ARBAK OTHMAN
i
Keindahan wujud pada
kadar yang tinggi dalam seni. Keindahan
dapat dianggap sebagai kualiti karya masyarakat. Sebagai komponen estetika, keindahan
selalunya mengawal rasa yang dikaitkan dengan idea, dan dalam karya dipanggil
‘idea estetik’. Idea estetik pula tidak
lain adalah pernyataan imaginasi bagi mengimbasi fikiran yang dirasakan cukup
untuk menimbulkan keunggulan seni karya sebagai berkuasa dan tidak bersifat
menentukan secara konsepsi sahaja. Orientasi pengalaman dalamn seni karya,
seperti puisi, lazimnya dikaitkan dengan
sifat dan pekerjaan minda manusia termasuk legasi idealisme pencerahan.
Idealisme pencerahan ini lebih ketara orientasinya dalam puisi-puisi ketuhanan,
atau keyakinan agama, seperti keyakinan terhadap kewujudan kuasa Ilahi yang
paling unggul, yakni tidak ada lagi kuasa lain di atasnya. Keyakinan ini jelas
tergambar dalam ujaran yang berikut daripada sajak Masuk Ke Dalam Awan:
apakah yang
kaucari
berlegar di
matahari
lalu kembali
ke bumi
terus
terpahat matamu jauh ke akar sunyi
kaurenung
kewujudan ini
(paksi dari
segala pertanyaan batinimu)
tentang
catatan rahasia - makna kepada ada
engkau yang
tiada menjadi ada
Dia yang
tiada tetap ada - sentiasa ada
Ujaran baris akhir Dia yang tiada tetap ada - sentiasa ada mengandungi maksud kewujudan Tuhan yang
tidak didahului oleh “tiada”.
Puisi
yang berkesan dan bermutu ialah puisi yang mempunyai “rasa” di jiwa pembaca. Perasaan
manusia akan selesa apabila ia membentuk sentimen sendiri sebagai standard
keindahan. Rasa dan penyempurnaan keindahan dapat dinilai berdasarkan imaginasi
yang membayangkan maksud dalam imej terhadap pemahaman yang membenarkan pembaca
untuk membuat konsepsi dan alasan yang menimbulkan kesedaran bebas daripada
ketetapan semula jadi (Kant). Dalam
ketetapan ini, Rosmiaty Shaari (seterusnya Rosmiaty) didapati berhasil mencipta
semangat (ruh) estetik yang penting untuk menghidupkan minda. Kuasa minda inilah
menghidupkan ruh pada kandungan. Beliau
didapati berhasil menghidupkan kuasa ini yang menjadi kebolehannya untuk mengemukakan
idea estetik, iaitu persembahan
imaginasi yang menyegerakan fikiran. Idea estetik ini tergambar dalam sajaknya
berjudul Pasrah melalui ujaran yang
berikut:
kecuali
Engkau yang membaca -
qalbu itu ladang tanaman
tempat bercucuk tanam
kembang bunga abadi
merecup wangi kasturi
ini
perjanjian sejak pertama
sejak titik
belum bergerak
sejak
terpisah menjadi jarak
berombak
dalam jalur berombak
tak berubah
tetap berserak
perak ...
(kulihat awan
melaju
meninggalkan
gerbang prasasti
membangun
kota nurani) ...
Idea estetik yang tertitip pada maksud bahagian
ujaran yang bercetak miring dalam sajak di atas dapat berfungsi menjadi teman idea rasional pada ujaran kutipan kulihat awan melaju/meninggalkan gerbang
prasasti/membangun kota nurani.
Idea rasional ialah konsep
yang intuisi (pernyataan imaginasi) memadai
untuk imaginasi bertindak sebagai kuasa kognitif yang berkuasa cukup kuat
apabila ia mencipta sifat-sifat daripada bahan yang disediakan oleh alam semula
jadi (seperti ladang tanaman, bunga dan wangian kasturi). Objek alam semula jadi ini digunakan oleh penyair
untuk menstrukur semula pengalaman melalui idea
yang tidak lain berfungsi sebagai persembahan imaginasi.
Penyair
berhasrat memberikan ekspresi yang wajar kepada idea rasional tentang kewujudan
yang tidak dapat dilihat, alam pengampunan dan belas kasihan, alam neraka,
keabadian, penciptaan, kepasrahan, atau hal-hal yang telah sebati dalam
pengalaman seperti kematian, dan juga cinta, keluarbiasaan dan sebagainya. Kuasa kewujudan inilah yang dinamakan bakat
(tentang imaginasi). Apabila bakat disediakan dengan persembahan imaginasi yang
diperluas secara estetik, imaginasi akan bersifat kreatif, lalu menyediakan
kuasa idea intelektual (seperti alasan)
bagi menyegerakan persembahan (pernyataan ekspresi). Rosmiaty didapati
berhasil untuk menunjukkan idea rasional yang dimaksudkan itu dalam ujaran yang
berikut dalam sajak Jihad Badani:
Allahurabbi...
titis bening
di subuh hening
rebah ke
pangkal rahim
menancap
bulan sakral
kekasih
di dadaku
ada darah memerintah
setiap anggota menggelepar
mabuk melihat merah
jihad perang
nafsu nafsi
Kerasionalan jelas tercapai melalui tafsiran
bahagian ujaran yang bercetak miring dalam stanza kedua sajak di atas, apabila darah yang memerintah ‘mabuk’ melihat merah jihad perang nafsu nafsi.
