Tuesday 27 November 2012

Secebis Resah (2)

Disangkanya, aku tidak mengetahui....

Tiba-tiba aku didatangi getar yang entah bagaimana,  menyelusup langsung ke urat sarafku, menimbulkan satu hambatan di akal fikirku. Getar yang perlu kurungkai dari belitan urat di jantungku - hei...diam kamu di situ! Dan aku pun tunduk di bawah perintah sedarku.

Kutatap arca itu, dari mata, mulut, telinga, tiba-tiba tembus pandanganku ke dalam alam arcanya itu. Ada robekan-robekan yang belum sempurna ditata. Ada tompokan-tompokan hitam di mana-mana. Ada carikan-carikan yang belum ditemu. Tetapi bibir gincu merah delimanya (satu-satu warna merah yang ada pada tubuh arca itu) tetap mengukir senyuman paling bermakna, seolah kewujudannya begitu sempurna.

"Hei, perempuan malang...! Aku datang untuk menyaksi wajahmu.." 
Tiada siapa pun mendengar tempikan suaranya, melainkan aku. Kerana kamilah yang bertutur di alam arca itu.

"Aku atau kau yang malang. O...kasihannya dirimu."

"Sialan, perempuan sombong. Sebentar lagi, kau kan tahu betapa hebatnya arcaku!"

"Maaf, aku tidak punya masa untuk seketul batu seperti kamu." Tiba-tiba aku berasa sangat simpati kepadanya.

Kuusap wajahnya dengan wangi melati. Kuberikan senyuman tanpa meninggalkan kata-kata lagi. Bisik hatiku,  tidak perlu bersuara kepada arca yang berjelaga, yang tanpa ruh, tanpa seluruh! (Meski ingin sangat hatiku berkata, aku sangat mengenalimu tanpa kau ketahui.)

Dia menatapku dengan mawar di kaki tanpa  mahu merubah palingan meski arca tubuhnya ditatap oleh ramai pengunjung. Kukutip mawar yang layu lalu kuletakan di dadanya. Kujamah jemarinya, keras dan kaku - kau hidup serupa batu, bisik hatiku. Aku tidak pernah keliru mengenal kamu. Dia tetap menatapku meski aku semakin menjauh, meninggalkan dia dikerumuni ramai pengunjung yang tidak putus-putus  menyentuh tubuhnya, tanpa ruh, tanpa seluruh. Dia sangat berbangga.

Prannnnngggggg....!

"Siapa yang tolak!" Seseorang memekik.

Tiada siapa pun yang mengaku. Galeri sunyi sepi. Berpasang-pasang mata pandang-memandang, dan hati mulai diterpa waham.

Aku menoleh, rupanya arca itu yang rebah - pecah seribu meninggalkan sebiji jantungnya tergolek, pedih.

Aku menatapnya sedih..


Ros
03112012

Secebis Resah (1)


Berdiri di antara berbagai gerak dan laku, ragu berkeliaran di langkah perlahanku. Ada denting yang menyelinap qalbu, bersesak-sesak di celah kekisi yang menghadang pintu lif, aku hanya berdiri menanti dan memerhati. Kata hati, jangan bersesak. Biar mereka dulu yang pergi. Kesempatan tidak akan meninggalkan kau keseorangan. Barangkali mungkin kau akan lambat  tapi itu tidak akan menjadi halangan untuk kau sampai, maka bersabarlah.

Senyuman pun datang dan pergi, meninggalkan hangat salaman yang sempat bertaut di hati. Itu bagi nurani yang ikhlas menyambut silaturahmi. Tapi bagaimana yang ini? Dia tiba-tiba di hadapanku, menghulur senyuman dan salaman. Kusambut senyuman dan salaman itu. Hangatnya menggelegak fikirku.

"Saya tidak kenal anda dan tidak tahu anda tapi saya rasa  seperti pernah melihat anda."  Seperti buih-buih, kata-katanya keluar dari mulut bibir merahnya, meletup satu-satu di pendengaranku.

"Saya RS, pencatat jalanan."

Dia berkata lagi, " Saya tidak kenal."

Aku menatap penuh erti wajah sahabat-sahabat yang datang dari jauh dan dekat. Pertemuan bukanlah satu kemestian, maka mestikah keberadaan menjadikan diri terangkat ke dalam gelembung keujuban! Aku hanya tersenyum, dan menangkap kata-katanya yang langsung kusimpan di dada. Tidak ada pelajaran yang tidak mengajarkan - benar,tingkah dan laku paling mulus adalah dari asma yang kudus. Kudengar seseorang berbisik kepadanya. Seperti seorang diva, dia berlalu meninggalkan aku seperti seekor semut mencari lubang.

Gerimis resah kutatap di cermin. Kesedihan menjalar ke segenap urat sarafku. Hakikatnya aku datang bukan untuk bertemu tetapi mencari ilmu di pohon-pohon restu. Kini,  aku telah pun mendapat  ilmu itu.

Ilmu itu pohon-pohon sakit. Ilmu itu daun-daun  pedih. Akan tetapi hasil buah ilmu itu pastinya sangat manis!


Ros
31102012

Monday 26 November 2012

aku cemburu semangat mahsuri
bila benangku tak pernah bertali
mahsuri, tolong rajutkan lukaku ini
benangnya biar tersimpul mati
terlindung elok di arasy Illahi

25112012

Friday 23 November 2012

catatan qalbu

andai kubersayap
ingin kuterbang setinggi bulan
hati menjaring harap
berumah di pucuk awan...

Wednesday 14 November 2012

HIJRAH NURANI


Ya Allah, Engkau semarakkanlah semangat hijrah dalam diri ini, untukku berhijrah ke arah kebaikan sepertimana Engkau gerakkan hati NabiMu dan sahabat-sahabatnya. Aku yakin dan percaya bahawa dengan berhijrah sahajalah ku dapat membina kecemerlangan dan kegemilangan.

Justeru Ya Allah, perkuatkanlah tekad dan azamku untuk terus berjuang dan berkorban ke arah memartabatkan ummah dan negara.

Ya Allah, hijrahkanlah hati, amalan dan fikiranku ke arah kebaikan, hijrahkanlahku dari maksiat kepada taubat dan keinsafan. Hijrahkanlah aku dari kufur kepada bersyukur, hijrahkanlah aku dari jahil kepada berilmu dan hijrahkanlah aku daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah mengikut petunjuk dan pimpinanMu Ya Allah.......ameen.  -JIWA HAMBA