Dengan petunjuk arah curser, dia meneliti seorang demi seorang rakan dalam taliannya. Hatinya sedikit hampa, rakan yang dicari belum masuk ke talian.
'Biasa, pagi-pagi dah muncul. Ni dah pukul 10 pagi. Dah banyak hari tak muncul. Ke mana pula mamat ni?' Dia merungut sendiri, namun jari-jemarinya yang serabut bulu roma kasar, masih kemas mencengkam tetikus, menolak ke atas dan ke bawah, yang di cari tak di temuinya. Perempuan itu juga sudah tiga hari tidak menulis apa-apa. Dia mengeluh, memikir-mikir, mencari ilham apa yang patut dipuisikan untuk membidas perempuan itu.
'Nak buat gimik lagi la tu... Hah... tak lutnya ke aku...' Dia mencebik sendiri.
Lalu dia mencapai pen di hadapannya, menulis baris demi baris ayat-ayat puisi. 'Hah..., baru kau tau,' dia puas hati. Sebuah puisi telah digubahnya dengan rasa hebatnya, dan perempuan sinting itu bakal dihunjam dengan puisi yang menyentuh peribadinya yang busuk dan rakus itu.
"Jangan kau ingat kau je hebat menyusun kata-kata! Jangan kau ingat kau je yang pandai bermain keris, menjulang ke kiri dan ke kanan. Nah, ambil kau, akan kutikam kau ke rusuk kirimu. Masuklah kalau berani kau menepis tikamanku! Hahahaha....'" Puas hatinya, melihat hasil puisi yang bakal dihantar ke perempuan itu melalui jendela barunya, jendela penyamarannya!
"Oooiwttt... gila ke apa?"
Dia tersipu, malu lalu menghadiahkan senyuman sintingnya pula kepada Wardah, yang masuk ke biliknya, tiba-tiba.
"Kut ya pun bagi la salam dulu, ketuk pintu ke. Ni tidak, main terjah je....hehheh."
"Dah ketuk, dah bagi salam pun, tapi kalau dah angau semacam, bini lalu pun tak sedar. Hah, buat lagi. Ni baru saya, kalau bos yang masuk tadi? Ha...pekena roti canai la. Tak habis-habis dengan fb...," kutuk Wardah, menjeling sinis lalu beredar keluar dari bilik lelaki itu.
"Pekena roti canai tak pe. Asal jangan aku kena canai, sudah. Hushh... mamat ni dah mai.."
Suka hatinya melihat Sisiphus muncul di talian sembang. Entah mengapa, serasi benar dia bertemankan Sisiphus, mengusik atau mengutuk perempuan itu. Nalurinya semakin kemaruk, sambil membetulkan duduknya dan tegak badannya. Tangan kanannya kejap memegang tetikus yang mula terasa hangat dek haba panas genggamannya,
Sisiphus: Assalamualaikum..
Pateh Karma: Waalaikumsalam. Kenapa lambat online hari ni?
Sisipus: Ada hal. Aku cuti hari ni.
Pateh Karma: Hhmm... dah tengok halaman dia? Senyap. Dia pi mana, ha? Dah tiga hari tak komen. Biasa bukan main lagi. Ni, hilang tiba-tiba. Tak lain la tu, nak buat gimik lagi. Dia ingat aku terhegeh-hegeh sangat kat dia, apa? Hhmm.... hang pun dah beberapa hari hilang. Hang pi mana?
Sisipus: Hang ni pun satu, tak habis-habis dengan provokasi hang. Aku dah cakap, dia tak sambut pun provokasi hang. Kot ada sikit-sikit biasa la. Sian aku tengok dia kena provok dengan hang. Hang saja yang lebih-lebih. Hang dah gila talak, apa? Hahaha...
(Off line)
Pateh Karma menghentak tetikusnya, kuat. Dia mendengus, geram. Tetikusnya berkelip-kelip lalu padam.
"Hishhh!" Dia mengetuk tetikusnya beberapa kali. Alhamdulillah, ia berfungsi lagi. Segera jejarinya menggerakkan curser ke senarai sembang.
Pateh Karma: Hah...suka la engkau! Asam betul!