Idea
estetik yang dianggap “penyampaian imaginasi” tentang kebenaran yang tidak
dipalsukan menyebabkan pembaca dapat menambah fikiran kepada konsep dengan
perasaannya mempercepat kuasa kognitif dan menyambungkannya dengan bahasa yang
mengandungi semangat (ruh). Kuasa mental penyair yang membentuk kebijaksanaan
dapat berfungsi sebagai imaginasi dan pemahaman. Akan tetapi apabila tujuannya estetik,
imaginasi akan bebas, dengan kepandaian luar biasa membenarkan pencarian idea
untuk sesuatu konsep, di samping memberi jalan kepada cara mengekspresi idea
tersebut bagi membolehkan pembaca berkomunikasi dengan karya. Bakat inilah yang
dipanggil semangat. Supaya ekspresi itu terkandung dalam bahasa untuk tujuan
pemahaman, peranan imaginasi adalah untuk menyatukannya dalam konsep yang
setiap keterangannya asli, di samping menyampaikan rumus baru, berdasarkan
tafsiran, untuk membuat kesimpulan yang berlunas. Bahasa ujaran yang berikut
dalam sajak Alhamdulillah jelas
membawakan kesimpulan yang asli, yakni tidak palsu:
alhamdulillah
seri pagi
kembang mentari
telah
kauterbangkan sayap si api-api
ke puncak
paling tinggi
jangan
kauturunkan lagi ke dalam mimpi
seperti iblis mengusap alpa
mengintai
dari sebiji mata
mencari sisi
terbuka di gua nestapa
Peranan “iblis” yang sentiasa membuatkan manusia
menjadi lupa akan tanggungjawab Ilahi bukan suatu khayalan, tetapi suatu
imaginasi yang benar apabila kerjanya tidak lain adalah untuk mencari sisi terbuka di gua nestapa.
Pada
pandangan Coleridge, seni tidak hidup untuk menyalin alam semula jadi tetapi
memahami asasnya dan menentukan pola kesatuannya melalui intuisi. Bagi Kant pula, petunjuk kepada intuisi
kesatuan ialah pengetahuan tentang keindahan. Keindahan didefinisi oleh
Coleridge sebagai “kesegalaan dalam kesatuan”. Sekaitan dengan itu, keindahan
juga hidup harmonis dalam komposisi atau genre puisi. Konsep harmonis yang dikaitkan
itu adalah antara alam semula jadi dan minda manusia. Kesan daripada penilaian
untuk menentukan konsep keindahan dalam karya turut mewakili suatu “keseluruhan”
yang tercorak dalam kesatuan yang dipersetujui secara semula jadi, iaitu
sebagaimana yang terkonsepsi dalam ucapan “ ini nurani paling putih” dalam ujaran yang berikut dalam sajak Kudup Kecil 2:
ke dalam
giziMu, ya Rabb
jalur yang
memanjang
gerak yang
terbentang
ini nurani paling putih
di atas
titian takdir
Tafsiran ujaran [ini nurani paling putih] benar-benar mencadangkan “kecerahan
daripada keseluruhan” mesej puisi
tersebut.
Keindahan
selalunya merupakan suatu unsur perdamaian dengan pandangan yang tidak membuat
tuduhan tetapi menyediakan kebenaran yang sering dijinakkan oleh bahasa, atau
kiasan sebagai pengimbang perdamaian yang terkesan daripada prinsip kehidupan-bebas yang berkonflik. Rosmiaty mempunyai kebolehan untuk melafazkan
konsep keindahan sebagai unsur perdamaian dalam ujaran yang berikut dalam sajak
Khabar Kepada Kawan:
dan kita
manusia
hanyalah
segulung cinta serupa gelombang rasa
seharusnya
kita jatuh
ke dalam
gelombang Dia
antara
pohon-pohon, antara batu-batu
langit, bumi,
laut, beburung, angin
Dalam sajak ini jiwa pembaca diperlembut, meski
tempat jatuhnya adalah “gelombang”. Kata seperti pohon, batu, laut dan angin
menempiasi konsep “konflik” atau “ujian” dalam kehidupan yang bebas.
Puisi merupakan
penggunaan bahasa ke atas keghairahan, khayalan dan imaginasi. Rosmiaty berjaya
mengekalkan dan mengubahsuai imej, fikiran dan emosi mindanya dengan menolak
konsep imaginasi khayalan dan keghairahan. Beliau membawa seluruh ruh manusia
ke dalam aktiviti, mengikut kewajaran dan maruah secara relatif. Dia meleburkan
tona dan semangat kesatuan melalui kuasa kata dan kuasa magis, sesuai dengan
imaginasi di dalamnya. Semasa mengadun
dan mengharmonikan sifat-sifat semula jadi kejadian, penyair membentuk
penghargaan terhadap konsep simpati bagi yang kehidupannya difitrahkan dengan
nasib daun syajar, iaitu sebagaimana yang terungkap dalam sebahagian ujaran
daripada sajak Catatan Sehelai Daun 1:
dan seperti sepohon syajar
entah esok atau lusa
daunmu akan gugur
hijau atau kuning
tetap akan gugur - maka
kembalilah kamu
ke asalmu
sekepal tanah ...
entah esok atau lusa
daunmu akan gugur
hijau atau kuning
tetap akan gugur - maka
kembalilah kamu
ke asalmu
sekepal tanah ...
Berdasarkan
konsep seni sebagai puisi, ciptaan karya menjadi puitik dalam gaya tersendiri
yang memelihara karya oleh sifat-sifat puisi yang bertugas mencari
kebenaran. Kebenaran yang terungkap
dalam karya memang tidak boleh dibuktikan. Apa yang seni cari tidak juga dapat
diganti atau diperoleh, kerana pencarian seni merupakan suatu limpahan berkat
atau anugerah. Bakat ini ketara dalam
kebanyakan sajak Rosmiaty.
