Kata Pengantar
oleh Djazlam Zainal
SAYA kenal benar Rosmiaty Shaari lahir batin. Namun sebagai penyair, masih ada yang dipendamkan dan tidak mungkin saya selongkari sebebas mungkin. Puisi berfungsi ganda, untuk membangun yang maha besar, seperti yang didengung-dengungkan takdir, suatu yang berupa pemikiran. Apakah ia dilihat suatu usaha yang menyempurnakan, sehingga dapat kita bertahan bahawa hasil penting yang terbit lebih kemudian betul-betul merupakan sesuatu hasil yang baru dan mempunyai sifat sendiri. Itulah yang saya cuba membandingkan antara orang dan puisi.
Bagaimanakah rupanya orang berpuisi. Saya selalu membayangkan begini, orang berpuisi hidupnya dari hari ke hari adalah puisi. Berjalan dengan puisi. Puisi akan berada di tangannya. Ia menaiki kenderaan, tetapi puisi tidak akan ditinggalkannya. Dengan rasa berfikir dia berkarya. Hal sedemikian pernah dikatakan oleh John Steinbeck terhadap Adrian Henri. Beliau menafikan Yestushenko sebagai seorang penyair walau pun cara deklamasinya cukup baik. Yestushenko pandai beretorik - berlakon. Cara deklamasinya hanya postor lakonan. Di manakah hadir dirinya sebagai penyair. Demikian juga, saya melihat seseorang penyair itu melalui dia berkarya, dan bukan hanya dikenali di pentas-pentas bacaan puisi. Kumpulan ... dari hitamputih menjadi zarah, saya melihatnya dari kacamata Steinbeck..
Misalnya dalam puisi, ' ceritera lapangan ' ( hal. 1 ) penyair cuba memberi makna kepada tiga situasi, seekor gagak hitam, seekor tikus dan seketul roti. Setiapnya diberi makna tersendiri dan konklusi. Ini bermakna penyair sedar akan tugas lugas monuklon yang diutarakan.
Puisi adalah bekas kosong yang dicurah di dalam air filsafat.
Saya teringat tulisan A. Teeuw mengenai Faham dan Salah Faham Membaca Puisi ( 1992:41 ) yang menyatakan seringkali orang mengupas puisi hampir secara fanatik mengumpul data-data statistik mengenai puisi yang mereka kupas itu. Statistik tentang jumlah vokal, jumlah suku kata, gejala rima, asonansi, aliterasi, metafora, metonimi dan sejumlah hal yang lain, yang dianggap merupakan esensi analisis sebuah puisi. Lantas pemaknaan dari semua itu tidak banyak memberi manfaatnya, malah memungkiri tugas esensial pengupas itu sendiri.
Puisi adalah mutiara dalam lokannya.
Misalnya dalam puisi, ' gua hira' ' ( hal, 4 ) dinyatakan;
kau yang muncul dari sejarah itu
telah menjelma pada riwayat pada wahyu
Judul ' gua hira' ' sudah memaknakan dalam tubuh puisi. gua hira' seperti yang saya katakan, mutiara dalam lokan. Apa itu mutiara dan apa pula lokan? Sifat yang saling membantu. Saling berkerjasama antara lingkaran baja kuasa dan makna kepentingannya. gua hira' sebagai baja kuasa yang mencengkerang untuk sebuah kalamullah.
Juga dirambat terus dengan ' kalau ada sejalur sinar ' ( hal. 5 ), ia tetesan dari gua hira'. Situasi yang sama dalam sketsa (i), (ii) dan (iii) dalam sketsa (i) dituliskan;
kau lontarkan kenaifan itu
ke dalam miraj yang nampak kemilau
dalam sketsa (ii) pula;
biarkan tangan itu merayap sukma
kerana di hujung jejari itu sudah mulai memancar
sketsa (iii) ditulis;
bulan pucat
sebentar lagi berubah jingga
Ketiga-tiga sketsa ini dirangkum secara literal, iaitu judulnya. Judul adalah elinia pertama dan frasa yang sangat dipandang. Judul adalah keseluruhan maksud dan isinya. Itu secara teknikalnya.