Sisiphus: Hahaha... asam pun asamlah. Tapi aku nak ingatkan hang, selama ni aku dengar je cerita hang. Aku ikut ragam hang. Tapi aku tak nampak pun dia apa-apa. Mungkin dia saja nak kawan dengan hang, kut?
Pateh Karma: Memang la engkau tak nampak sangat sebab engkau tak mengalaminya. Tengok puisi-puisinya, tak habis keluh kesah, tak habis dengan cinta kasih. Tak sudah-sudah nak sindir aku!
Sisiphus: Saudara Pateh, hahaha... barangkali benar kata orang. Keperitan akan berubah menjadi kesengsaraan, lalu menunaskan keasyikkan, dan akhirnya membuahkan kecintaan. Hahaha... lu sudah jatuh longkang, Pateh...
Pateh Karma: What?? Oh...no no no, not me!
(Off line...)
Sisiphus: Sorry, I've to go... In hurry!
(Off line...)
Pateh Karma mendengus. Dia mengurut-urut rambutnya ke belakang sambil menyandarkan diri. Matanya masih terpaku memandang wanita itu di kaca layar tanpa suara itu. Cukup menghairankan panggilan aura perempuan ini. Apalah peliknya sampai aku jadi tak ketahuan begini, bisiknya. Semakin aku menolak, semakin aku mendekatinya. Aduh... Lalu dia mematikan komputer peribadinya, menetapkan hati untuk menumpukan kepada tugas-tugas yang masih belum diselesaikannya.
Satu demi satu fail-fail meja di semak, memo demi memo yang perlu di kemaskini, surat demi surat yang perlu diambil tindakan, segera dikemaskannya satu per satu. Dia sedar, sejak akhir-akhir ini banyak kerja-kerjanya tergendala, malah dia sendiri merasakan prestasi kerjanya semakin merosot. Dia hilang tumpuan kerja hanya kerana perempuan itu. Dia semakin runsing, wajah perempuan itu muncul di mana-mana saja dia berada. Di dinding, di langit, di bunga, di nasi, di sayur, di cawan, di tidur..... ah...jadahhhh! Sukmanya bertempik, marah.
"Jangan-jangan aku kena siut dek perempuan itu?" Pernah dinyatakan hal ini kepada Sisiphus semasa chatting minggu lalu.
Sisiphus: Jangan sebarang tuduh.
Pateh Karma: Tu... puisi-puisi dia tu. Ayat-ayat dia tu... aku faham sangat la. Semuanya berbicaralah.
Sisiphus: Buka pintu sukmamu seluas-luasnya, Pateh. Puisi itu terlalu subjektif. Kau boleh masuk dari pintu mana pun, malah kau boleh rungkai sesebuah puisi itu menjadi manisan halwa atau pun pahitnya hempedu, waimma kelat lemaknya buah zaitun. Kau tak boleh melihat sesebuah puisi itu dari sudut yang sempit. Inilah jadinya. Konyol kau.
Pateh Karma: Wow, back-up nampak!
Sisiphus: Bukan back-up. Tapi open-up. Ya, buka minda kau supaya melihat pengajaran di sebalik sesebuah puisi itu. Jangan lihat pada kulitnya. Benar, puisi adalah cetusan rasa yang gelabah, cetusan rasa yang tidak terungkapkan, cetusan rasa yang berontak, cetusan rasa yang paling mulus, cetusan rasa yang terapung-apung, cetusan rasa yang dendam dan banyak lagi tapi kerapnya puisi itu lahir dari simpulan batini yang senyap dan terpenjara! Penyair tak berupaya berbicara secara terbuka!
Pateh Karma: Soalnya dia sendiri mengakui.
Sisiphus: Mungkin pengakuannya berasas sumber lama. Sebab itu jangan lihat pada kulit puisi itu. Jangan terlalu mencari kesilapan, sebaliknya kau patut mencari pengajaran daripada kesilapan itu. Nur Imani, bagi aku adalah seorang penyair yang telah mendapat hidayah itu, kerana dia memiliki mata hati yang tajam. Ya, aku lihat ada persamaan pemikiran dengan engkau tapi dia lebih bijak memanfaatkan pemikirannya untuk dimanfaatkan pula oleh khalayak pembaca puisinya. Dia tidak lokek untuk memberi ilmu, pengetahuan dan pengajaran untuk di terokai oleh minda kita semua. Bukan macam hang. Come on, Pateh. Make-up your mind!