Semua
ciptaan merupakan lukisan seperti tentang “air daripada mata air”. Dalam seni,
permulaan sudah mempunyai akhiran yang tersembunyi di dalamnya. Seni yang
menjelajahi pengalaman perseptual selalunya berkembang menjadi kebiasaan yang
lebih halus yang dinamakan “pengalaman rohaniah”. Peluasan idea dan fikiran
yang dibayangkan dalam puisi selalunya menghasilkan “idea kebijaksanaan” bagi
membolehkan keluarbiasaan mencipta nilai-nilai umum, seperti suatu samudera
kebenaran, suatu pengetahuan yang digunakan untuk menikmati semula sifat-sifat
umum hakikat Ilahi. Dalam sajak berjudul
Surat Dari Langit terungkap konsep samudera
kebenaran secara imaginatif:
tak siapa sedar dia datang
dalam terang atau zulmat
dalam senyap atau gamat
bagai gelombang
dalam terang atau zulmat
dalam senyap atau gamat
bagai gelombang
bergerak dalam diam
berdetak dalam kiam
Daripada ungkapan di
atas, bahasa dapat
mengekalkan pengertian oleh keindahan susunannya. Dalam pengucapan maksud, bahasa
berguna sebagai sistem hubungan objektif, iaitu idea yang dikuasai daripada
bahasa yang bersifat operatif. Bahasa operatif
sering membuatkan idea berada di belah bahasa yang lain. Lambang diam
dan kiam dalam ujaran di atas
membawa makna-makna kewujudan dan hakikat Ilahi yang dalam pada aras meditasi.
ii
Kesusasteraan
dapat dianggap sebagai “ciptaan seni yang justifikasinya ialah keseronokan
estetik-seni yang timbul dalam diri pembaca”. “Struktur” merupakan konsep yang
meliputi kedua-dua kandungan dan bentuk yang disusun untuk tujuan estetik. Secara intelektual, sajak-sajak Rosmiaty
dapat difahami melalui “pengetahuan yang tidak diucapkan” terhadap kesan
keseluruhan yang ditanggap, iaitu yang merupakan sumber kepada kesatuan objek
puisi. Struktur puisi boleh juga dibezakan berdasarkan dua gaya dari segi “bahasa
figuratif” dan “hiasan” yang melembutkan persepsi terhadap kandungan, terutama
yang berkaitan dengan nilai-nilai agama dan pengajarannya bagi dijadikan
panduan kepada pembaca atau masyarakat secara umum. Rosmiaty berhasil
membuktikan paradigma pencerahan dalam rujukan kepada kombinasi beberapa bahan
puisinya: temanya, rentak suku katanya dan fungsi bahasa figuratif dan kosa
kata khusus.
Salah
satu kandungan puisi Rosmiaty ialah konvensi mujarad yang berkisar pada nilai
ketuhanan dan kuasa Tuhan. Kandungan yang mendamaikan tanggapan membuatkan pembaca
dapat dengan mudah bergerak balas dalam keadaan yang sesuai dengan beberapa
banyak konvensi, terutama yang berkaitan dengan tuntutan agama dan pengajaran
daripada ajaran agama Islam dalam masyarakat Melayu khususnya, iaitu masyarakat
yang menganggap agama sebagai rujukan tertinggi untuk semua pola tingkah laku
dan nilai-nilai yang mendukungnya.
Struktur yang padan dengan makna-makna ucapan membolehkan pembaca
menikmati kesan puitik melalui eksploitasi struktur kognitif dan proses yang
terlibat dengan keperluan untuk mencapai kehidupan yang lebih bahagia dan
tenteram, selari dengan tujuan penyesuaian masyarakat terhadap persekitaran
fizikal dan sosialnya. Konvensi jenis ini didapati relevan kepada sistem
sebagai “kegunaan tertinggi”.
Sesuai
dengan tujuan gerak balas kesusasteraan, puisi Rosmiaty berhasil menggambarkan
sistem kognitif yang disumbangkan oleh pemilihan kosa kata bagi dijadikan
“contoh yang baik” melalui kategori yang mendamaikan, bukannya yang bersifat
kontrastif dan berkonflik. Bagi menghasilkan sajak yang mengandungi banyak
unsur pengajaran dan panduan hidup yang lebih murni dan berdisiplin, penyair
menggunakan kemampuan positif untuk mengendalikan ketidaktentuan, misteri,
keraguan, dalam laluan tanpa sebarang unsur yang menggangu dan menyakitkan.
Puisi
metafizikal dilihat paling baik untuk mengendalikan masalah ontologi “tentang
banyak dan satu waktu, ruang dan keabadian”. Puisi jenis ini menampakkan
keabadian lutsinar melalui dunia yang dapat dilihat, biasanya dengan bantuan
peralatan metonimik. Misalnya, pasir
merupakan unsur metonimik untuk padang pasir yang “tidak bersempadan”. Peringkat
pertama peralatan seni ialah “keagungan” yang ditanggap untuk menimbulkan “minda
yang dalam”. Dalam puisi ketuhanan,
pengalaman mistik merujuk kepada sifat-sifat Tuhan atau ragam kewujudan. Dalam
puisi seperti ini terdapat rasa ingin tahu tentang kewujudan, sifat-sifat
kewujudan yang terkadang begitu abstrak dari pandangan mata, walaupun ia jelas
kelihatan oleh mata hati dan minda yang dalam. Terdapat beberapa buah sajak jenis ini dalam
kumpulan Daun Nan Bercinta, seperti Pasrah,
Jihad Badani, Alhamdulillah, Ratib Daun
dan Surat Dari Langit. Penglihatan hati dan minda yang dalam
membuatkan sajak-sajak tersebut mencetuskan kesedaran yang harus dibaca dari
segi kehadiran beberapa sikap yang berbeza terhadap kesan puitik. Untuk memahami ini, pengetahuan tambahan
diperlukan tentang struktur dan kesan mesej puisi, supaya gangguan yang
merosakkan dapat dikurangi, atau diminimumkan.