Berkata Sutardji Calzoum Bachri, kata-kata bukan alat pengantar pengertian. Kata-kata bebas dari penjajahan pengertian, dari beban idea. ' puisi harus menjadi wujud sendiri, arah tujuannya tidak ditentukan oleh sang penyair. apalagi oleh seorang kritikus, ideolog atau pun seorang perumus teori. '
Membaca puisi berarti bergulat terus-menerus untuk merebut makna puisi yang disajikan oleh sang penyair. Puisi yang baik merupakan bangunan bahasa yang menyeluruh dan otonom, hasil cipta seorang manusia dengan segala pengalaman dan suka dukanya. Oleh kerana itu, puisi memerlukan dan berhak untuk dicurahi daya upaya yang total pula dari pihak pembaca yang bertanggungjawab sebagai pemberi makna pada puisi tersebut.
Dalam ' serumpun serai wangi ' ( hal. 30 ) makna diberi pengertian dengan warna sejarah.
batas Melayu itu - terlalu niskala
bak serumpun serai, wanginya tersebar
dari kepulauan Melayu ke Malagasi
mengujur ke kepulauan Paskah di Lautan Pasifik
merentasi Taiwan selatan dan Jepun
kepulauan Okinawa, di situ ada Ainu
dari etnik warisan asal tanah bumi - itu Melayunya
Kembali kepada sejarah dan pencarian bangsanya, adalah fenomina umum kepada kebanyakan penyair. Zaihasra dalam puisi panjangnya Balada Tun Fatimah ( Penerbit Jingga, 1987 ) dan Zurinah Hassan, Pesan Dari Gunung Ledang ( DBP, 2004 ) adalah bukti perkembalian penyair kepada induknya. Dalam ' serumpun serai wangi ', penyair menyusur galur bangsanya. Menjejak jalur dan batas yang dikatakan Melayu itu.
Dalam poise, ( hal. 72 ) penyair menuliskan begini;
sejak kemboja tumbuh di halaman
siapakah pengutip harumannya
yang sesekali menebarkannya
ke anjung rumah moyang
dan sesekali pula memercikkannya
ke makam bunda
katanya, wangi kemboja itu
terbit dari perdu hati
yang bergerak perlahan
dari ruang sunyi
masuk ke dalam diri..
Saya melihat kedapatan unsur fabula ( plot ) dan syuzhet ( urutan cerita ) Baris pertama, sejak kemboja tumbuh di halaman, dan harumnya menebar di halaman anjung rumah moyang. Fabula dan syuzhet ini dapat dipisahkan sekiranya memang kita mahu melihatnya dengan pendekatan Formalistik. Kerana penyair selain mengakrapi puisi, beliau juga prosaik, seorang cerpenis yang telah teraku tenar. Melihat kedua-dua juzuk genre ini yang diakrapi akan lebih mengenal beliau akan fokus yang sorotnya.
Setiap puisi, cipta sastra atau karya seni, merupakan aktualisasi atau realisasi tertentu dari sebuah sistem konvensi atau kode sastra dan budaya. Ia merupakan pelaksanaan pola harapan pada pembaca yang ditimbulkan dan ditentukan oleh sistem kode dan konvensi itu.
Tidak pernah ada kebebasan mutlak atau kemungkinan untuk penyimpangan total. Sebab perombakan total akan berarti bahawa bagi pembaca tidak ada kemungkinan lagi untuk memahami karya seni itu. Jadi, karya seni selalu berada dalam ketegangan antara sistem dan pembaharuan antara konvensi dan revolusi, antara yang lama dan yang baru.
Pengucapan konvensional bukan bermakna tiada yang baru. Yang baru terungkap dalam pemikiran penyairnya. Sebab, kadang kala terlihat penulisan konvensional terus diugah sebagai pemikiran konvensional juga. Beberapa karya Sapardi Djoko Damono menunjukkan bahawa bentuk konvesional ( lama ) terisi dengan pemikiran baru.
Nah!
Saya serahkan kepada pembaca untuk saling bermanja-manja dengan jeda dan kata..
Djazlam Zainal
No comments:
Post a Comment