Itulah kali terakhir dia chating dengan Pateh Karma sehinggalah dia muncul sebentar tadi.
Benarkah fikiranku yang sempit?
Memusingkan kerusinya ke hala tingkap, di luar dia melihat bunga-bunga gerimis masih gugur merenyai. Langit memayungi mendung, petanda hujan tak akan reda pada tempoh waktu yang singkat. Dia bangun, berjalan ke tingkap cermin, memandang ke bawah bangunan pejabatnya. Kenderaan nampak kecil seperti semut besar yang berarusan tidak henti-henti. Persekitaran ibu kota nampak basah dan kelam. Sesekali, burung layang-layang berkeciau di hadapan mata, dan kemudian hilang entah ke mana.
Ah... dia muncul lagi di layar langit itu. Tersenyum seperti bidadari sedang memerhatinya. Wajahnya yang sayu, mulus dan terharu itu seperti menyimpan kesedihan yang parah. Seperti memandangnya penuh dengan kesintingan, waimma sesekali melihatnya dengan kesayuan. Mengapa ada debar di dadanya bila dia melihat wajah itu di layar langit kali ini. Mengapa dia merasa kasih, rindu malah ada sesal terbit dari perdu hatinya saat ini. Kata-kata Sisiphus tadi, betul-betul membuka mindanya. Semacam rasa sesal mulai membenih dalam sukmanya, dan tiba-tiba dia terasa ada air masin melewati halkumnya. Terasa ketat untuk ditelan.
Dadanya kian menggeletar, mengombak seperti awan mendung yang mengepul sarat hujan. Jadah apakah yang meruntun kalbunya, hingga dia begitu merasai kekesalan terhadap wanita itu. Ya....Allah, seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman, dadanya kian bergelora. Dia tidak tahu bagaimana harus membetulkan semua keadaan ini, merungkai segala kesilapan.
Air masin yang mengalir di halkum semakin perit terasa.
Mindanya benar-benar terbuka, rupanya dia yang jauh tersasar. Dia yang telah melakukan banyak kesilapan dan fikirannya tiba-tiba kembali ke beberapa bulan yang silam. Alangkah peliknya apabila dia merasakan satu kenikmatan kerana berjaya memprovokasi wanita itu - membandingkannya dengan perilaku yang tidak setimpal, ya....Allah, apa yang telah aku lakukan! Nur Imani....
Semakin sayu wajah bidadari itu di layar langit, semakin lebat pula hujan yang turun. Seolah-olah itu petanda resahnya hati seorang wanita yang telah dikhianatinya sepuluh tahun dulu. Air masin yang mengalir di halkum sudah mula bergencar di mata lalu tumpah ke hujung alis. Segera dia menyeka dengan belakang telunjuknya.
Astaghfirullah....
Kekesalan yang tak dapat dibendungkannya lagi. Menarik nafas yang panjang, dia kembali ke meja tulisnya. Sejuk penghawa dingin yang dipengaruhi sejuk hujan di luar, semakin menyengat tubuhnya. Berpeluk tubuh, menahan sejuk, bersandar pada kerusi, dia membuat ketetapan untuk tidak memikirkan wanita itu lagi.
Astaghfirullah... astaghfirullah...astaghfirulllah....
Lalu dia pun memulakan kerja-kerja yang belum lagi di selesaikannya. Menyusun segala macam tugas, perangkaan demi perangkaan, maklumat demi maklumat, apa saja tugasannya yang belum siap. Sehari suntuk, akhirnya dia berjaya membereskannya. Alhamdulillah... berkat sambil bekerja sambil berzikir, dia berupaya melupakan sementara wanita itu dan menyiapkan semua tugasannya dengan sempurna.