Semua pengetahuan akan sampai kepada pembaca sebagai prisma kendiri yang
berubah atau mungkin juga yang menyimpang. Cara untuk meneutralisasikan kesan
yang berubah/menyimpang itu ialah dengan melihat jenis penyimpangan yang
tertentu yang melaluinya kesedaran individu dapat mengenal dan menanggap
realiti kehidupan hari ini. Satu
daripada kesan-kesan yang terasa ialah keadaan
kesedaran yang berubah, iaitu keadaan mental yang dibentuk oleh golongan
muda-mudi supaya “kesedaran biasa” terlepas pada beberapa jarak. Sesetengah sajak
memberikan kesedaran yang dipertingkatkan tentang hubungan kendiri ini terhadap
ruang persekitaran (orientasi puisi). Kesedaran yang dipertingkatkan ini
menyahut kesedaran yang berubah tanpa mengurangi pengaruh kesedaran biasa
(budaya) yang terbentuk pada zaman lampau sebagai kandungan tradisi yang
selalunya diberikan pencerahan tambahan, bukannya kemalapan untuk membentuk
kesedaran baru yang terlepas daripada kesedaran biasa yang sedia terkongsi itu.
Kesedaran ini terkesan dalam sajak Dari Sekepal Tanah, Membaca Riwayat 2, Dari Rekahan Bulan dan Muhasabah.
iii
Berdasarkan
pemerhatian yang lebih halus, terkesan beberapa buah sajak yang ditempiasi oleh
nilai mistik, walaupun sajak-sajak itu tidak tergolong kepada sajak mistik.
Penyair romantis seperti Rosmiaty biasanya menggunakan imaginasi dan susunan di
luar kefahaman biasa manusia yang tidak mempunyai laluan kepada pengertian
manusia tetapi dapat diterangkan oleh alam untuk mencapai pengertian yang benar
daripada kegunaan akal manusia yang suci dan bercahaya. Imaginasi kreatif
sangat rapat hubungannya dengan wawasan yang tidak dapat dilihat susunannya di
balik benda-benda yang dapat dilihat. Penyair romantis seperti Rosmiaty
mengundang realiti yang tidak terbatas itu untuk mencari kesatuan “keabadian”,
atau integriti dengan alam semula jadi di sekelilingnya.
Orientasi
yang bermaksud “kebolehan untuk menempatkan seseorang dalam persekitarannya
dengan rujukan kepada masa dan tempat” digunakan oleh penyair untuk menampakkan
kesedaran yang “dipertingkatkan” kesesuaiannya melalui ekspresi dalam konteks
yang berbeza. Dalam banyak keadaan, metafora struktur [penenggelaman dalam
abstraksi] digunakan dalam puisi dengan
bayangan mistik untuk membangkitkan perasaan yang kuat terhadap keakraban
dengan “Infiniti” dan “Keabadian”. Pembezaan antara memberi tahu dan menunjukkan
dapat mengubah keadaan kesedaran yang merupakan “pengalaman puncak” melalui
susunan kata yang terpilih dan relevan.
Pada titik ini, Rosmiaty sempat
mencetuskan perbezaan yang jelas antara persepsi
kualiti dalam teks puisi, dan sesetengah interpretasinya
dalam tradisi psikoanalitik. Contoh yang berikut daripada sajak Sekuntum Bunga Redha membayangkan sentuhan
kesedaran mistik yang dimaksudkan tadi itu:
kupujuk nurani biar diam
kularutkan mimpi setelah salam
ya Tuhan
perahu tiada
lagi
pendayung
patah sendiri
albatros
singgah hanya untuk pergi
ooo...
kata kalam
akar tumbuh akar melilit
titian
terbelit
nurani
merintih sakit...
kata mahmudah
nah…
sekuntum
bunga
sematkan
redha Ilahi
di dadamu
Kata-kata yang membentuk diksi yang bercetak
miring itu memerlukan ilmu tauhid tambahan untuk ditafsir dan digali
kemungkinan mujaradnya pada aras mistik, iaitu nilai ketauhidan yang memberikan
“sirah” kepada kehidupan insan.
Imajan
“samudera” ialah istilah yang sering dianggap imaginasi yang menyimpulkan
konsep kelahiran, cinta dan kematian. Imajan samudera sering terdapat dalam
puisi mistik atau puisi ketuhanan. Cara imajan samudera diperkenalkan dalam
puisi Rosmiaty ialah melalui beberapa corak visual stabil yang dibezakan, dengan
kesamaan visual kepada peristiwa tertentu dirumuskan dengan menyahkan proses
pembezaan yang “menggantung banyak jenis sempadan dan perbezaan; dan pada batas yang ekstrim ia boleh memindahkan
sempadan kewujudan makhluk, lalu mengeluarkan rasa samudera mistik”. Terdapat
satu sahaja contoh kewujudan yang mengeluarkan rasa samudera mistik yang nipis,
iaitu konsep yang terfaham daripada ujaran yang berikut dalam sajak Merawat Nurani:
zikir bertitir
memercik dari bibir
cahaya berpendar
di sela-sela suara berbisik - ghaib
bahu kiri - panas terasa
api merasuk
pedih menusuk
qalbu menjadi abu – terbang dari mataku
namun
jari-jemarimu
pancaran kilat
menyambar aurat!
Secara
intuisi, petikan tersebut bersandar pada kutub meditatif, atau beberapa keadaan
kesedaran yang telah berubah. Kutub
meditatif sering terlakar dalam puisi yang menyolok mata (yang nyata kelihatan)
dengan menunjukkan perkaitan dengan keadaan kesedaran yang berubah.