* * * * *
Dinihari Jumaat itu, hujan turun lagi renyai-renyai. Suasana sejuk dan pilu menyelubungi perasaannya. Anaknya sudah lama dibuai mimpi di kamar sebelah. Sesekali dia menoleh isterinya yang sedang nyenyak tidur. Lampu suram di kamarnya hanya mampu menggerakkan jari-jemarinya dalam bayang-bayang. Satu demi satu puisi hiba dinukilkannya entah untuk siapa. Entah kenapa, matanya payah sangat hendak lelap. Dada pula semakin debar dan sukma meraung kosong. Kasihan isteriku, bisiknya.
Sesekali dia terdengar decit sepasang cicak di penjuru siling kamarnya, berebut kepak kelekatu. Dia membungkam dengan rasa jengkel. Dan sesekali juga dia terdengar siul cengkerik di luar tingkap kamarnya. Lalu jari-jemarinya menukil ayat-ayat cintakasih dirihari dari sukmanya yang meraung. Ya....Allah. Semacam beban sendat di kepala membuat sukmanya gundah gulana. Nak diraung, kepada siapa? Nak dijerit, tak bermakna! Oh...seksanya sukma.
Lalu dia menutup lap-topnya, beristigfar, menarik selimut dan menutup lampu...
* * * *
Pagi di pejabat terlalu sunyi. Suasana pilu menyelubungi ruang dirinya. Melihat dua tiga meja kosong rakan-rakan yang mengambil cuti, riang suara Wardah yang entah di mana, dengan hujan yang masih renyai-renyai, seolah pagi Jumaat itu telah memasuki satu lingkungan yang amat niskala. Mengapa, ya mengapa ruang sukmanya begitu sunyi, pilu dan terharu. Atau ketiadaan puisi Nur Imani di layar tanpa suara, yang memungkinkan dia menjadi seorang perindu di birai waktu. Masyaallah...., apa dia sebenarnya?
Sambil menyandari kerusi empuk berwarna biru, dia menarik nafas keluh yang amat dalam. Terasa kedinginan ruang kamar pagi ini juga menyucuk-nyucuk tubuhnya. Sesekali sejuk tubuhnya menyengat ke ulu hati. Amat perlahan, lagu Pelangi Petang, sesekali menerobos ke pendengarannya. Amat pilu dan syahdu. Entah siapa yang memainkan lewat telefon bimbit, kerana dia amat pasti, tidak ada radio atau amplifier di ruang pejabat itu. Suara mersik arwah Sudirman mengusik sanubarinya. Dia memejamkan mata, menghayati lagu itu, sendunya mengalir ke dalam diri. Kenapa dia berasa amat bersalah dan kini kehilangan punca bagaimana mahu membetulkan kesilapannya.
Menatap layar monitor yang kosong, wajah itu muncul lagi. Kali ini, wajah itu lebih mulus dan kudus. Dia mengeluh lagi. Hampir sejam dia bungkam melayani mindanya, barulah dia membuka komputer peribadinya. Pergi ke profilnya, ada catatan Sisiphus di situ.
Sisiphus: MAKLUMAN - ISTERI SAYA TELAH KEMBALI KE RAHMAH ALLAH SUBUH TADI DI PPUM - Tel: 019-5623852
Sejam yang lalu.
Rasa simpati bergayut dalam sukmanya. Barangkali inilah penyebab mengapa dia berasa begitu kosong, sunyi dan terasing sejak malam tadi. Dia segera menutup komputer peribadinya, mendail nombor telefon Sisiphus beberapa kali, namun dia tetap gagal menghubunginya. Dia tawakal untuk terus ke rumah jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi memberi penghormatan kali terakhir untuk isteri kepada sahabat fbnya, meski sebelumnya dia belum pernah bersua muka. Setelah mendapat kebenaran daripada ketua jabatan, dia mencapai telefon bimbit dan kunci kereta di atas mejanya. Bergegas segera menuruni lif, dia melangkah dengan dada yang masih berdebar.