Puisi
meditasi berupa sejenis genre yang mempunyai kelainan gaya, mentaati rumus
intuisi, dengan kesedaran tinggi terhadap kuasa Tuhan. Imaginasi senantiasa
mengenang atau mengingati benda-benda yang tidak dapat dilihat dengan mata,
tetapi boleh dirasa begitu kuat di hati dan mata minda. Antara abstraksi yang
tertanggap dalam bentuk kefahaman termasuklah kesedaran terhadap kewujudan
diri, keagungan cahaya dan abstraksi pengalaman yang luar biasa tetapi menangkap
jiwa dan kesedaran halus sebagai kualiti semangat yang dalam. Setelah dicari-cari, sajak Tanpa Sempadan yang berikut menggambarkan
kesedaran tersebut setidak-tidaknya:
cinta itu
buah qalbu
kadang ia
tetap
kadang ia
terapung
serupa
gelembung
duduk di
dalamnya
melihat dari
sebalik dinding tipis
cinta munajat
merata-rata
di langit - memendar
di pohon - menjalar
di angin - menderu
di air - mengalir
di tanah
tanih - membau
di atas kata
kun fayakunMu
cinta
bergetar bergelar lingkaran
sinar pun
tembus melepasi sempadan..
Dalam sajak
tersebut terdapat imaginasi tentang cahaya ketauhidan yang membuatkan pembaca
terasa begitu tersentuh di jiwa dan mata minda.
iv
Melalui bahasa
yang puitis, Rosmiaty berhasil mengolah alam fikiran yang berkesan dan
mengeluarkan saujana lautan kesedaran yang meningkatkan kualiti hidup yang
berasaskan doa yang membentuk sikap alam remaja. Aspek kesedaran yang terungkap
dalam sebahagian sajak Dari Jantung
Sirah yang berikut ini membawa unsur pengajaran bahawa untuk memenangi
kehidupan, doa dan peralatan adalah aspek yang perlu ada bagi menangani masalah
kehidupan yang tidak terlepas daripada hubungan manusia dengan Tuhan yang
mengantarainya dengan “rahmat”:
pabila kutumbangkan pohon-pohon
liar
yang tumbuh di belantara terbiar
tanganku hanyalah sebilah pisau
yang mencantas --
dari doa kilauan mata belati
yang kaurahmati
Hubungan manusia
yang akrab dengan Tuhan diperlihatkan oleh penyair sebagai asas untuk
mengenangi dan mengingati asal usul manusia yang sealiran dengan hukum alam,
iaitu sebagaimana yang terungkap dalam puisi Catatan Sehelai Daun 1 yang berikut ini:
Dan seperti sepohon syajar
entah esok atau lusa
daunmu akan gugur
hijau atau kuning
tetap akan gugur-maka
kembalilah kamu
ke asalmu
sekepal tanah...
entah esok atau lusa
daunmu akan gugur
hijau atau kuning
tetap akan gugur-maka
kembalilah kamu
ke asalmu
sekepal tanah...
Hukum alam
mematuhi perintah Ilahi supaya perubahan dan pergerakan yang berlaku di muka
bumi tidak tergelincir, malahan sangat akur dengan hakikat kejadian yang
dilunaskan oleh peraturan Tuhan, iaitu suatu peraturan yang mengikut adab
kejadian. Demikian pulalah keadaan
manusia yang hidup di muka bumi ini harus jugalah mengikut adab kejadian, iaitu
sebagaimana yang terungkap maksud adab tersebut dalam ujaran yang berikut dalam
puisi Catatan Sehelai Dauns 2:
pada
rahmat-Mu
kalaulah dingin bayu
di geseran buluh yang selalu sayu
dalam seruling doa yang selalu menderu
hembuslah daunku
biar hijau selalu
di taman qalbu ...
kalaulah dingin bayu
di geseran buluh yang selalu sayu
dalam seruling doa yang selalu menderu
hembuslah daunku
biar hijau selalu
di taman qalbu ...
Konsep adab
diperluas dari peraturan alam kepada peraturan hidup manusia yang diredhai
Tuhan di muka bumi ini. Dalam ujaran
yang berikut ini daripada puisi Doa Daun
Syajar pengertian adab ditingkatkan pada lapisan estetika yang tinggi,
iaitu kelembutan sikap diperkenalkan oleh penyair sebagai sifat yang perlu
manusia tunjukkan apabila memohon sebarang permintaan (doa) daripada Tuhan:
wahai Rabb ...
jika kami ditakdirkan hidup
bertongkatkan paruh
tongkatkan kami ilmu makrifat
satukan kami azan muafakat
sendikan kami tiang syafaat
kukuhkan kami pasakan iman
lindungi kami dari palingan
wahai Rabb ...
andai kami Kauperintahkan pulang
pulangkan kami di jalan nan
tenang
sayapkan kami dengan nur iman
selimuti kami lembut syafaat
kasihi kami dengan rahmat
Seni
karya yang indah ialah seni yang melakukan pemurnian pada sikap yang dibentuk
dalam kandungan puisi. Idea yang diangkat pada ujaran yang pertama di atas
didapati memugar penerimaan manusia yang redha pada ketentuan Ilahi tetapi
seandainya kehidupan yang ditakdirkan bertongkatkan paruh, iaitu bahagian
burung yang mematuk, sebaiknya biarlah patukan itu dilimpahi oleh ilmu makrifat, azan muafakat, tiang syafaat
dan pasakan iman, bukan yang
sebaliknya, iaitu palingan yang merugikan, atau yang menghancurkan. Limpahan
Ilahi yang dipohon itu dianggap oleh penyair sebagai pakaian cahaya hidup yang
terang benderang. Rosmiaty memandang sikap mulia yang bersifat tawaduk ini
diangkat untuk dijadikan tunjang rujukan atau rukun tingkah laku sosial dan
budaya yang kaya dengan nilai murni Islam, dengan penyempurnaan bahawa, jika
kematian itu ditakdirkan, “taksirkanlah kami yang diperintah oleh Tuhan itu
berakhir dengan sayap diterangi nur iman
dan anugerah syafaat yang bersalutkan rahmat”.