Di luar, hujan renyai yang agak tajam titisannya sempat membasahi baju kemeja putih yang di pakai. Hampir basah lencun tubuhnya. Diredahnya juga untuk sampai ke kereta yang terletak agak jauh dari bangunan tempat kerjanya. Langit semakin mendung, dan fikirnya, langit rupanya turut bersimpati akan kembalinya kekasih manusia ke pangkuan cintakasih Allah. Tentu langit, awan-gemawan, pohon, camar, segala serangga, haiwan dan bunga-bungaan turut bersimpati, seperti dirinya juga. Lalu dia pun, membisikkan ayat demi ayat mersik di bibirnya sambil berniat untuk disedekahkan kepada arwah yang telah pergi itu.
Mujur jarak antara pejabatnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Pusat Perubatan Universiti Malaya tidak begitu jauh. Malah, arus kenderaan pergi balik di sepanjang perjalanan agak lancar pagi itu. Dalam masa tidak sampai setengah jam, dia sudah sampai di pekarangan PPUM. Namun, masih berlegar-legar mencari kekosongan pakrir yang paling hampir dengan rumah jenazah. Amat sukar untuk mendapatkannya. Setiap ruang pakrir ada saja kenderaannya.
Setelah hampir setengah jam menunggu, akhirnya dia mendapat pakrir apabila sebuah van beredar dari pekarangan hospital itu. Alhamdulillah... Dia segera keluar, mengunci pintu, lalu meredah hujan renyai yang mulai melebat, berlari-lari sambil menampan kepalanya dengan tangan. Mujurlah dia biasa sangat dengan persekitaran di PPUM itu, suatu ketika anak bongsunya hampir seminggu dirawat di hospital ini kerana serangan demam panas. Justeru, dia tidaklah menghadapi kesukaran untuk sampai ke rumah jenazah itu.
Sebaik sampai di pekarangan rumah jenazah, ada ramai pengunjung sedang menunggu. Agak aneh, tentu ada tokoh yang turut meninggal dunia, barangkali, menyebabkan pekarangan rumah jenazah itu agak sesak. Hujan turun juga seperti tadi, menggugurkan kuntum-kuntum sena dan flamboyant. Antara kuning dan merah, ia bersepahan di pekarangan, bertindih antara daun kering dan ranting patah. Sesekali, angin bertiup menerbitkan bunyi geseran julai ranting sena di genting rumah jenazah.
Berkali-kali dia mendail nombor telefon Sisiphus, namun panggilannya tetap tidak dijawab. 'Barangkali, Sisiphus tidak perasan kerana terlalu sebak atau apa? Dan sukmaku, mengapa terlalu berdebar.' Di antara ramai orang, dia mulai mengenali beberapa pengunjung yang hadir. Ya, dia kenal mereka, hanya tidak pernah bertegur sapa. Penulis, penyair malah ada budayawan yang dia kenal. Barangkali manusia ramai ini adalah rakan-rakan Sisiphus. Lalu....
"Assalamualaikum."
Seperti ada petir yang menggelegak mindanya, menerobos ke ruang sukma, tubuhnya tiba-tiba terasa panas sejuk. Bahana apa yang muncul di hadapan mata? Dia bungkam, tak terkata apa-apa bila yang berada di hadapannya adalah orang yang memang dijauhinya. Meski bukan seorang musuh, lelaki ini juga bukanlah seorang sahabat yang dialu-alukannya, entah mengapa. Ada yang terkilan di hatinya bila berhadapan dengan lelaki ini. Masih segak dan kacak rupanya dia, getus hatinya, sambil menyalami dengan berat hati.
"Waalaikumsalam..." Hambar suaranya.
"Sisiphus....."
Getar suara yang menyebut Sisiphus itu telah menggetarkan seluruh tubuhnya. Sekali lagi dia seperti disambar petir. Tiba-tiba saja pandangannya berpinar dan mindanya berserabut. Dia benar-benar mengigil, ketakutan. Ya... Allah, padah apa yang diterimanya ini hingga begini sekali Engkau duga aku. Tangannya menggigil, pandanganya kasat, tubuhnya longlai. Tak mampu dia menahan dirinya, lalu terjelepuk longlai di sisi Sisiphus.
"Nur Imani...." Jurai airmatanya berhamburan diiringi sesah nafas yang membuah sedu sedan.
"Ya... dia sudah pergi meninggalkan kita."
Dia sudah seperti anak kecil dalam dakap Syukri @ Sisipus.
"Sungguh kejam kau, Syukri. Kau biarkan aku dirasuk perasaanku sendiri." Dipengaruhi rasa sesal, kesilapan Syukri, nubarinya mula ditikam suara yang terluka.
Duduk di tepi longkang berdua Syukri, diperhatikan oleh ramai handai taulan, sepasang sahabat yang tak gemar bertegur sapa itu kini telah duduk bersama, mengawal rasa sedih, kesal dan kosong, malah itulah nilai kebersamaan yang tak pernah mereka lalui. Namun, alangkah malangnya apabila kebersamaan itu hadir setelah kekosongan nilai kasih sayang dibawa pergi pula oleh Nur Imani.
"Aku tak pernah membiar kau, Pateh. Aku menjadi Sisiphus kerana hendak mendekati kau, kerana kalau Syukri yang wujud, kau pasti jauh dari aku. Aku juga menyesal, justeru sebelum kau juga turut menyesal, aku mahu membetulkan keadaan. Tapi kau juga seperti aku, hati kita sama-sama batu, sedang dia terlalu lembut seperti kapas putih, melayang-layang tak upaya jejak, dihenyak tak upaya menolak." Air mata yang tak henti mengalir dipipi Syukri, diseka dengan hujung tangan baju Melayu warna biru laut. Basah setompok lengan bajunya.
" Patutlah aku serba tak kena sejak tengahhari semalam. Ya...rabbani..." Pateh Karma mengeleng-geleng, tunduk wajahnya memerhati air longkang yang mengalir deras.
" Tengah hari semalam dia bergelut dengan sakratulmautnya. Bertahun dia mengidap brain tumor. Dia tak pernah menceritakan kepada saya, melainkan yang saya tahu dia sering mengadu migrain. Hinggalah dia pengsan dua bulan lepas, tahap tumornya sudah kronik. Rupanya dia sudah mengidap lama tapi menyembunyikan penderitaannya sendiri. Tak siapa pun tahu, walaupun anak-anak. Saya tahu, dia banyak menderita dari kecil hinggalah dewasa tapi karenah saya itulah yang tak dapat saya maafkan. Banyak kesilapan yang telah saya lakukan. Sepanjang dua bulan sebelum dia pergi, saya berusaha untuk mengembirakan dia. Saya tahu dia juga banyak menderita dengan provokasi awak tapi seperti biasa, dia tetap menelan penderitaannya dengan senyap. Dia tak akan berkata-kata, walau jiwanya memberontak. Justeru, saya menjadi Sisiphus untuk menamatkan perang saraf antara awak dan dia semata untuk membuka minda awak supaya tidak menyakiti dia."
"O...no...no... Aku tak bermaksud demikian. Aku... ya..Allah. Aku minta maaf, Syukri."
"Ya, aku tahu segalanya. Dia pernah mohon kemaafanku juga, kerana katanya pernah wujud namamu di sukmanya. Tapi aku, meski kumaafi, aku tetap rasa dikhianati lalu aku juga turut memprovokasinya, melayani bintang-bintang gemilang yang tanpa kusedari, kekasihku ini sedang menunggu mati... Saya amat menyesal, Pateh."
Pateh Karma bungkam.
"Kita terlalu tamak dengan perasaan kita sehingga kita terlupa, nilai kasih sayang yang begitu mulus, lahir dari hati yang tulus, kita pinggirkan dia oleh kesilapan yang terlalu kecil. Ya, saya tahu dia senyap setelah dia tahu dirinya telah dipinggirkan. Sejak itu, saya sering melihat dia mengadu sesuatu, mencari sesuatu. Quran adalah tempat dia melenyapkan resahnya, di samping dia tetap mencari sesuatu, dan ini saya temui dalam banyak puisi-puisinya - cinta kasih Illahi. Pun saya masih ego, tetap meminggirkannya. Malah, saya tak pernah menyokong karya-karyanya, apalagi untuk mengangkatnya. Sedang saya tahu, dia amat memerlukan dokongan saya. Ya...Allah."