Permintaan seperti ini sama dengan yang disebutkan oleh Mohd Affandi Hassan
sebagai wadah pengucapan kerohanian dan media ilmu, atau suatu manifestasi
budaya bangsa Melayu yang berlandaskan ajaran Islam, bukannya khayalan yang
membentuk estetik palsu dalam kandungan puisi Rosmiyati dalam kumpulan Daun
Nan Bercinta ini.
v
Saya berasa bangga
dengan puisi-puisi Rosmiaty yang berusaha untuk memperaga nilai-nilai kehidupan
yang mendukung nilai-nilai ajaran Islam. Beliau berusaha untuk mengamalkan
“pendekatan estetik intelektual” yang dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan
yang mahukan supaya karya sastera kita, seperti puisi, berupaya menilai
kemajuan seni secara horizontal dan yang memenuhi fungsi intelek dan estetik
manusia baru secara vertikal. Fungsi intelek dan estetik Melayu ini tergambar
dengan cukup memikat dalam puisi berjudul Diam:
duduk
memikirkan
apa
sebenarnya
erti cinta
dan kasih sayang
yang kian
dipisahkan oleh jarak
engkau di
sana dan aku di sini
meski kita
tidak saling membenci
tak terbersit
percik bara
apatah lagi
nyala dendam
kerana kita
belajar
ilmu dari
hukum alam
bahawa
keperitan itu mendewasakan
dan kita
menjadi lebih perkasa
menguasai dan
dikuasai
harfiah
insani
supaya kita
lebih memahami
yang pahit
itu mengubati
yang sakit
itu menumbuhkan sahsiah diri
Isi, nilai adab
dan moral ketuhanan, serta akhlak Islami diperlihatkan oleh Rosmiaty sebagai suatu
keistimewaan dari segi kepadatan dan keindahan bahasa (mengambil makna-makna
yang dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan dalam Zariat, 2011) yang
dipersembahkan dalam struktur ujaran yang berikut daripada puisi Demikian:
demikianlah
serupa
kelajuan halilintar
Kau sambut
mawar susila
perindu salik
lalu
Kaulontarkan keaiban
menjadi kawah
kemurkaan
yang
melimpahkan kesengsaraan
gunung pun
bergegar
di setiap
selokan
carikan demi
carikan
tanah tubuh
memuntahkan
lahar
ruh
menggelepar
tubuh
terbakar…
Dalam sajak di
atas, akhlak Islami mendefinisi kuasa adab dan susila keajaiban yang boleh
memusnahkan keaiban dan kesengsaraan hidup manusia jika tidak dipraktikkan
dalam bentuk amalan kehidupan. Ujaran stanza yang pertama membayangkan bahawa
kehidupan masyarakat akan menjadi porak-peranda dan huru-hara (melalui tafsiran
ujaran gunung pun bergegar) serta
sangat menghina dan mengaibkan, malahan menghancurkan, jika adab dan akhlak
tercarik, iaitu sebagaimana yang termaksud dalam ungkapan stanza kedua tanah tubuh / memuntahkan lahar / ruh
menggelepar / tubuh terbakar. Konsep
kemusnahan dibawakan oleh ujaran ‘tubuh terbakar’, manakala kesan semangat dan
kebaikan yang rosak dibawakan oleh ujaran ‘ruh menggelepar’. Pengucapan nilai
berhasil dilafazkan oleh penyair melalui bahasa dengan lapisan makna yang
banyak melalui interpretasi imajan. Penggunaan kata kerja yang sesuai memikat
persepsi pembaca langsung ke jiwa mereka. Tongkahan makna-makna ini membuktikan
keupayaan penyair menyampaikan pengetahuan yang bererti melalui kuasa minda
yang dalam, kerana penggunaan kata yang bersifat pelambangan serasi dengan
struktur ucapan yang menunjukkan perkaitan dengan makna-makna lain di luar
teks. Makna-makna lain itu lazimnya berbentuk alegori, seperti penggunaan kata
‘sunyi’ dalam frasa di belakang sunyi
di bawah ini dalam sajak Ihya’ Ramadhan
4:
merpati
bernyanyi
syair abadi
terhenti di
belakang sunyi
terkesima di
bawah sayapnya sendiri
Rosmiyati
tidak gemar menggunakan imaginasi dalam mengutarakan konsep kebaikan (wisdom) tetapi menggunakan pandangan
yang tertakluk kepada kewajipannya mentaati perintah Allah Ta’ala dan
melunaskan perintah itu dalam semua lapangan yang berteraskan akhlak atau
kesucian hati dan niat dalam usahanya mendorong kebaikan yang terserap dalam perilaku
dan sikap murni yang ditujukannya bagi dijadikan panduan untuk kehidupan anak
bangsa yang bahagia di sisi kebenaran Ilahi. Dalam sajaknya berjudul Furqan, melalui ujaran yang berikut
nanti, Rosmiaty memandang berat terhadap pengaruh nafsu yang bersifat
merosakkan tidak sahaja diri sendiri tetapi juga jiwa sekaligus. Sajak ini
mengingatkan tanggungjawab insan untuk melawan nafsu yang sering menyerang mereka
sebagai usaha untuk menegakkan kekuatan iman dan peribadi yang seimbang antara
jiwa (ruh) dan tubuh badan (jasmani). Inilah antara aspek ilmu pengetahuan yang
harus difahami oleh anak-anak generasi dalam gaya mereka untuk menikmati kehidupan
yang sihat dan bahagia:
kata furqan,
tahan nafasmu
biar kukelar
ruhmu
di atas bulan
baldu
darahnya kutitiskan
menjadi
samudera rindu
daripada
nafsu yang celaru
lebih kejam
menyula jasadmu
di atas
belantara hayatmu
membelah
tujuh lautan imanmu
Konsep ilmu
dalam karya sastera bukanlah imaginasi khayalan, tetapi daya imaginasi bersifat
intelektual. Rosmiaty berhasil mengaitkan “ilmu” yang membuatkan manusia
memahami hakikat penciptanya. Hampir
semua sajak Rosmiyati mengaitkan hakikat ini dengan manusia dalam hubungan
makhluk-Tuhan yang saling memenuhi: Tuhan mengurniakan rahmat, manakala insan
menjalankan perintah Tuhan, dan memohon apa sahaja daripada-Nya kerana Dia
sentiasa berkuasa terhadap manusia, dan menguasai mereka untuk memberikan
kesan. Atas alasan itulah, maka manusia sentiasa meraih harapan
daripada-Nya. Raihan ini terungkap
antaranya dalam sajak Doa Kekasih
yang berikut ini:
seratus
menghormati
hanya seorang
menyanggahi
seratus
membenamkan ke akar bumi
hanya seorang
tak mampu mengapungkannya ke langit lazuardi
berikan mawar
hidayah dan inayahMu, ya Rabb
biar jalur
mengimbangi neraca
biar hablur
mewarnai kata-kata
(rahim adalah
kesabaran yang mengisi tujuh penghormatan tertinggi
jantung
adalah nyawa yang menghidupkan tujuh ruh nan suci
yang bakal
mengiringi ke jannah firdausi
dikelilingi
ramai bidadari)
Ujaran berikan
mawar hidayah dan inayahMu, ya Rabb membuktikan hakikat manusia sebagai “peminta”,
manakala Allah sebagai “pemberi”.