Pateh Karma senyap mendengar, meski sesekali dia teresak-esak.
"Dua bulan, apa yang dapat saya korbankan untuk dia, berbanding pengorbanan yang dia diberi kepada saya. Ah... terlalu peribadi untuk menceritakan.... Sebab itu saya cuba memujuk awak supaya tidak terus memprovokasi dia. Tapi awak juga batu seperti saya, memberatkan lagi beban dia, mengeruhkan situasi dia. Saya benar-benar menyesal, meski dia sempat memaafkan kita."
Pateh Karma senyap lagi, beristighfar dalam diam. Dia merenung titis-titis air hujan yang renyai perlahan. Ada resah yang meruntun pilunya. Musim basah telah tiba rupanya. Musim derita seorang Nur Imani yang pernah didustai perasaanya oleh dendam yang diciptanya dari desakan sejarah silam.
Dia bangun, memegang bahu Syukri, menepuknya perlahan beberapa kali. Entah perasaan yang bagaimana muncul dalam dirinya waktu itu. Antara menyabarkan Syukri atau memujuk dirinya supaya sabar menerima kehilangan hakiki, sedunya semakin bergumpal dalam diri tatkala dia dibenarkan oleh Syukri untuk menatap kali terakhir wajah Nur Imani.
Dengan debar di dada, Syukri mengiringi dia ke kamar jenazah, di iringi juga oleh tiga penyair yang baru tiba dari Kota Jakarta. Lemah longlai kakinya, dan airmata semakin menerjah alur matanya, mengalir keluar tatkala petugas kamar itu membuka kain putih yang menyelimuti wajah cintakasih itu.
Menggigil seluruh tubuhnya, malah hampir lumpuh sukmanya tatkala dia melihat wajah mulus Nur Imani. Bidadari yang sedang tidur dalam khusyuk itu, begitu tenang dan tenteram. Saat itu, tak ada ungkapan lain yang upaya diluahkannya melainkan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan membisikkan hauqalah.
Dia sudah tidak berdaya. Itulah kali pertama nuraninya begitu lumpuh pada satu peperangan yang sebenarnya mencatatkan kekalahan di pihaknya.
* * * * *
Selesai solat jenazah yang diimamkan sendiri oleh Syukri, jenazah diiringi ke tanah perkuburan berdekatan. Hadiah paling istimewa buat jenazah ialah apabila kepulangannya diiringi sejumlah ramai para sahabat, malah sahabat jauh dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang. Mereka hadir dengan doa dan ayat cintakasih serta alun zikir yang tidak henti berbisik. Amat syahdu, diiringi percik halus derai hujan yang memaut pilu alam sekeliling, unggas, pepohon yang runduk, bunga kemboja yang menebar wangi, guguran kuning kuntuman sena turut menghiasi tanah tanih yang basah dan deru angin yang rawan, terapung-apung antara kuburan yang memutih. Masyaallah, bergeming nadi insan yang pasrah mengelilingi cintakasih pusara Nur Imani.
Seusai bacaan talkin, tika para sahabat mulai beredar, seseorang memegang bahu kanan Syukri dan bahu kiri Pateh Karma. Seorang penyair dari Jakarta, Kasyaf Indrawan, memandang mereka dengan pandangan sinting. Ditemani rakan-rakannya.
"Seharusnya penyair ini disemadikan di perkampungan kami, di Jakarta kerana roh puisinya berlegar di negara kami," ujar Kasyaf Indrawan melepaskan nafas lelahnya.
"Kamu orang-orang tidak tahu menghargai sebutir mutiara yang kami kutip dari lumpur di daerah kamu. Lalu kami bersihkan dan kami lihat kemilaunya di jari kami. Bahkan sangat kemilau. Ya, meski kini hilang cahayanya, ia tetap akan menghiasi jari kami sampai kapan pun."
Tidak ada kata yang mampu untuk diluahkan lagi dari mulut yang mulai gumam. Sepasang sahabat yang mula menyatu itu terdiam, merenung tanah tanih yang basah, mendasari ke daerah paling diam, mencari makna yang amat tersembunyi.
Allahu Akbar...
No comments:
Post a Comment