Rosmiaty mempunyai keupayaan menggunakan diksi yang indah susunan
bahasanya (aspek struktur), mahupun pengertian tanggapan melalui bahasa yang
berseni (penggunaan alegori yang mudah difahami).
Kemurnian sajak-sajak Rosmiaty didorong
antaranya oleh niatnya melafazkan teladan pada kandungan. Unsur teladan menjadi
salah satu daripada sifat-sifat seni karya tradisi Melayu. Tanpa teladan, sama
ada berfungsi sebagai unsur pengajaran atau unsur panduan terhadap sikap hidup
yang membina tamadun Melayu, karya kesusasteraan seperti puisi tidak wujud
dalam masyarakat Melayu yang berkembang ke arah pembinaan wawasan budaya yang
berlandaskan nilai-nilai Islam. Melalui karya kesusasteraan, masyarakat Melayu
diajak untuk bersama-sama memperkasa kebijaksanaan berdasarkan hati budi dan
jati diri yang mendefinisi bangsa Melayu. Unsur teladan dan panduan sikap
terungkap dengan jelas dalam sajak berjudul Diam melalui ujaran yang berikut:
(diam kembali
bersarang ke dalam diri)
duduk
memikirkan
apa
sebenarnya
erti cinta
dan kasih sayang
yang kian
dipisahkan oleh jarak
engkau di
sana dan aku di sini
meski kita
tidak saling membenci
tak terbersit
percik bara
apatah lagi
nyala dendam
kerana kita belajar
ilmu dari hukum alam
bahawa keperitan itu mendewasakan
dan kita
menjadi lebih perkasa
menguasai dan
dikuasai
harfiah
insani
supaya kita
lebih memahami
yang pahit itu mengubati
yang sakit itu menumbuhkan sahsiah diri
Manifestasi unsur
teladan atau pengajaran pada kandungan sajak di atas dibawakan oleh
maksud-maksud ungkapan yang bercetak miring itu. Sajak ini membawa maklum bahawa anak bangsa
harus sentiasa menyedari bahawa kebahagiaan tidak datang dengan senyuman,
tetapi semestinyalah terlebih dahulu mengalami kesusahan, kesakitan, penderitaan
dan sebagainya. Penyair menyogokkan suatu amaran yang berguna bahawa dugaan
harus diterima sebagai ujian, sebagai proses mendewasakan kita, serta sebagai
ubat yang membentuk sahsiah diri. Jalan
hidup tidak semudah yang dijangkakan, malahan tidak juga susah untuk dicapai,
iaitu dengan syarat kita sanggup bersusahan, bersakitan dan berpahitan yang
mesti dilalui bagaikan duri dan api dalam proses mencapai kesenangan dan
kejayaan yang bererti pada masa akan datang.
Dalam
konteks “ilmu” juga, beberapa banyak sajak Rosmiaty membekalkan konsep realiti
hakiki (meminjam kata-kata Mohd. Affandi Hassan) yang dianggap mutlak. Dalam sajak Yang Tertinggal, misalnya, kebenaran hakiki tentang Allah Ta’ala
itu dinyatakan dalam kuasanya menguasai segala dunia yang membuka dan menutup
hijab seseorang insan. Bagi mereka yang yakin akan kekuasaan dan keagungan
Allah tidak ragu-ragu akan meminta daripa-Nya, permintaan yang bukan untuk
kekayaan duniawi tetapi kekayaan ukhrawi yang menempatkan kedudukan ruh
seseorang di syurgawi Allah Ta’ala.
Dalam sajak di atas, maksud realiti hakiki ini terungkap dalam ujaran
yang berikut:
gerabak waktu
telah pergi
meninggalkan
jalur dini
mata yang
terpejam
kehilangan
sunyi
setelah nadi
bersembunyi
setelah ruh
musafir lagi
mencari
rayyan firdausi
o ... kekasih
-
berikan aku kunci pembuka pintu malam-malamku
Maksud sebaris ujaran yang bercetak miring itu
memberitahu pembaca bahawa Allah adalah penentu segala takdir kejadian; Dialah
pemegang kunci malam dan kunci siang. Dalam sajak ini kata “malam” digunakan untuk
maksud “sikap tawaduk” penyair yang mengakui dirinya sebagai “hamba yang masih
gelap, dan memerlukan cahaya terang Ilahi dalam usahanya mencapai dan menikmati
rayyan firdausi.
Sebagai pencipta kejadian, kekuasaan Allah
dibuktikan oleh penyair sebagai pencipta segala kejadian dan kewujudan,
termasuklah manusia sebagai entiti yang dimuliakan. Kejadian manusia daripada tanah (bumi) dan setitik seni terungkap dalam ujaran berikut daripada sajak Dari Mimbar Terbuka:
wahai,
tubuh...
di puncak
tertinggi kaurendahkan batini
di mimbar
yang terbuka ini
kau adalah
dari setitik seni
yang tercipta
dari ruh bumi
Kekuasaan Allah
yang tiada bandingan, teragung dan terunggul, terungkap juga dalam beberapa
buah sajak yang membawa tafsiran bahawa jika Allah memilih untuk takdir
seseorang, insan tersebut tentu sekali diselimuti rahmat yang tidak terbayang
keagungannya, malahan bagai sayap
terkembang / perlahan naik ke langit. Keupayaan Rosmiaty mengucapkan
keindahan kuasa Ilahi yang tersimbah ke insan yang terpilih, sesungguhnya
kebahagiaanlah menjadi miliknya (di
hadapan mihrab / kusimpul benang menjadi mati...). Keindahan yang dimaksudkan ini dibawakan oleh
ujaran yang berikut dalam sajak Pada
Sujud Ini:
benang yang
menyimpul ikatan
telah
tertulis pada takdir
dalam
makrifat yang tersembunyi
dalam degap
degup nadi
yang tumbuh
merecup mega
mengembang sayap
terkembang
perlahan naik
ke langit
dalam satu
perjalanan paling luhur
dalam satu
perjanjian paling kudus
di hadapan
mihrab
kusimpul
benang menjadi mati...
Kata “makrifat” membayangkan konsep ilmu Tuhan,
atau ilmu kerohanian yang memberikan inti kepada mesej sajak di atas dalam
tangkapan jiwa yang halus dan taksub.
vi
Sebagai
kesimpulan, sajak-sajak Rosmiaty sangat menawan jiwa, tempat tumpahan akal yang
sihat dan bercahaya. Walaupun fikiran dialirkan ke samudera cinta Ilahi, kuasa
Tuhan yang mencipta dan mencorak insan, cahaya Ilahi yang menguras kebenaran
jati oleh hakikatnya yang menjamin kehidupan yang tenang dan bahagia, harapan
insan untuk memiliki sifat-sifat diri yang diredhai, kualiti peribadi yang
mulia sebagaimana yang dituntut oleh nilai dan ajaran agama Islam membuatkan
sajak-sajak Rosmiaty mempunyai kekuatan yang indah. Pengisahan tentang nilai
hidup insan mengikut petunjuk yang diredhai Tuhan, serta sifat-sifat muhasabah
diri dan ketaatan insan dari segi tanggungjawab memikul perintah dan ketetapan
Ilahi, nikmat hidup yang tidak ada bayangan untuk perbandingan, serta kesedaran
yang dibina untuk sentiasa menghormati kebesaran Ilahi yang sentiasa mengawal
kehidupan insan yang mulia membuatkan sajak-sajaknya memusatkan mesej pada
landasan ukhrawi bagi insan yang memilih jalan yang benar pada garis-garis horizontal
dan bercahaya pada garis-garis vertikal. Rosmiaty memilih untuk tidak
meletakkan sebarang makna pengujaan dan ujian Ilahi sebagai kaedah yang mendorong
insan untuk memilih jalan lurus atau jalan yang menyimpang daripada ajaran
Islam, dalam proses manusia mencari cahaya atau kegelapan dalam usaha
menentukan arah dan hala tuju kehidupan sebagai alasan yang diterjemahkan oleh
kuasa fikir yang dianuerahi Tuhan melalui akal yang bijak, jernih dan
bermanfaat. Oleh sebab itu, kebanyakan sajak Rosmiaty tidak menguja pembaca
untuk diberikan alasan bagi memilih corak dan warna hidup dalam pembentukan
tamadun ilmu, misalnya. Malahan tidak juga kelihatan sebarang tegangan yang
mendorong pembaca untuk berfikir bagi mencapai hakikat hidup yang bersandarkan
perintah dan ajaran Islam itu sendiri. Rosmiaty
juga tidak memilih konsep dualiti yang mampu merombak keraguan dan keyakinan
yang tidak berasaskan kepada iman dan keputusan untuk menentukan keyakinan akliah
bagi mencari rumus yang mengandungi alasan dan logika yang munasabah serta
masuk akal. Akan tetapi pada pilihan
yang lain, Rosmiaty berupaya menggunakan seni bahasa untuk mengungkapkan secara
halus makna-makna yang berkaitan dengan keagungan kuasa Ilahi sebagai Pencipta
alam, dan sebagai pengawal hukum alam serta fitrah yang dianugerahi-Nya kepada
manusia. Nilai-nilai ini dipadukan dengan konsep ilmu yang terkandung dalam mesej
sajak-sajaknya. Antaranya termasuklah hubungan manusia dengan Tuhan: manusia
sebagai penerima kesan daripada ketetapan Allah dan keredhaan Ilahi yang
tertanggung ke atas insan yang dimuliai Allah. Dengan akal yang dianugerahi
Tuhan kepada manusia, Rosmiaty berdaya mengungkapkan secara halus perihal Tuhan
sebagai sumber rujukan manusia, iaitu insan sebagai peminta keampunan dan belas
kasihan daripada Allah, manakala Allah pula sebagai pemberi nikmat dan rahmat
kepada insan yang mulia, yang suci jiwa dan yang kandungan akliahnya waras dalam
mengolah kehidupan yang baik, ikhlas dan berterima kasih (bersyukur). Semua ini menggambarkan dengan jelas konsep
hubungan manusia dengan Tuhan yang, melalui ruang diri, menjadi objek rohaniah yang
akur dengan Perintah Ilahi: bermuhasabah diri, taat kepada ketetapan, berharap
kepada yang memiliki Kuasa Agung, bersikap tawaduk dan lemah lembut kepada
Pencipta Yang Maha Esa.
Fakulti Bahasa
Moden Dan Komunikasi
UPM.
No comments:
Post a Comment